suria

“Mak tak nak jauh-jauh” - Belum meninggal, Opah dah pilih lokasi kebumi jenazahnya... seminggu sebelum ‘pergi’ mimpi dibawa ke tempat lain

Van yang membawa jenazah Opah untuk dikebumikan. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

SETIAP kebaikan manusia akan terus dikenang sehingga ke hujung nyawa.

Walaupun bukan ahli keluarga, tetapi kebaikan seseorang itu juga akan membuatkan pemergiannya disifatkan satu kehilangan besar.

"Saya menerima satu perkhabaran sedih iaitu jiran di sebelah rumah saya yang kami mesra memanggilnya Opah telah kembali ke rahmatullah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hidup sebatang kara maut jatuh bangunan, kehadiran juruteknik tak berduit bantu urus pengebumiannya buat team urus jenazah kagum

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

"Sepanjang empat tahun hidup berjiran dengan Opah, rumah kami sentiasa menerima pelbagai jenis juadah dan kuih-muih yang dibuatnya. Pendek kata, kami bersyukur dikurniakan jiran yang sangat baik," tulis Muhammad Rafieudin Zainal di halaman Facebooknya.



Jemaah menunaikan solat jenazah.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Rafieudin berkata, wanita warga emas itu tinggal bersebelahan dengan rumahnya di Gombak Setia, Kuala Lumpur.

Muhammad Rafieudin yang merupakan Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) memberitahu, allahyarham meninggal dunia pada usia awal 70-an dipercayai menghidap sejenis penyakit kanser.

"Kami panggil arwah Opah. Jiran-jiran lain pun begitu juga. Dia selalu masak dan rajin kongsikan masakannya dengan jiran-jiran.

"Dulu arwah merupakan guru mengaji untuk kanak-kanak di kawasan perumahan kami. Sebab itu semua orang panggil dia Opah," katanya kepada mStar.



Urusan pengebumian jenazah Allahyarham Opah.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau berkongsi kisah Opah yang berasal dari Taiping, Perak tetapi datang ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama seorang anak perempuannya dan dua cucu lelaki yang sudah dewasa.

Bagaimanapun, katanya, kesihatan Opah semakin merosot sejak beberapa bulan lepas sehingga wanita itu hilang selera makan.

Sungguh, kami kehilangan seorang jiran yang cukup baik dan prihatin

USTAZ RAFIE

Ustaz Rafie turut mendedahkan pesanan Opah kepadanya setiap kali mereka bertemu.

"Opah selalu berpesan, Ustaz, nanti bila Opah tak ada, tolong urus jenazah Opah ya. Opah nak kebumi kat sini saja, tak payah bawa balik Taiping... jauh," katanya.



Ustaz Rafie menyifatkan Allahyarham Opah sebagai seorang yang mudah mesra, ceria dan lemah-lembut.

Malahan, anak Opah juga sempat bercerita ketika ibunya terlantar di wad di hospital minggu lalu yang secara tiba-tiba tersedar dari tidurnya dan memarahi anaknya.

"Kan mak dah pesan beritahu ustaz kat sebelah rumah yang mak nak kebumi kat sini. Pasal apa bawa mak balik Taiping, mak tak nak jauh-jauh... kata Opah yang terlupa dia sedang bermimpi," katanya.

Menggambarkan keperibadian Allahyarham Opah yang mudah mesra, ceria dan lemah-lembut, Ustaz Rafie berkata, ramai jiran dan saudara-maranya hadir menziarahi dan solatkan jenazah.

Sebelum itu beliau juga mengaturkan skuad untuk mengambil jenazah dari HKL dan jenazah diuruskan di Gombak Setia dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur, selepas solat Asar.

"Sungguh, kami kehilangan seorang jiran yang cukup baik dan prihatin. Selepas ini kami pasti merindui ketukan pintu dan hantaran pelbagai juadah daripada Opah yang hanya tinggal satu kenangan terindah," kata Ustaz Rafie.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain