suria

Dah 2 tahun kucing tak jemu ziarah kubur tuannya, hanya balik masa lapar... menantu dedah kebaikan arwah bapa mentua - “Abah tak manjakan Nana pun”

Kucing berwarna oren yang dinamakan Nana ini setia menziarahi pusara tuannya sejak dua tahun lalu.

SEBUT sahaja kucing oyen (oren), pasti rata-rata netizen tidak dapat menahan rasa lucu dek kerana banyak kisah mencuit hati yang dipaparkan di media sosial melibatkan haiwan bulus ini.

Namun kisah seekor kucing oren yang mulai tular baru-baru ini pasti membuatkan netizen sebak dan tersentuh.

Menerusi perkongsian pelayar bernama Hazlynn Nozi di Facebook Kelab Pencinta Kucing Malaysia, kucing jantan yang diberi nama Nana membuktikan betapa sifat kasih dan setia seekor haiwan kepada manusia sememangnya wujud.

ARTIKEL BERKAITAN: “Apa-apa hal boleh tanya kucing akak!” - Ramai terhibur tengok abang kurier berdepan Bubu ‘buat teruk’ terima parcel, terbeliak biji mata

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Akak baju putih’ berlari pegang kucing dalam berita TV dikenal pasti... ada masalah ke? – “Setiap kali roadblock saya pura-pura tidur”

"Dua tahun lebih pemergian arwah abah, masih setia. Dari tanah kubur merah dan basah sehingga hari ini. Al-fatihah buat arwah Abah.

"Kubur ni belakang masjid, dan masjid tu sebelah rumah kami. Tiap pagi balik rumah untuk minta makanan kaki basah-basah kena embun, baru balik dari kubur.

"Semoga terus menjadi pengajaran buat kita semua, berbuat baiklah walau pada seekor kucing," tulisnya pada perkongsian tersebut.



Gambar Nana ketika hari pertama tuannya meninggal dunia.

Menurut wanita berkenaan, Nur Hazlynn Mohamat Nordin, sudah menjadi rutin Nana untuk menziarahi pusara bapa mentuanya, Abd Aziz Ismail setiap hari sejak dia meninggal dunia, dua tahun lalu.

"Sebenarnya si oyen ni saya yang bawa ke rumah abah sebab masa itu dekat rumah saya, dah ada beberapa ekor kucing. Kebetulan ketika itu abah baru saja pencen sebagai guru, anak-anak pula tinggal berasingan, jadi dengan oyen ni la abah hilangkan rasa bosan.

"Nama Nana pun abah yang pilih. Dia memang rajin mengekor abah pergi masjid yang terletak di sebelah rumah. Waktu Subuh kalau abah nak keluar rumah, dia siap tunggu dekat tangga sebab abah akan berinya makanan.

"Abah pelihara Nana ni style kampung saja... tak ada bawak pergi grooming atau salun kucing pun. Makanan pun beri yang biasa-biasa, tak mahal. Abah tak manjakan Nana macam tu.



Nana setia menziarahi pusara tuannya setiap hari tanpa jemu sejak dua tahun lalu.

"Tapi memang abah yang selalu layan Nana berinya makanan. Sebab itu Nana rapat dengan abah, lagi pula dah enam tahun duduk bersama di kampung di Tanah Merah, Kelantan," kata wanita berusia 25 tahun ini kepada mStar.

Bercerita lebih lanjut, Nur Hazlynn berkata bapa mentuanya meninggal dunia pada Ogos 2018 kerana komplikasi pelbagai penyakit kronik.

Orang masjid pun tahu tabiat Nana. Dia akan lompat pagar menyeberang dari rumah ke masjid. Nana akan balik bila lapar.

NUR HAZLYNN MOHAMAT NORDIN

MENANTU

"Pada hari pertama selepas abah meninggal dunia, Nana pun ikut kami ziarah pusara. Ingatkan dia saja-saja ikut sekali sebab ramai-ramai pergi.

"Tapi selepas itu pun, Nana pergi sendiri. Adik beradik kami mana yang tinggal berdekatan memang akan pulang rumah umi sebab setiap pagi Jumaat selepas sarapan, kami ziarah pusara arwah.

"Bila sampai saja di kubur, nampak Nana dah ada di kubur... dia sampai lagi awal. Selalu siapa-siapa yang ziarah, memang akan share gambar dekat group WhatsApp. Port kegemarannya di nisan bahagian kepala arwah abah.

"Sampai sekarang asal hilang saja, mesti tahu dah Nana pergi mana. Orang masjid pun tahu tabiat Nana. Dia akan lompat pagar menyeberang dari rumah ke masjid. Nana akan balik bila lapar," ceritanya lagi.



Kucing berwarna oren yang diberi nama Nana ini tinggal bersama arwah bapa mentua Nur Hazlynn sejak 6 tahun lalu.

Tambah Nur Hazlynn, dia berkongsi mengenai Nana di group Facebook sekadar untuk suka-suka.

"Selalu ramai share pasal oyen mereka yang lucu, kemudian saya teringat kami juga ada seekor oyen. Tapi oyen yang ini sentimental sikit.

"Kami sekeluarga pun tak sangka boleh jadi tular namun bersyukur, asbab daripada perkongsian mengenai si oyen ni, ramai yang tahu pasal arwah abah.

"Mudah-mudahan apabila ramai yang membaca kisah ini, dalam masa yang sama dapat sedekahkan Al-Fatihah buat arwah abah. Tiada apa yang kami harapkan... semoga kisah Nana jadi manfaat untuk semua," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain