suria

Terkenang hidangan mewah ‘petunjuk’ ayah dah dapat gaji, kini pemuda faham erti sebenar kebahagiaan! - “Seronok sangat waktu tu”

Adam mengimbas semula kisah hidangan seperti sate yang hanya mampu dinikmati sekali-sekala sahaja suatu masa lalu.

SEKADAR mengimbas memori lama sewaktu masih kecil, siapa sangka perkongsian tweet jejaka ini mengundang perhatian ramai.

Manakan tidak, ramai sebenarnya dalam kalangan kita yang pernah mengalami situasi hampir sama, khususnya jika dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan.

"Jika anda dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, kamu boleh faham bahawa ada sesetengah makanan menggambarkan bahawa ibu bapa anda sudah mendapat gaji. Bagi saya ia durian dan sate? Anda pula?" soal Adam Raffi menerusi Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Nostalgia! Dulu makanan orang susah, jadi bekal turun ke bendang... pulut kini menu orang kaya - “Siapa tak suka, rugi”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu mewah, kehidupan 3 anak bekas staf pelantar minyak kini daif kerana satu sebab, “Adik pernah tanya kenapa kita dah tak kaya?”

Menurut jejaka berusia 35 tahun itu, kisah lama itu terimbas kembali sewaktu dia sedang menikmati hidangan sate di sebuah kedai baru-baru ini.

Ujarnya, sate merupakan hidangan yang dianggap mewah suatu masa lalu dan hanya dinikmati setiap kali bapanya mendapat gaji sahaja.

"Saya terfikir nak post tu sebab baru lepas makan sate di kedai.

"Setiap kali makan sate mesti teringat yang makanan ni pernah buat satu famili saya happy sebab abah saya dapat gaji.

Menurut Adam, suatu masa lalu dia sekeluarga hanya menikmati sate setiap kali bapanya mendapat gaji.

"Itupun nasib-nasiblah. Kita tak tahu apa masalah mak ayah kita kan.

"Kami bukanlah keluarga susah tapi nak rasa mewah sikit masa gaji mak ayah je la," ujarnya kepada mStar.

Dibesarkan di Sungai Besar, Selangor, dia yang mesra disapa Adam mengakui seronok setiap kali dihidangkan dengan sate suatu masa lalu dan ia disifatkan sebagai waktu yang ditunggu-tunggu bersama adik beradik yang lain.

Namun katanya, ia tidaklah menjadi acara wajib bulanan dan ada kalanya mereka tidak dapat merasai hidangan kegemaran itu.

"Mak ayah saya cikgu dekat kampung je. Tapi adik beradik saya enam orang semuanya. Seronok sangat waktu tu. Sebab masa tu mana kita faham bila gaji kan.

Saya sedar yang kebahagiaan itu sebenarnya perkara sederhana yang kita raikan dan hargai.

ADAM RAFFI

"So kami adik beradik memang tunggulah waktu ni. Dan kami pun duduk kampung, walaupun tak banyak tempat makan best-best tapi bila dapat keluar makan sebulan sekali tu memanglah rasa special.

"Merasalah sekejap macam anak orang kaya. Tapi ada juga bulan yang tak ada makan mewah," ujarnya lagi.

Menurut Adam yang mengusahakan beberapa perniagaan berkaitan khidmat penjenamaan, pemasaran, pengiklanan digital dan advetorial, dia juga kerap mengajukan soalan sama kepada kakitangannya.

Adam mengusahakan beberapa perniagaan berkaitan khidmat penjenamaan, pemasaran, pengiklanan digital dan advetorial.

Ujarnya, jawapan berbeza yang diberikan setiap individu membolehkan dia menyelami semula segala pengorbanan ibu bapa khususnya dalam memberikan secebis kegembiraan buat seluruh ahli keluarga.

"Actually soalan ni saya selalu tanya pada staf saya yang jauh lagi muda bila kami berbual sesama sendiri.

"Jawapan orang lain pada soalan ni selalunya menarik dan boleh buat kita rasa bersyukur tentang macam mana kita dah progress in life dan menghargai pengorbanan ibu bapa kita membesarkan kita dan cuba buat kita happy," ujarnya.

Dalam pada itu, Adam mengakui seronok membaca komen netizen berhubung topik sama selepas tweet miliknya menjadi tular sehingga menerima lebih 5,400 ulang kicau (Retweet).

Selain sate, durian juga hanya dinikmati sekali sahaja sewaktu bapanya mendapat gaji.

"Seronok juga baca komen orang lain. Bila saya baca, saya sedar yang kebahagiaan itu sebenarnya perkara sederhana yang kita raikan dan hargai.

"Berbeza dengan hal-hal mewah yang selalunya disogokkan pada kita untuk berasa bahagia.

"Walhal bahagia yang kita rasa dan ingat sampai sekarang ialah benda benda yang simple macam makan sate sebulan sekali," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain