SUASANA hiba dan pilu menyelubungi kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis di Kampung Banggol Katong di Kuala Terengganu, Terengganu. Puluhan kerbau peliharaan keluarga remaja berusia 15 tahun itu mati secara mengejut dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia. Terbaharu, berita sedih menimpa Muhammad Syukur yang lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' apabila dua kerbau kesayangannya, Tongkol dan Semek mati pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Lebih 30 kerbau 'Mowgli Malaysia' mati mengejut, banyak lagi akan menyusul - "Syukur asyik menangis, kami buntu" ARTIKEL BERKAITAN: Foto 'Mowgli Malaysia' menang lagi! Jurugambar buat pengakuan ikhlas cemburu dengan Syukur Khamis - "Dia bukan berlakon, memang ikhlas" Bercakap kepada mStar, Muhammad Syukur mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya di atas kematian lebih 40 ekor kerbau peliharaan keluarganya. Antara kerbau milik keluarga Muhammad Syukur yang mati dipercayai akibat penyakit hawar berdarah. Foto Bernama "Setakat tengah hari ini (Khamis), ada lebih 48 ekor kerbau yang mati sejak Rabu minggu lalu. Semek dan Tongkol masing-masing mati pada pagi dan petang semalam. "Sedih memanglah sedih, tapi saya harus reda dengan apa yang berlaku. Saya harap yang lain-lain masih sihat dan keadaan kembali pulih," katanya kepada mStar. Muhammad Syukur bagaimanapun berkata, kerbau bernama Tongkol yang mati pada petang Rabu bukanlah kerbau yang dirakamkan bersamanya di dalam foto yang memenangi gambar terbaik bulanan untuk Ogos yang dianjurkan oleh Asian Geographic. Muhammad Syukur (kiri) bersama bapanya, Khamis Jusoh melihat salah seekor kerbau yang tidak sihat. Foto Bernama Anak bongsu daripada lapan beradik itu menjelaskan bahawa kerbau yang mati itu adalah kerbau lain yang juga bernama Tongkol. "Tongkol yang mati petang semalam lebih tua dan bersaiz lebih besar. Yang Tongkol dalam gambar yang menang itu 'adik' iaitu kerbau lebih kecil. Bukan setakat Tongkol, semua kerbau adalah kesayangan saya dan kalau ada yang mati, semestinya saya sedih MUHAMMAD SYUKUR KHAMIS "Tongkol yang di dalam gambar yang menang itu masih hidup. Kami asingkan Tongkol yang ini, dan diharapkan kerbau ini terus sihat. Sama-sama kita doakan. "Bukan setakat Tongkol, semua kerbau adalah kesayangan saya dan kalau ada yang mati, semestinya saya sedih," katanya. Antara gambar Muhammad Syukur yang dirakamkan oleh Yusuf Madi. Foto instagram Yusuffffffffffffffffffff Sementara itu, jurugambar yang merakamkan foto Muhammad Syukur dan kerbau bernama Tongkol yang dipilih sebagai pemenang bulanan oleh Asia Geographic turut menyuarakan kesedihannya. "Saya sedih sampai tak tahu nak kata apa. Saya pernah ke kandang melihat kerbau-kerbau peliharaan Muhammad Syukur. "Kalau saya sendiri orang luar turut bersedih, apatah lagi dia yang begitu rapat dan jinak dengan kerbau-kerbau tu. "Saya sendiri saksi Muhammad Syukur dan kerbau-kerbau dia ada bonding (ikatan) yang cukup kuat," tambahnya. Yusuf (kanan) bersama Muhammad Syukur di kandang kerbau. Foto Yusuf Madi Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali memberitahu mStar bahawa suntikan antibiotik diberikan kepada baki kira-kira 58 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur yang masih hidup, mulai Khamis. Beliau berkata, suntikan antibiotik itu diberikan kepada kerbau yang masih hidup sebagai usaha terakhir menyelamatkan ternakan berkenaan. "Semua kerbau telah dijangkiti penyakit, jadi tidak boleh diberikan vaksin, kerana ia akan memberi kesan buruk atau meningkatkan risiko kematian. "Apa yang kita lakukan adalah memberikan suntikan antibiotik bagi mencegah jangkitan sekunder serta meningkatkan daya tahan kerbau untuk melawan penyakit," katanya sambil menambah JPV sentiasa memantau ternakan dalam kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!