SETIAP insan diberikan ujian, cuma bezanya ia hadir dalam pelbagai bentuk. Sebesar mana pun ujian yang datang, ia untuk mengukur sejauh mana tahap kesabaran seseorang. Sebagaimana kisah yang dicoret oleh wanita ini, dia berkongsi pengalaman membesarkan seorang cahaya mata yang dilahirkan sumbing dan tanpa lelangit. ARTIKEL BERKAITAN: Jari tumbuh ketulan kecil sejak usia 8 bulan, ibu tak sanggup lihat si kecil kudung... anak selalu tanya “mama, bila nak potong?” ARTIKEL BERKAITAN: Tengah sarat mengandung, doktor beritahu tangan anak pertama perlu dipotong... apa yang ibu tabah ini beritahu kepadanya cukup menyayat hati! Menerusi perkongsian di Facebook, wanita yang dikenali dengan nama Nur Jannah berkata dia hanya mengetahui anaknya, Imran Haziq mempunyai masalah sumbing hanya selepas beberapa minit dilahirkan pada tanggal 29 November 2012. "Kurang dari empat minit Imran berjaya dikeluarkan. Perasaan gembira menjadi seorang ibu tetapi dalam masa yang sama bermulalah ujian dalam hidup kami. "Pada awalnya, aku pelik kenapa nurse tak bawak Imran pada aku untuk disusukan. Dia hanya cakap, 'Tahniah Puan. Puan dapat baby boy. Dia sumbing. Puan jangan risau boleh repair ni' dan dia terus bawak Imran keluar. Masa tu, aku tak boleh nak fikir apa-apa. Cuba tenangkan hati, mungkin doktor nak tengok Imran," cerita Nur Jannah. Hampir tiga minggu lamanya Nur Jannah dan bayinya berkampung di hospital sebelum dibenarkan pulang. Pasangan suami isteri ini sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk cahaya mata mereka, Imran Haziq. Genap usia tiga bulan, bayinya menjalani pembedahan pertama untuk membetulkan bibir. "Bila semuanya dah sedia, aku ikut masuk ke bilik bedah. Lutut longgar tengok perkakas pembedahan tepi katil bedah. Masa tu rasa nak bawak Imran lari keluar. Doktor minta aku letak Imran atas katil. "Dia cakap ibu, boleh cium anak sebelum kami bagi dia tidur. Aku cium dahi Imran, mata dah bengkak tahan nangis. Sebelum doktor bagi gas, Imran tengok aku dan dia senyum. Betul, dia senyum sambil tengok aku. Lagi teruk aku nangis," ceritanya sambil menambah, pembedahan tersebut berlangsung selama lima jam. Menurut Nur Jannah, peringkat ini memerlukan kesabaran dan pengorbanan lebih 100 peratus kerana bayinya memerlukan penjagaan yang benar-benar teliti. "Nak jaga Imran bukan mudah. Dia tak boleh nangis. Kalau dia nangis, jahitan boleh terbuka semula. Seminggu kami tak tidur, gilir-gilir jaga taknak bagi dia nangis. Cara tidur atas dada, kena tinggi. Minum susu guna botol khas. Dekat setengah tahun kami tidur berjaga-jaga nak pastikan Imran tak nangis lama-lama,"ceritanya. Imran Haziq sudah melalui empat siri pembedahan sehingga kini. Pada tanggal 1 Janurai 2015, anak kecilnya sekali lagi perlu menjalani pembedahan untuk membuat lelangit. "Tapi kali ni lagi sayu. Hujung lidah diikat, di tarik ke tepi dan benang tu di seletop pada pipi supaya lidah tak ganggu lelangit baharu. Ya Allah, masa ni rasa dunia berhenti sekejap. Dengan darah keluar dari mulut. Dia merengek tak berhenti. Aku masa ni memang dah tak kuat. "Keesokan harinya doktor buka ikatan di lidah Imran. Tak lama lepas tu Imran mula senyum dan aktif. Selama setahun setengah makan nasi lembut dan susu sahaja," ceritanya. Bila anak dah besar tolong jangan sembunyi perkara sebenar. Ceritakan semua pada dia. Jadi dia akan lebih bersedia pada masa akan datang dari segi emosi. InsyaAllah. NUR JANNAH IBU Siri pembedahan seterusnya berlangsung setahun kemudian, di mana kali ini pembedahan dilakukan untuk memasukkan tiub ke dalam telinga. Pembedahan kali keempat turut dilakukan untuk memasukkan tiub ke dalam telinga, di mana ia dilakukan tiga tahun lalu. Menurut Nur Jannah, empat kali menghantar anaknya ke dewan bedah, dia lebih bersedia dan kuat berbanding sebelumnya. Antara komen netizen yang memberikan kata-kata semangat buat wanita ini. "Andai aku menangis, Imran juga akan turut menangis meskipun dia tak memahami kenapa aku sedemikian. Siapa lagi yang akan beri kekuatan pada Imran kalau bukan aku, ibunya. "Kehadiran Imran mengeratkan hubungan kami suami isteri. Jika dulu, kami sering bergaduh meskipun hal yang kecil tapi kini kami berbeza. Ada perkara yang lebih penting perlu difikirkan. Dan segalanya kerana Imran. Tentang Imran," katanya. Tambah wanita ini lagi, anaknya yang kini berusia lapan tahun perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk membetulkan gusi dan gigi. "Aku berharap itu operation terakhir. Bila anak dah besar tolong jangan sembunyi perkara sebenar. Ceritakan semua pada dia. Jadi dia akan lebih bersedia pada masa akan datang dari segi emosi. InsyaAllah," tulisnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!