MACAM-macam ragam dapat disaksikan apabila kita menggunakan perkhidmatan kenderaan e-hailing, sama ada pemandu atau penumpang itu sendiri. Selain gaya pemanduan, sikap pemandu di sepanjang perjalanan juga diambil kira. Menerusi satu perkongsian yang tular, seorang penumpang wanita menceritakan pengalamannya menggunakan khidmat Grab di mana penumpang dihidangkan dengan lagu Melayu klasik. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis solat atas rumput tepi jalan, uncle Cina bawa Grab sanggup tunggu,"Kereta dia bersih, wangi... macam hatinya sebab respek kami" ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab cemas, penumpang di sebelah tiba-tiba lompat ke seat belakang - "Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar" Siapa sangka rupa-rupanya pemandu itu sebenarnya berbangsa Cina dan merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak dapat mendengar. Perkongsian Efa Aziz di laman Twitter menjadi tular. Bercerita lanjut kepada mStar, wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Efa Aziz berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Hartamas, Kuala Lumpur ke pusat membeli-belah Mid Valley. Wanita berusia 30 tahun itu memberitahu, sebaik melangkah masuk ke dalam kenderaan, dia disapa oleh pemandu lelaki berusia sekitar 60an yang mengangguk kepadanya. "Lepas uncle tu angguk, dia tukar frekuensi pada radio dalam kereta kepada saluran lagu-lagu Melayu klasik. Sepanjang perjalanan uncle tu diam saja, tapi saya okay. "Saya sebenarnya rasa lebih selamat sebab bagi saya, wanita lebih selesa kalau pemandu tidak banyak bercakap dan beri tumpuan kepada pemanduan. Kadang-kadang, kalau berborak nanti ditanya hal peribadi nanti tak selesa pula," katanya kepada mStar. Semakan Efa Aziz menerusi aplikasi Grab. Namun, Efa Aziz berkata, cara pemandu tersebut cukup menyenangkan kerana memilih lagu-lagu Melayu klasik yang cukup menenangkannya sepanjang perjalanan kira-kira 10 minit itu. "Saya nak tegur uncle ni sebab mainkan lagu-lagu Melayu kasik, nak cakap Uncle pun minat dengar lagu-lagu Melayu ke? Sebab jarang orang sekarang dengar lagu-lagu Melayu klasik. "Tapi saya tergerak hati nak periksa butiran uncle tu dalam aplikasi sebab manalah tahu uncle tu sebenarnya Melayu. Nanti saya pula yang malu," ujarnya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Respek uncle tu kerana pada usia warga emas dan OKU, dia mampu bekerja keras seperti orang muda EFA AZIZ Bagaimanapun, semakan menerusi aplikasi mendapati pemandu itu bukan sahaja berbangsa Cina malah juga merupakan OKU masalah pendengaran. "Bila dapat tahu uncle tu Cina dan pekak, saya terkejut. Uncle tu sanggup tukar saluran radio untuk beri keselesaan kepada saya. Pasang lagu Melayu klasik seolah-olah memberi gambaran bahawa saya dialu-alukan menaiki kenderaannya dengan cara yang tenang. "Tambahan pula, orang-orang dahulu tanpa mengira bangsa pun sebahagian mereka memang suka mendengar lagu-lagu Melayu klasik," katanya. Efa Aziz di sebalik penggambaran produk keluarannya. Foto instagram efaaziz Efa Aziz yang juga merupakan usahawan kosmetik itu lebih terharu kerana warga emas itu masih mempunyai kudrat untuk mencari sumber rezeki. "Saya tak tahu latar belakang dia, tapi saya respek uncle tu kerana pada usia warga emas dan OKU, dia mampu bekerja keras seperti orang muda," tambahnya. Grab Malaysia memberi maklum balas berhubung perkongsian Efa Aziz. Setibanya di destinasi, kata Efa Aziz, pemandu Cina itu mengucapkan terima kasih menggunakan bahasa isyaratnya dan dia turut berulang kali memberikan respons sama. "Uncle tu menyedarkan saya dan masyarakat supaya sekurang-kurangnya belajar asas bahasa isyarat seperti hello dan terima kasih, sebagai tanda kita menghargai mereka. "Walaupun ada kekurangan diri, uncle tu tetap ada semangat untuk bekerja dan paling penting dia ada kelebihan untuk membuatkan penumpang berasa lebih selesa," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!