suria

“Ah silap tanya ke ni?” - Guru tak sengaja cungkil kisah pekerja kedai runcit makan mi segera... dah beli plastik sampah, terus tapau nasi kedai sebelah

Seorang guru berkongsi kisah pertemuannya dengan seorang anak muda yang bekerja di kedai runcit. -Gambar hiasan/Foto Alison Khong

SEGELINTIR masyarakat sering beranggapan bahawa anak muda hari ini hanya tahu memilih pekerjaan.

Mungkin ada, tapi bukan semuanya begitu kerana masih ramai belia yang sanggup melakukan apa saja pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kita hanya nampak penat lelah mereka, namun kisah di sebaliknya yang terpaksa dilalui anak-anak muda terpilih ini jarang sekali diperdengarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup masuk surau, 'pinjam' kain pelikat terselit RM50 - "“Susah-susah dia, rupanya dia jenis lurus"

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar servis angkat barang ke kereta, tapi tolak RM10... cikgu akui pakcik itu 'ajar' sesuatu - "Janji apa yang kita buat halal, jalan terus!"

Seorang guru berkongsi kisah mengenai kunjungannya ke sebuah kedai runcit selepas selesai menghadiri kursus.

"Nak beli plastik sampah. Sambil-sambil tu saya pusing dalam kedai ada seorang anak muda datang kat saya, cari apa bang?.

"Saya kata tak apa, saya kata saya nak pusing-pusing dulu. Lepas itu dia tinggalkan saya. Habis saya pusing belilah plastik hitam, makanan kucing dengan aiskrim potong," tulisnya menerusi posting di halaman Facebook Muhammad Yusof.

Bertembung dengan anak muda tadi sebelum beredar, guru berkenaan tergerak hati untuk menegurnya yang ketika itu sedang menjamah mi segera.

"Saya tanya lama dah ke kerja kat kedai ni? Dia kata lepas SPM dia mula kerja kat kedai tu. Mula 8 pagi sampai 9 malam.

"Lama tu, saya menyampuk. (jawab pemuda itu) Nak buat macam mana bang, ada keluarga yang saya nak kena sara," katanya.



Perkongsian seorang guru di laman sosial meraih perhatian netizen.

Perasaan ingin tahu yang menebal membuatkan Muhammad Yusof bertanya lagi mengenai ibu bapa pemuda tersebut.

Namun wajah anak muda itu secara tiba-tiba bertukar sayu.

"Ah, saya tersilap tanya ke apa ni. Dalam hati risau juga kalau saya tersalah cakap. Mujur dia tenang. Dia kata ibu bapa dia dah bercerai. Sekarang dia duduk dengan mak.

"Mak kerja pembersih kat pasar raya. Ada adik seorang, tengah sekolah. Dia kata dia kerja sambil-sambil bolehlah bantu keluarga," ujarnya.

Terselit kesedihan dan kepayahan yang hanya dia dan keluarganya tahu.

MUHAMMAD YUSOF

Turut berkongsi pengalaman sebagai guru, Muhammad Yusof memberitahu, atas dasar tanggungjawab telah menuntutnya bertanyakan pelajar yang mengalami masalah, dengan kebanyakannya datang dari keluarga yang bercerai-berai.

"Walaupun tak semua kes tapi kebanyakannya daripada mak ayah yang bercerai. Mungkin mereka kurang kasih sayang," katanya.



Antara komen netizen yang terharu dengan semangat anak muda berkenaan.

Namun anak muda di kedai itu jauh berbeza kerana kelihatan matang dan berdikari.

"Dia kata saya kena kerja kuat bang, mana tahu ada rezeki saya buka kedai pula.

"Mungkin nada dia bergurau tapi saya nampak kat matanya yang bengkak, tanda kurang tidur, terselit kesedihan dan kepayahan yang hanya dia dan keluarganya tahu," katanya.

Menurut Muhammad Yusof, selesai urusan di kedai runcit, dia membungkus nasi dan lauk di kedai sebelah.

"Lepas tu saya bagi kat tauke kedai tu. Saya pesan bagi nasi ni kat anak muda tu. Doa saya semoga dia dan keluarganya dimurahkan rezeki sentiasa. Amin," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain