suria

Drama ‘aiskrim’ 2 beranak buat pemuda ini insaf, ganjaran simple tapi cukup bermakna – “Belajar rajin-rajin tau, nanti ayah belanja lagi”

Kisah seorang budak perempuan menikmati aiskrim pemberian bapanya (gambar hiasan) memberi keinsafan pada diri Amirul (kanan). Foto Amirul: instagram amirulruslam

MENIKMATI aiskrim pastinya sesuatu yang mengujakan, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas.

Namun, kisah seorang anak yang teruja menikmati aiskrim yang dibeli bapanya menerusi satu perkongsian menyentuh emosi.

"Ayah itu keluarkan aiskrim Cornetto dari plastik lalu diberikan kepada anak perempuannya yang sedang duduk di atas motor, lalu anaknya berkata Terima kasih ayah, dah tiga bulan kita tak makan aiskrim ni kan," tulis seorang pengguna Twitter di akaun @AmirulRuslam.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan - "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo"

ARTIKEL BERKAITAN: Last menangis masa dapat SPM 10A, kali ini ayah 'banjir' lagi... nyaris kantoi sebelum kejutan kereta baharu menjadi! - "Ayah nak bertenang dulu"

Kejadian itu disaksikan sendiri oleh seorang pemuda di hadapan sebuah kedai serbaneka yang secara kebetulan meletakkan keretanya bersebelahan dengan motosikal milik si bapa tersebut.



Perkongsian Amirul mendapat perhatian netizen.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Amirul Aiman Ruslam berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5 petang berdekatan pejabatnya di Bangi, Selangor.

Anak muda berusia 24 tahun itu memberitahu, ketika itu dia sedang mengemas but keretanya sebelum terlihat telatah dua beranak yang menaiki motosikal.

"Sambil kemas-kemas barang tu, saya dapat dengar apa yang mereka bualkan kerana jarak motosikal mereka dan kereta saya hanya beberapa langkah sahaja.

"Si ayah beritahu hari ni ayah dapat gaji, kamu pun dapat keputusan peperiksaan yang baik. Kamu belajar rajin-rajin tau, nanti ayah belanja aiskrim lagi," katanya kepada mStar.



Kisah dua beranak mengundang sebak netizen.

Lebih mesra disapa Amirul, katanya, wajah budak perempuan yang berusia dalam lingkungan 10 tahun dan masih berpakaian seragam sekolah itu begitu ceria menyambut aiskrim berkenaan.

"Bayangkanlah aiskrim yang kita selalu makan dan boleh makan bila-bila masa budak tu hanya dapat selepas dihadiahkan oleh bapanya. Harganya sebatang mungkin sekitar RM3.

"Tunggu gaji baru beri aiskrim, kita mungkin boleh agak kemampuan keluarga pakcik tu. Kalau kita dapat keputusan peperiksaan yang baik mungkin antara kita minta yang lebih besar atau hadiah yang jauh lebih baik.

Usaha dan pengorbanan seorang ayah yang ingin menggembirakan anaknya walaupun hanya dengan sebatang aiskrim

AMIRUL AIMAN RUSLAM

"Tapi aiskrim tu sebagai satu ganjaran besar untuk dia, sesuatu yang sudah cukup bermakna untuk dia," ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Amirul yang juga jurugambar turut menyaksikan bapa berkenaan membukakan bungkusan dua aiskrim sebelum dua beranak itu makan bersama.



Amirul bertugas sebagai jurugambar. Foto instagram Amirulruslam

'Drama' yang berlangsung selama kira-kira 10 minit sebelum kedua-dua bapa dan anak berkenaan beredar dengan motosikal ternyata mencetuskan rasa keinsafan dalam dirinya.

"Saya lebih merasai keinsafan menyaksikan hal ayah dan anak itu yang mampu memberikan kebahagiaan dengan perkara simple atau sekecil-kecil seperti aiskrim.

"Kadang-kadang, kita fikir sudah susah kerana hanya ada RM50 untuk makan seminggu seorang. Tapi ada keluarga gunakan RM50 untuk makan sebulan.

"Dengan aiskrim kira-kira RM3, budak tu baru dapat selepas tiga bulan. Tapi kenikmatan dirasakan oleh budak tu sudah cukup besar bagi dia," tambahnya.

Dari segi penampilan si bapa, Amirul memberitahu pakaian lelaki tersebut kelihatan lusuh dan gayanya seperti pekerja yang membuat kerja-kerja pembinaan.

"Mereka sudah beredar, tapi saya masih duduk di dalam kereta. Renung seketika memikirkan usaha dan pengorbanan seorang ayah yang ingin menggembirakan anaknya walaupun hanya dengan sebatang aiskrim," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
aiskrim, cornetto, ganjaran, hadiah, ayah, anak,

Artikel Lain