suria

Balik sehari awal, rupa-rupanya kepulangan terakhir... video call sebelum bapa ditimpa musibah undang sebak – “Ayah susah nak senyum, tapi masa tu berbeza”

Kenangan... (gambar kiri) Trisyia (kanan) bersama bapanya. (gambar kanan) Pusara bapanya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Foto ihsan Iylia Nur Batrisyia Ahmad Azhar

PEMERGIAN insan tersayang ternyata memberi tamparan hebat buat seseorang dalam meneruskan kehidupan.

Sesungguhnya ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan.

Begitulah yang dialami oleh seorang wanita yang berkongsi paparan berita yang melaporkan tentang kisah bapanya maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

"Love you forever and always, daddy (menyayangimu selama-selamanya, ayah)," tulisnya di laman Twitter sehingga diulang kicau hampir 5,000 kali.

Wanita berkenaan, Iylia Nur Batrisyia Ahmad Azhar berkata, bapanya yang berusia 58 tahun meninggal dunia di tempat kejadian apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, Pahang pada Rabu malam lalu.



Keadaan kereta yang dinaiki oleh bapa Trisyia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya.

Menurut wanita berusia 21 tahun itu, ketika kejadian bapanya yang bekerja sebagai kontraktor di Johor dalam perjalanan pulang ke kediaman keluarganya di Kuantan.

"Ayah saya kerja di Johor, dan balik ke rumah setiap minggu. Kebiasaannya, ayah akan balik pada Khamis atau Jumaat memandangkan cuti hujung minggu di Johor bermula Jumaat.

"Tapi hari kejadian, ayah pulang ke Kuantan sehari lebih awal pada Rabu. Dan ayah tak maklumkan kepada kami sekeluarga yang dia akan pulang pada hari berkenaan.

"Saya sempat membuat panggilan video (video call) dengan ayah pagi tu, dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp tengah hari. Tapi ayah tak cakap pun nak balik, ayah balik senyap-senyap sehinggalah kami dapat berita mengenai kemalangan," katanya kepada mStar.



Tangkapan skrin panggilan video terakhir bersama bapa dan adik bongsu (gambar kecil) pada hari kejadian.

Lebih mesra disapa Trisyia, dia turut mendedahkan mengenai dirinya tergerak hati untuk membuat panggilan video dengan bapanya pada hari kejadian.

“Bukanlah pertama kali buat video call tapi ayah baru saja balik hujung minggu. Tapi pagi itu saya tergerak hati buat video call semasa nak siapkan adik bongsu yang berusia genap dua tahun bulan depan, sebelum hantar ke Taska.

Ayah selalu belanja orang makan. Dia tak boleh tengok orang lain tak makan atau lapar.

ILYIA NUR BATRISYIA AHMAD AZHAR

"Saya juga tergerak hati nak buat screenshot (tangkapan skrin) semasa adik buat video call dengan ayah. Selama ini saya tak pernah buat screenshot bila video call.

"Itulah video call terakhir dengan ayah, dan sebak tengok screenshot video itu sebab ada kenangan dengan arwah," ujar anak ketiga daripada lapan beradik itu.



Menurut Trisyia, bapanya sukar untuk senyum ketika bergambar.

Trisyia yang merupakan lepasan graduan Diploma Pengurusan Pelancongan di Politeknik METro Kuantan menyifatkan bapanya seorang yang tegas dan penyayang.

"Ayah ni nampak je garang sampai buat ramai takut. Sebab ayah susah sangat nak senyum. Gambar kahwin saya tahun lepas pun muka ayah nampak serius, tak senyum.

"Tapi masa video call tu muka ayah agak berbeza. Sebab ayah lebih banyak senyum, nampak lebih ceria. Saya dapat melihat senyuman terakhir ayah," katanya yang menyambut ulang tahun perkahwinan pertama pada 15 September.



Trisyia (dua, kanan) pada hari perkahwinannya, September tahun lalu.

Tambah Trisyia, sifat penyayang bapanya itu bukan sahaja terhadap keluarganya, bahkan orang di sekeliling termasuk rakan-rakannya.

"Ayah selalu belanja orang makan. Dengan kawan-kawan saya masa belajar pun ayah akan tanya dah makan atau belum.

"Dia tak boleh tengok orang lain tak makan atau lapar. Keprihatinan ayah tu membuatkan dia disenangi termasuk dalam kalangan rakan-rakan saya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain