suria

Tweet merapu jurutera putus cinta nak masak Oreo tarik perhatian si dia... sudahnya romantik, ‘gila-gila’ satukan 2 rakan sekolej – “Dulu tak pernah cakap pun”

Bermula tweet merapu, Khairunnisa bertemu jodoh dengan rakan sekolej.

SIAPA sangka dari tulisan di laman Twitter mempertemukan jodoh seorang wanita dengan jejaka pilihannya sehingga ke jenjang pelamin.

"Esok aku rasa nak beli Oreo buat Oreo goreng, takpun Oreo kukus masak tiga rasa.

Demikian satu tangkapan skrin tulisannya mengenai masakan berasaskan biskut itu, yang dikongsikan di laman sosial dengan fotonya bersama seorang lelaki dalam persalinan baju pengantin.

ARTIKEL BERKAITAN: Luahan suami sweet sangat... pengantin perempuan 'cair' dedah kisah kereta pinjam aircond rosak, date kat kedai mamak - "Dia tulis tentang jodoh di tudung PLKN saya"

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga tahun hanya mesej di Twitter, nak jumpa punyalah susah sehingga episod drama air mata - "Tak kisahlah siapa ambil langkah pertama"

Wanita berkenaan, Khairunnisa Su’ib berkata, menerusi ciapan di laman Twitternya pada Januari 2018, dia sekadar melepaskan perasaan kecewanya yang putus cinta ketika itu.



Tweet 'Oreo' Khairunnisa pada 2018 mendapat respons.

Bercakap kepada mStar, wanita berusia 28 tahun itu mengakui membuat ciapan (tweet) yang pelik-pelik di laman sosial sekadar suka-suka dan hiburan bersama pengikutnya.

"Masa baru putus cinta tu, macam-macam tweet merapu saya buat termasuklah yang Oreo ni. Sebenarnya tak ada pun saya buat Oreo goreng atau Oreo kukus masak tiga rasa.

"Tak sangka pula salah satu tweet yang merapu ini menarik perhatian dia, seorang pemuda yang menjadi rakan saya di Twitter sejak 2012," katanya kepada mStar.



Khairunnisa (kanan) mula mengenali suaminya sejak belajar di kolej pada 2011.

Khairunnisa berkata, pemuda tersebut sebenarnya dikenalinya sewaktu menuntut di Intec Education College di Shah Alam, Selangor, setahun sebelumnya pada 2011.

"Kami belajar di kolej yang sama, juga dalam kumpulan rakan-rakan yang sama. Tapi sepanjang tempoh pengajian di kolej, kami tidak pernah bercakap bersama.

"Sehinggalah kami mengikuti antara satu sama lain di laman Twitter setahun kemudian, sebelum tercetusnya tweet-tweet merapu saya pada 2018," ujarnya.



Pasangan ini disatukan pada 11 September 2020.

Rentetan daripada ciapan merapu berkenaan, Khairunnisa yang berasal Bahau, Negeri Sembilan memberitahu kedua-dua mereka mulai rapat dan mengenali antara satu sama lain.

"Tak sangka juga masa tu dia pun baru putus cinta. Jadi, kami menjadi kawan lebih rapat sebelum meneruskan hubungan yang lebih serius," tambahnya.

Dari tak bercakap antara satu sama lain di kolej, kemudian jadi rakan Twitter sehinggalah rapat selepas tweet merapu pasal Oreo

KHAIRUNNISA SU'IB

Hubungan jurutera itu bersama jejaka pilihannya menjadi lebih serius apabila mengikat tali pertunangan pada Mac lalu, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Khairunnisa, dia dan suaminya mendirikan rumah tangga pada 11 September lalu.



Hanya rapat selepas bertahun-tahun mengikuti akaun Twitter masing-masing, Khairunnisa kini bergelar isteri kepada rakan sekolejnya.

"Keperibadian suami yang begitu lemah-lembut dan romantik membuatkan saya terpikat dengannya. Okaylah tu, saya seorang yang perangai 'gila-gila' dan seorang lagi romantik.

"Beberapa rakan tak sangka kami jadi rapat dan berkahwin. Dari tak bercakap antara satu sama lain di kolej, kemudian jadi rakan Twitter sehinggalah rapat selepas tweet merapu pasal Oreo.

"Benarlah, jodoh dan pertemuan itu adalah ketentuan Tuhan dan saya bersyukur dia menjadi pilihan saya sebagai suami," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tweet, oreo, twitter, pengantin, kahwin, jodoh, merapu,

Artikel Lain