suria

Asyik tolak pelawaan abang, tak jamah nasi lemak terakhir yang dibeli... adik bawa rasa terkilan sampai ke Jepun - “Dia meninggal tiga hari selepas birthday”

(kiri) Abang Nur Sabrina meninggal dunia tiga hari selepas hari ulang tahun ke-31. (kanan) Nur Sabrina bersama arwah abang pada majlis konvokesyen di universiti. -Foto ihsan Nur Sabrina Kamaruddin

TIADA siapa yang tahu bila seseorang itu akan dijemput Ilahi.

Pada masa sama, kita sering dinasihatkan agar menghargai keluarga kita selagi mereka masih ada.

Luahan seorang gadis di laman Twitter yang berkongsi perasaan terkilan selepas abangnya meninggal dunia akibat kemalangan tiba-tiba menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - "Tanpa mereka aku kosong"

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di ICU, keputusan pun cemerlang, hasrat abah sarung jubah tak kesampaian,"Ingat pesan buat sampai habis"

Berkongsi kisah berkenaan kepada mStar, Nur Sabrina Kamaruddin memberitahu, insiden berlaku pada 2018, pada minggu arwah abang sulungnya menyambut hari ulang tahun ke-31.



Tweet lama Nur Sabrina menjadi tular.

Gadis berusia 23 tahun itu berkata, pada hari berkenaan, abangnya, Muhammad Mukhtar mengajaknya untuk menyambut hari ulang tahun bersama keluarga.

"Saya masih ingat tarikh hari jadi arwah abang pada 24 Ogos. Tapi hari itu, saya terpaksa menolak kerana sibuk bekerja hingga lewat malam dan bergantung kepada pengangkutan syarikat untuk pergi dan balik.

"Ketika itu saya tinggal secara berasingan, kerana syarikat menyediakan tempat tinggal. Saya beritahu abang untuk makan bersama pada hari lain," katanya kepada mStar.

Nur Sabrina berkata, dia kemudian pulang ke rumah keluarganya di Desaru, Johor pada keesokannya tetapi tiada sebarang rancangan dibuat berikutan tiba lewat malam.

"Pagi 26 Ogos tu saya bangun tengok mak dan seorang lagi abang dah keluar. Abang sulung saya ajak saya untuk keluar makan sarapan bersama.

"Tapi saya tolak sebab nak keluar juga, ada urusan nak diselesaikan. Abang saya keluar seorang diri dan dia kemudian pulang semula ke rumah semasa saya bersiap-siap.

"Abang ada belikan nasi lemak sebungkus minta saya makan sebelum keluar. Tapi saya tak jamah sebab tak sempat," ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.



Nur Sabrina (kiri) begitu rapat dengan abang sulung.

Menurut Nur Sabrina, dia masih bermalam di rumah keluarganya pada hari berkenaan, manakala abangnya keluar bersama rakan-rakannya di Johor Bahru sejak petang sebelum menerima berita mengejutkan pada pukul 1.30 pagi.

"Keluarga pakcik tinggal bersama kami dan pakcik ketuk pintu bilik tidur mak semasa kami semua tengah tidur. Pakcik maklumkan abang sulung saya terbabit dalam kemalangan dan dimasukkan ke hospital.

"Berdasarkan gambar-gambar yang kami terima, abang dilihat terbaring di jalan, dengan kepalanya berdarah dan keadaan motosikalnya yang teruk," katanya sambil menambah abangnya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru pada pukul 12.30 malam ketika perjalanan pulang ke rumah.

Kita tak tahu bila orang yang kita sayang itu akan pergi buat selama-lamanya.

NUR SABRINA KAMARUDDIN

Selepas 12 jam kemalangan, gadis itu memberitahu abangnya menghembuskan nafas terakhir di hospital kerana otak gagal berfungsi selain kecederaan parah yang dialami.

"Perasan sedih dan terkilan tu tak boleh digambarkan, dia meninggal tiga hari selepas birthday dia.

"Saya tak dapat penuhi permintaan abang untuk sambut hari jadi bersama, memang tak ada makan-makan hari jadi sehingga dia meninggal dunia," katanya yang menyifatkan arwah abangnya sebagai seorang yang ceria, penyayang dan bertanggungjawab terhadap keluarga.



Kenangan... Nur Sabrina (tengah) bersama ibu (dua, kiri), arwah bapa (dua, kanan), arwah abang sulung (kiri) dan seorang lagi abang.

Dalam pada itu, dia turut menyuarakan kesedihannya sewaktu berkunjung ke Tokyo, Jepun, atas urusan kerja pada Oktober 2018, kira-kira dua bulan selepas pemergian abangnya.

"Saya dapat tahu pasal business trip ini lebih awal, kira-kira sebulan setengah sebelum arwah meninggal. Arwah memang kaki travel dan dah lama teringin nak ke Jepun.

"Dia makin teruja untuk ke Jepun bila dapat tahu saya akan ke sana. Sepanjang saya berada di Jepun, saya terkilan kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama dia.

"Selepas dia meninggal dunia, kami dapat tahu rupa-rupanya arwah dah buat perancangan dengan kawan-kawan dia untuk ke Jepun, siap beli baju, beg untuk persiapan. Tapi hasratnya itu tak kesampaian. Allah lebih sayangkan abang," katanya.



Nur Sabrina menyifatkan arwah abangnya seorang yang ceria, penyayang dan bertanggungjawab.

Nur Sabrina berkata, perkongsiannya sekadar meluahkan perasaan yang terbuku di hati dan mahu mengingatkan semua pihak untuk menghargai insan tersayang.

"Setiap orang ada urusan dan kesibukan masing-masing sehingga terpaksa tangguh untuk luangkan masa bersama. Tapi sesibuk mana pun, hubungilah mereka dalam pelbagai cara kalau tak dapat berjumpa seperti video call.

"Kita tak tahu bila orang yang kita sayang itu akan pergi buat selama-lamanya. Sekurang-kurangnya kita dapat menggembirakan mereka buat kali terakhir," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain