suria

Non stop buat live pasal Covid-19, wartawan digelar ‘Cikgu Covid’ tak sangka dijangkiti virus selepas pulang Sabah – “Orang dalam wad ni baik-baik belaka”

(kiri) Seorang wartawan berkongsi pengalamannya berada di wad Covid-19. (kanan) Dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan. Foto Facebook

SEJAK hari pertama pandemik Covid-19 yang menggemparkan seluruh dunia, antara golongan paling sibuk adalah pemberita atau wartawan yang membuat liputan saban hari.

Dari pengumuman khas perdana menteri, sidang media harian menteri kanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehinggalah apa saja bentuk berita bernilai sekecil-kecil kuman berkaitan dengan wabak itu diangkat pemberita untuk tatapan serta perkembangan masyarakat.

Namun, salah seorang wartawan tempatan ini sama sekali tidak menyangka apabila tanggungjawab yang digalas selama ini dengan membuat liputan mengenai Covid-19 kini berubah di mana dia kini disahkan positif dijangkiti virus itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi pesakit paling muda, imam bangga dengan tindakan anak di wad Covid-19... tak sangka ada yang gigih cari info anaknya ketika kuarantin

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse rasa kerdil rawat pelajar tahfiz, menangis dengar azan - "Kami berjuang dengan baju berlapis-lapis, bila masuk wad rasa tenang"

Berita mengejutkan itu didedahkan sendiri oleh pemberita berkenaan menerusi halaman Facebook.

"Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula 18 Mac, saya tak pernah berhenti buat live pasal Covid-19 sampaikan saya digelar Cikgu Covid.

"Tapi hari ini, saya diuji apabila saya pula positif Covid. Doakan saya sihat dan dipermudahkan segala urusan," tulisnya menerusi halaman Facebook Azrul Affandi Sobry pada Ahad malam.



Azrul dibawa ke Hospital Sungai Buloh dengan menaiki ambulans.

Turut dimuat naik adalah gambarnya sambil membawa beg pakaian memasuki ambulans untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh di Sungai Buloh, Selangor.

Azrul yang menetap di Kajang, Selangor itu dijangkiti Covid-19 setelah kembali dari Sabah, susulan membuat liputan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Menerusi posting terbaharu pada pagi Selasa, Azrul memaklumkan dirinya berkongsi pengalamannya yang kini berada di wad pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh.

"Pagi pertama di wad Covid-19, Sungai Buloh. Serius aku masih macam tak percaya. Selama ini aku yang paling lantang berbicara mengenai Covid-19 dan hari ini aku menjadi mangsa tentera virus ini.

"Tapi aku reda kerana mungkin ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada aku. Wad isolasi ini bukan macam wad biasa. Ia lebih kepada satu bilik yang mengasingkan pesakit Covid-19 sebelum dipastikan sama ada perlu dipindahkan ke wad rawatan jika sangat memerlukan," katanya yang berusia 42 tahun.



Petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan terhadap Azrul.

Dia yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak itu menggambarkan bilangan pesakit yang ramai di dalam wad tersebut, dianggarkan lebih 50 orang.

"Muda-muda semuanya. Adalah sorang dua yang aku rasa berusia 50-an. Mungkin warga emas diletakkan di wad lain.

Serius aku masih macam tak percaya. Selama ini aku yang paling lantang berbicara mengenai Covid-19 dan hari ini aku menjadi mangsa tentera virus ini

AZRUL AFFANDI SOBRY

"Ada juga adik-beradik dalam wad yang sama. Budak tu mungkin dalam 10 tahun usianya. Mujur abangnya ada sekali. Dapatlah juga dia berteman. Abangnya selalu mengusiknya, mungkin nak hilangkan kebosanan mereka," tambahnya.

Menghitung hari untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, pemberita tersebut berteka-teki apakah aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di hospital.



Ambulans yang tiba di kediaman Azrul di Kajang.

Bagaimanapun, Azrul mengharapkan agar diberikan kesembuhan segera dan tiada komplikasi akibat jangkitan virus tersebut.

"Aku pun tak tahu macam mana nak habiskan 14 hari di sini kerana memang tiada apa yang boleh dibuat kecuali baring, ke tandas, surau dan baring semula.

"Pagi ini darah diambil. Petang ni X-Ray pula. Semoga tak ada apa-apa masalah besar. Kalian doakan saya ya. Orang dalam wad ni pun baik-baik belaka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain