suria

“Mula-mula tangan sebelah kiri mengecut” - Bapa tunggal menderita, tubuh nampak seperti tulang dibaluti kulit selepas pemergian ibu

Bapa tunggal kepada seorang anak perempuan ini menderita sakit saraf sejak beberapa tahun lalu dan keadaannya semakin teruk selepas Aidilfitri.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begituah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan situasi seorang lelaki yang kini hanya mampu terlantar di katil selepas diserang penyakit saraf.

Lebih menyedihkan, badannya terlalu susut sehingga jelas kelihatan tulang temulang yang hanya dibaluti kulit.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sebelum berlaku, mata putih bertukar jadi biru” - Derita penyakit jarang jumpa, wanita dedah dah lebih 100 kali patah tulang

ARTIKEL BERKAITAN: Perginya mengejut, bapa tunggal hiba anak 4 bulan demam panas rindukan ibu – “Saya gantung baju arwah tepi baby cot, pakai minyak wangi arwah”

Kisah lelaki ini mula mendapat perhatian selepas dikongsikan oleh beberapa laman Facebook.

Berkongsi cerita dengan mStar, Idris Ahmad berkata abangnya yang bernama Kamaruzzaman sudah menderita penyakit saraf sejak hampir lima tahun lalu, namun keadaannya bertambah teruk bermula selepas Aidilfitri lalu.

Perkongsian mengenai Kamaruzzaman yang dimuat naik di Facebook.

"Abang saya mula dikesan menderita penyakit ini selepas setahun pemergian arwah ibu kami pada 2015. Dia berpindah tinggal di rumah pusaka ini bersama saya demi menjaga ibu yang sakit.

"Selepas ibu meninggal, abang yang juga seorang bapa tunggal terus tinggal di sini bersama seorang anak perempuannya berusia 15 tahun.

"Pada mulanya, tangannya di sebelah kiri kelihatan mengecut dan akhirnya menjadi lemah sebelum keadaan sama turut menyerang tangan kanannya. Beberapa kali ke hospital, doktor beritahu abang hidap sakit saraf," ujar lelaki berusia 48 tahun ini.

Abang ketika ini hanya mampu menerima susu yang disalur menerusi tiub. Dia tak boleh menerima makanan langsung. Kalau makan, dia akan sesak nafas. Manakala tangan dan anggota badan yang lain sangat lemah.

IDRIS AHMAD

ADIK

Tambah Idris yang masih bujang, dia kini mengambil tugas menjaga abangnya bersama dengan anak saudaranya itu bergilir-gilir.

Lebih memeritkan, Idris kehilangan pekerjaan tetapnya sebagai seorang pekerja kilang beberapa bulan lalu selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya kini hanya bekerja kampung atau apa sahaja kerja yang boleh untuk memperoleh pendapatan. Ini kerana kos untuk penjagaan abang agak tinggi terutamanya bagi membeli susu khas dan lampin pakai buang.

"Abang ketika ini hanya mampu menerima susu yang disalur menerusi tiub. Dia tak boleh menerima makanan langsung. Kalau makan, dia akan sesak nafas. Manakala tangan dan anggota badan yang lain sangat lemah.



Kamaruzzaman terlantar sejak dua bulan lalu dan hanya dapat meminum susu.

"Dia boleh bertutur tetapi secara perlahan-lahan. Kadang-kadang dia ada meluahkan namun sebagai adik, saya hanya mampu berikan kata-kata semangat untuknya," katanya yang menetap di Chemor, Perak.

Tambah Idris, dia bagaimanapun bersyukur kerana nasib mereka mendapat perhatian ramai.

"Alhamdulillah, abang saya ada juga mendapat sumbangan daripada baitulmal dan pihak berwajib. Begitu juga dengan anak saudara perempuan saya, dia mendapat biasiswa untuk menampung pelajaran.

"Saya bersyukur sangat, sedikit sebanyak bantuan ini meringankan beban kami. Tak lupa kepada rakyat yang prihatin dan menyalurkan sumbangan selepas kisah abang saya tular baru-baru ini.



Antara komen netizen yang medoakan kesembuhan Kamaruzzaman.

"Saya wakili keluarga ingin ucapkan terima kasih tak terhingga. Hanya Allah saja yang mampu membalas jasa semua. Saya sebagai adik akan bantu jaga abang selagi termampu.

"Tiada apa yang diharapkan, melainkan melihat dia sihat kembali. Kalau boleh berjalan, Alhamdulillah sangat," katanya.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, Idris boleh dihubungi di talian 013-4439477.

Sementara itu, perkongsian di laman Facebook dibanjiri dengan ucapan netizen yang menzahirkan rasa simpati dan mendoakan kesembuhan Kamaruzzaman.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain