suria

Dari Filipina ke Alor Setar, skuad urus jenazah hantar abu mayat lelaki maut ketika bekerja – “Kos ejen lain terlampau tinggi”

Kotak yang mengandungi abu mayat yang dibawa dari Filipina ke Alor Setar, Kedah. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

TANPA mengira bangsa dan agama, satu pasukan yang berkhidmat menguruskan jenazah bersedia membantu mereka yang memerlukan.

Seperti Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), mereka baru menyempurnakan proses penghantaran abu mayat berbangsa Cina dari Filipina.

Menurut SPJM, mendiang meninggal dunia di Filipina pada 21 Ogos lalu dan abu mayat dihantar kepada pihak keluarga di Alor Setar, Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Treler terbabas jam 4 pagi, skuad pengurusan jenazah kongsi kisah lelaki India cuak dibawa ke tepi keranda - "Van ni ada mayat ke?"

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

Pengerusi Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, mendiang merupakan lelaki berusia 28 tahun dan bekerja di Filipina.



Kenderaan SPJM setelah menghantar abu mayat mendiang lelaki Cina kepada pihak keluarga.

Beliau memberitahu, mendiang yang masih bujang itu meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan di tempat kerjanya.

"SPJM berkolaborasi dengan beberapa pihak kedutaan Malaysia di luar negara. Maka segala kes kematian rakyat Malaysia di luar negara dan ingin bawa pulang ke Malaysia pihak kedutaan akan menghubungi kami untuk pengurusan tuntutan jenazah.

"Tujuan SPJM membantu kerana mengurangkan kos terlampau tinggi yang dikenakan oleh pihak ejen swasta yang lain," katanya kepada mStar.

Bagi kes lelaki Cina yang tidak diketahui pekerjaannya, Muhammad Rafie berkata, keluarga mendiang dalam kategori berkemampuan dan menanggung kos penghantaran abu mayat.



Perkongsian Ustaz Rafie di halaman Facebook beliau.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, katanya, famili dikenakan caj untuk bayaran tuntutan di kargo dan kos perjalanan menghantar jenazah atau abu mayat ke lokasi yang ditetapkan.

"Kos ejen swasta terlampau tinggi yang mengenakan caj sekitar RM2,000 hingga RM5,000," katanya.

Islam tidak melarang umatnya untuk membantu dan menghulurkan sebarang khidmat kepada mereka yang bukan Islam selagi tidak melanggar hukum syarak

MUHAMMAD RAFIE ZAINAL RASID

Menurut Ustaz Rafie, SPJM boleh menguruskan jenazah umat Islam atau bukan muslim sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Ini bukan kes pertama bukan Islam. Sudah ada beberapa kes lain sebelum ini termasuklah menerima jenazah dari luar negara.

"Tak kira agama dan bangsa. Bagi yang bukan Islam, kami hanya menguruskan logistik sahaja. Untuk kes ini, logistik dilakukan dari Filipina sehingga ke Kedah," katanya sambil menambah SPJM berurusan dengan pihak berkaitan di Filipina untuk hal berkaitan dokumentasi.



Waris kemudian menguruskan abu mayat ahli keluarga.

Mengenai khidmat penghantaran abu mayat itu, Ustaz Rafie berkata, Islam tidak melarang umatnya untuk membantu dan menghulurkan sebarang khidmat kepada mereka yang bukan Islam.

"Ini termasuklah dalam urusan kematian selagi tidak melanggar hukum syarak. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pun sangat menghormati jenazah termasuklah jenazah bukan Islam.

"Maka menjadi kewajaran bagi SPJM yang menguruskan hal ehwal jenazah untuk menyantuni juga kematian bagi mereka yang bukan Islam.

"Bagi keluarga mendiang, mereka mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan dan memudahkan urusan waris untuk tuntutan abu mayat ahli keluarga mereka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain