suria

Pasar basah jadi norma baharu bekas pekerja bank selepas 4 bulan ‘separuh gila’, hilang arah - “Saya menangis meluahkannya kepada mak”

Dari seorang kerani bank, Faidhi kini berniaga kecil-kecilan menjual produk masakan ibunya. Foto ihsan Muhammad Faidhi Kamel Muhizam

BUKAN sekadar hilang sumber pendapatan, malah boleh membuatkan hidup merana apabila kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Hanya mereka yang melaluinya dapat merasai bagaimana beratnya dugaan tersebut.

Seperti seorang pemuda, perjalanan kerjayanya selama sedekad di sebuah bank terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpanan licin, pemuda hilang kerja akibat PKP tak sangka bisnes masyuk! Menu dari seberang buat pelanggan jauh pun terliur, nak order banyak

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

"April lepas selepas saya ambil VSS atas beberapa sebab, empat bulan saya rasa tak tentu arah macam separuh gila," tulisnya di laman sosial yang merujuk kepada skim pemisahan sukarela (VSS) yang ditawarkan kepadanya.



Posting seorang pemuda yang kehilangan kerja.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Muhammad Faidhi Kamel Muhizam berkata, dia bertugas sebagai kerani di sebuah bank sejak 2010 sebelum VSS ditawarkan oleh syarikatnya di Kuala Lumpur yang terpaksa mengurangkan pekerja.

Anak muda berusia 31 tahun itu memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka menjadi sebahagian besar yang menerima impak pandemik Covid-19.

"Bila saya berhenti dari bank tu terus PKP. Selama empat bulan tu saya tak tahu macam mana nak 'kembangkan' duit.

"Mungkin saya berfikiran ortodoks, yang cuma tahu bila dapat duit kemudian simpan duit. Saya struggle nak cari kerja lain disebabkan PKP ketika itu," katanya.



Mengambil tempahan daripada pelanggan.

Lebih mesra disapa Faidhi, dia kemudian menyedari sebenarnya bukan hanya dia seorang yang kehilangan pekerjaan tetapi ada ramai lagi yang senasib dan mereka mampu bersaing untuk mencari rezeki.

"Saya terdetik dalam hati kenapa saya tak boleh buat perkara yang sama. Tapi saya tak reti sebab tak ada pengalaman berniaga kalau nak jual produk orang, kena bersaing lagi.

"Selepas tu saya terfikir yang mak pakar memasak. Saya bincang dengan mak apakah benda yang dia boleh buat untuk kami jual," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.



Faidhi (kanan) bersama ibu yang banyak memberikannya semangat.

Faidhi yang berasal dari Puchong, Selangor berkata, beberapa menu air tangan ibunya seperti sambal ikan masin, acar ikan masin dan lauk kampung akhirnya dihasilkan.

"Serius sebelum itu saya terlalu banyak berfikir pasal keadaan yang menimpa saya, sampai menangis apabila meluahkannya kepada mak.

Kalau tak ada rezeki, tak bermakna hidup ini dah habis. Sepatutnya kita kena teruskan usaha.

MUHAMMAD FAIDHI KAMEL MUHIZAM

"Tapi mak banyak beri nasihat dan semangat kepada saya. Kalau tak ada rezeki, tak bermakna hidup ini dah berakhir. Sepatutnya kita lagi kena teruskan usaha.

"Buat masa ini, bukan nak jadi kaya. Cukup pakai, cukup makan itu sudah memadai," katanya sambil menambah ibu bapanya kini menetap di Semenyih.



Memasak lauk-pauk untuk dijual kepada pelanggan.

Anak muda itu tidak menyangka selama ini hanya berkunjung ke pasar raya besar untuk membeli barangan keperluan, kini mula menjejakkan kaki di pasar basah.

"Nak beli segala bahan mentah untuk mak masak lauk memang kena cari di pasar basah sebab banyak pilihan dan harganya jauh lebih murah.

"Inilah norma baharu saya. Saya dah mula menyesuaikan diri dengan keadaan di pasar basah kerana hampir setiap minggu saya datang untuk beli bahan mentah," ujarnya.

Pada masa sama, Faidhi tidak pernah berhenti berharap untuk kembali mempunyai pekerjaan dengan pendapatan tetap bulanan.

"Keinginan untuk bekerja tetap itu masih ada, tapi saya tak memilih. Apa pun, saya bersyukur kerana dapat berniaga secara kecil-kecilan dan akan mengembangkannya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain