suria

Berkali-kali anak panggil 'ayah!', si bapa malas layan... selepas 10 minit rasa tak sedap hati - “Ketepikan telefon, anak-anak rindukan kita!”

Dr Kamarul Ariffin mengulas mengenai peranan ibu bapa dalam memberi perhatian kepada anak-anak.

KEHADIRAN anak kecil sememangnya amat dinanti-nantikan setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Melihat senyuman dan keletah mereka, serta merta hilang penat selepas seharian bekerja.

Namun ada kalanya dek kerana kesibukan tugas, kehadiran anak seolah-olah tidak diendahkan kerana terlalu memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang perlu diselesaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat Hari Bapa! Anak hadiahkan Mercedes-Benz, impian pensyarah sejak 1963 jadi realiti - "Nilainya tak dapat tandingi jasa, pengorbanan ayah"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak ajak pergi camping, selamba je bapa buat unggun api depan rumah... tapi ‘benda’ lain di tingkap jiran pula jadi perhatian

Tanpa disedari, anak-anak ada yang berasa 'jauh hati' kerana terasa tidak diberi perhatian oleh ibu bapa mereka.

Terpanggil untuk mengulas hal tersebut, seorang pegawai perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi satu posting di Facebook berdasarkan pengalaman sendiri sebagai teladan untuk ibu bapa yang lain.



Sebahagian perkongsian Dr Kamarul Ariffin di Facebook yang mengupas hubungan ibu bapa dan anak.

"Ayah! Ya! balas aku sambil toleh kepada anak aku yang berumur tiga tahun. Dia pandang sahaja muka aku semula. Tak cakap apa-apa. Pastu dia sambung tonton televisyen.

"Aku pun sambung buat kerja aku di telefon. Ini dah kali ke berapa entah dia panggil aku. Tak pasti apa dia nak. Ayah! Nak apa? Dari tadi asyik panggil tapi tak cakap-cakap nak apa. Jangan kacau ayah boleh, tak?

"Dia diam. Aku pun sambunglah buat kerja. Aku jenis banyak buat kerja gunakan telefon. Karang cerpen dan novel pun guna telefon. Rancang bisnes guna telefon. Ulangkaji guna telefon. Jarang guna komputer," tulis doktor tersebut mengimbas kembali situasi yang berlaku antara dia dan anak kecilnya, baru-baru ini.

Namun selepas kira-kira 10 minit, anaknya itu tidak lagi memanggil 'ayah' sekaligus menimbulkan rasa hairan, lalu dia pun menoleh kepada kanak-kanak itu untuk melihat apa yang dilakukannya.



Dr Kamarul Ariffin banyak mengulas mengenai hal keibubapaan, keluarga dan isu semasa menerusi posting di Facebook.

"Dia sedang perhatikan aku. Tiba-tiba timbul rasa bersalah pula sebab suruh dia jangan kacau aku. Aku ni orangnya sibuk. Kebanyakan masa tiada di rumah. Keluar kerja pagi, balik dah lewat malam. Kerja 6 hari seminggu. Hati jadi sayu.

"Jika difikirkan kembali, bilalah masa anak aku ni dapat berinteraksi dengan aku. Sangat terhad. Lagi pula, budak tiga tahun apa sahajalah yang dia nak bualkan. Lagipun anak aku ni lewat bercakap.

"Mungkin dia lepaskan rindu. Mungkin dia nak menagih perhatian. Mungkin dia hanya nak bercakap. Nak tuntut semula semua perkara yang dia tak dapat buat sebab aku tiada di rumah. Terus aku ketepikan telefon dan pergi kepadanya," tulisnya.

Menurutnya lagi, situasi tersebut lantas menyedarkannya mengenai betapa pentingnya hubungan (bonding) antara ibu bapa dan anak dalam mencorakkan masa depannya.



Tabiat terlalu bergantung kepada telefon bimbit secara tidak langsung boleh merenggangkan hubungan antara ibu bapa dengan anak.

"Hari ni dia asyik panggil, aku rasa terganggu. 20 tahun lagi, mungkin aku ternanti-nanti panggilan telefon daripadanya. Apa yang kita lakukan hari ni, akan mencorakkan masa depan, kan?

"Telefon yang kita hadap setiap hari ni, tak akan berdering jika tiada yang buat panggilan kepada kita nanti.

"Jika sekarang mereka panggil kita tak jawab dan layan, siap suruh mereka jangan ganggu kita, jangan harap di masa hadapan mereka nak panggil (telefon) dan layan kita.

"Ketepikan telefon sebentar, anak-anak rindukan kita. Sungguh!" tulisnya pada akhir coretan tersebut.

Perkongsian itu sehingga kini meraih 1,100 shares selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain