suria

“Lima tahun saya tunggu” - Doktor kongsi kisah seorang wanita dan ungkapan ‘mama’, di sebaliknya ada nikmat ramai tak sedar

Seorang anak istimewa akhirnya dapat bertutur dengan memanggil ibunya dengan panggilan 'mama'. -Gambar hiasan

ANAK itu adalah anugerah Tuhan dan setiap ibu bapa pasti mahu yang terbaik buat anak-anak mereka.

Mendengar anak-anak memanggil nama panggilan mereka sudah tentu menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan, bezanya sama ada cepat atau lambat.

Di sebuah klinik, seorang ibu berkongsi kegembiraan melibatkan anaknya dengan seorang doktor, selepas penantian selama bertahun-tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Spot paling stabil 'bawah pokok’'... disitulah calon pelajar medik ditemuduga, pensyarah asyik dengar kicauan burung - "Nasihat saya jangan panik, berterus terang..."

ARTIKEL BERKAITAN: Anak ajak pergi camping, selamba je bapa buat unggun api depan rumah... tapi 'benda' lain di tingkap jiran pula jadi perhatian

"Anak istimewanya, seorang kanak-kanak autisme mula memanggil 'mama'. Lima tahun saya menunggu doktor," ujar Dr Rozanizam Zakaria menerusi laman Twitternya, mengimbas kembali luahan wanita berkenaan, sehingga diulang kicau sebanyak 4,900 kali.



Penantian lima tahun memberi kegembiraan kepada seorang ibu. -Gambar hiasan

Bercakap kepada mStar, Dr Rozanizam berkata, ibu tersebut berasa gembira kerana penantian untuk anak berusia lima tahun mula bertutur akhirnya terjawab.

"Walaupun masih banyak perkembangan yang perlu dibantu, namun sedikit-sebanyak permulaan itu memberi sinar bagi ibu tersebut untuk terus berjuang membantu anak yang berkeperluan khas.

"Saya tekankan keperluan untuk terus memberi perhatian kepada perkembangan anak, meneruskan terapi yang berjalan, terus belajar dan mengamalkan terapi di rumah bagi membantu anak," kata pakar psikiatri berusia 36 tahun itu kepada mStar.

Mengenai sepanjang tempoh lima tahun yang dilalui ibu berkenaan, Dr Rozanizam berkata, cabaran mendidik anak bekeperluan khas sememangnya banyak seperti tahap kesabaran menghadapi perilaku mereka yang adakalanya berbeza dengan anak normal yang lain.

"Sebahagiannya memerlukan bantuan dan perhatian yang sangat banyak bagi memastikan mereka melalui fasa hidup yang normal.

"Ada juga yang diuji dengan tekanan, bebanan kewangan, bebanan masa, malah ada yang terpaksa berhenti kerja bagi memberi perhatian kepada anak autisme mereka.

"Mereka perlu berulang banyak kali ke hospital dan pusat terapi bagi pelbagai jenis temujanji. Ini yang menuntut kesabaran," ujarnya sambil menambah kes-kes masalah perkembangan anak-anak biasanya dirujuk ke klinik psikiatri bagi mendapatkan pengesahan diagnosis.



Perkongsian seorang pakar psikiatri mengenai seorang ibu kanak-kanak austime.

Beliau yang berpengalaman mengendalikan kes-kes berkaitan autisme di klinik psikiatri kanak-kanak selama empat tahun berkata, sebahagian kes ibu bapa kepada kanak-kanak autisme mungkin ke tahap berputus asa.

Sehubungan itu, beliau yang juga bertugas sebagai pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) tempatan menasihatkan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme supaya terus tabah berjuang membantu membesarkan anak-anak.

Banyak nikmat yang kita terlupa itu sebenarnya nikmat. Bila anak kita memanggil kita sehari-hari, tak terasa besarnya kurniaan Allah.

DR ROZANIZAM ZAKARIA

"Sedari kekuatan dan potensi anak dan jangan hanya melihat kekurangan. Dapatkan sokongan dari profesional, rakan-rakan dan keluarga serta kumpulan-kumpulan sokongan. anda tidak bersendirian.

"InsyaAllah dengan usaha dan sokongan, kita dapat sediakan yang terbaik untuk anak-anak ini. Bagi ibu bapa yang lain, dapatan penilaian sekiranya anak lambat bertutur dan mempunyai masalah perkembangan," tambahnya.



Dr Rozanizam Zakaria. Foto Facebook Dr Rozanizam Zakaria

Mengenai kisah anak autisme yang dikongsikannya itu, Dr Rozanizam berkata, penantian lima tahun oleh ibu tersebut merupakan satu nikmat yang dikecapinya.

"Banyak nikmat yang kita terlupa itu sebenarnya nikmat. Bila anak kita memanggil kita sehari-hari, tak terasa besarnya kurniaan Allah.

"Sebab kita terlalu sibuk mengira kesusahan, sampai terlupa kesenangan yang Allah pinjamkan," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain