suria

Apa dah jadi? Netizen mengamuk alami gangguan servis, Celcom tawar token kepada penggunanya!

Netizen khususnya pengguna Celcom meluahkan rasa marah ekoran gangguan teknikal syarikat telekomunkasi tersebut pada petang Ahad.

MEDIA sosial pada petang Ahad dibanjiri dengan luahan kemarahan netizen khususnya pengguna Celcom gara-gara menghadapi masalah rangkaian dan kesukaran membuat panggilan berikutan masalah teknikal.

Masalah tersebut dikatakan bermula sejak pukul 3 petang tadi.

Ramai pengguna di Twitter meluahkan rasa marah dan kesal dengan perkhidmatan yang diberikan syarikat telekomunikasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengguna Celcom Berang

ARTIKEL BERKAITAN: SKMM Keluar 23 Kompaun RM1.01 Juta Kepada Telco

Ini berikutan gangguan yang dihadapi ini bukanlah kali pertama, sebaliknya sudah beberapa kali berlaku kebelakangan ini.

Gara-gara situasi tersebut juga, kata kunci #Celcom menjadi topik paling trending di Twitter pada ketika ini.

"Sudah hampir empat jam dan masih berlarutan?" komen seorang netizen.

"Skrin telefon saya retak kerana saya terlalu marah dengan Celcom hari ini. Ini adalah tempoh paling lama perkhidmatan terganggu," kata seorang netizen lain.

"Kenapa saya benci bekerja dari rumah? Kerana Celcom selalu buat hal," demikian kata seorang lagi netizen.

"Tahukah anda berapa kerugian pemandu Grab kerana gangguan perkhidmatan hari ini?" komen seorang netizen meluahkan rasa marah.



Antara komen netizen yang meluahkan rasa marah ekoran gangguan perkhidmatan pada petang tadi.

Sementara itu Celcom dalam kenyataan rasmi berkata pihaknya sedang berusaha memperbaiki dan mengembalikan perkhidmatan dengan segera.

"Pengguna di kebanyakan kawasan menghadapi masalah rangkaian dan panggilan yang disebabkan masalah teknikal.

"Pasukan teknikal kami sedang sedaya upaya memperbaiki masalah dan akan segera mengembalikan perkhidmatan secepat mungkin.

"Perkhidmatan mula beransur pulih bermula jam 6 petang hari yang sama.

"Sebagai token penghargaan kami kepada para pelanggan, semua penggunaan data untuk kuota yang diperuntukkan kepada pelanggan kami, tidak akan dipotong dari jam 6 petang hingga 12 malam pada 4 Oktober," demikian kata kenyataan tersebut.



Celcom berjanji memberi token kepada pelanggannya susulan gangguan teknikal yang berlaku.

Untuk rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Julai lalu telah mengeluarkan sebanyak 92 kompaun bernilai RM4.6 juta setakat suku kedua 2020 kepada syarikat-syarikat telekomunikasi atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan pengebilan, prestasi penyelesaian aduan bukan pengebilan dan standard prestasi pengendalian panggilan (talian hotline pelanggan).

Celcom dikenakan sebanyak 24 kompaun bernilai RM 1.2 juta di atas Ketidakpatuhan Standard Mandatori Bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), manakala Digi Telecommunications Sdn Bhd pula dikenakan 31 kompaun bernila RM 1.55 juta.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain