suria

Kecoh kisah makan di rumah Ayah Long, martabat kaum lelaki diletak sangat tinggi - “Dia langsung tak pernah demand isteri layan begitu”

Tweet Yusri menimbulkan kekecohan di media sosial gara-gara ditafsir dengan konteks berbeza.

GARA-GARA tweet 'kisah di rumah Ayah Long' yang dimuat naik beberapa hari lalu, pemuda ini menerima kecaman hebat daripada netizen.

Ini kerana tweet berkenaan ditafsir dari sudut berbeza, seolah-olah merendahkan martabat wanita.

"Bila makan di rumah Ayah Long. Ada peraturan yang mana lelaki mesti suka - air basuh tangan kena ada, lelaki makan dulu, wanita standby tengok apa tak cukup, apa yang tak cukup wanita yang cukupkan, sudah makan laki tak dibenarkan angkat pinggan ke sinki atau cuci," demikian tulisnya pada tweet berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu cari rak buku ketika ziarah didakwa tak beradab, sebenarnya ada kisah di sebalik apa yang berlaku – “Jika jumpa saya harap tidak terasa hati”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita lontar pendapat ‘rare’! Hantar parcel waktu tengah hari dianggap tak beradab - “Saya pakai telekung je ambil barang”

Sehingga kini tweet tersebut meraih sehingga 4,100 retweet selain dibanjiri komen daripada netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati.

Bagaimanapun menurut Wan Abdullah Yusri Wan Johar, dia sama sekali tidak bermaksud untuk menyentuh martabat wanita atau sebagainya, sebaliknya ia hanyalah perkongsian pengalaman ketika dia menjadi tetamu di rumah bapa saudaranya itu yang dipanggil Ayah Long.



Yusri menjelaskan tujuan memuat naik tweet berkenaan sebagai perkongsian pengalaman ketika menjadi tetamu di rumah bapa saudaranya.

"Saya tahu ramai yang kecam namun ia disebabkan penerimaan setiap orang itu berbeza-beza, dan satu lagi puncanya tweet tersebut diambil sebahagian sahaja walhal ada lagi penerangan saya di bawah.

"Disebabkan ia diambil separuh saja oleh ramai pihak, maka itu yang menimbulkan fitnah dan salah faham," jelasnya kepada mStar.

Bercerita lebih lanjut, pemuda berusia 25 tahun ini berkata budaya di setiap rumah adalah berbeza-beza apabila menyambut tetamu, begitu juga dengan bapa saudaranya yang dipanggil Ayah Long dan ibu saudaranya yang digelar Enda.

Sebenarnya saya pernah tinggal sekitar dua tahun bersama Ayah Long sedikit masa lalu. Sikap Ayah Long, dia langsung tak pernah demand untuk dilayan sebegitu oleh isterinya tapi sikap ibu saudara semula jadinya seperti ini.

WAN ABDULLAH YUSRI WAN JOHAR

"Saya sebagai tetamu di rumah mereka ketika itu, dan sudah pasti setiap tuan rumah akan melayan tetamu dengan baik. Pasti setiap daripada kita sama ada lelaki mahupun wanita ingin dilayan dengan baik, dan untuk itu kita perlu melayan orang dengan baik.

"Sebenarnya saya pernah tinggal sekitar dua tahun bersama Ayah Long sedikit masa lalu. Sikap Ayah Long, dia langsung tak pernah demand untuk dilayan sebegitu oleh isterinya tapi sikap ibu saudara semula jadinya seperti ini.

"Dan tak benar kononnya Ayah Long akan makan dahulu sebelum isterinya setiap kali tiba waktu makan. Ada je ketikanya ibu saudara makan dulu, ada saja waktunya mereka makan berdua," cerita pemuda yang kini menetap di Jerantut, Pahang.



Yusri membuat beberapa ciapan lain menerusi bebenang mengenai kisah di rumah bapa saudaranya yang hanya diambil sebahagian.

Menyifatkan kecaman tersebut merupakan paling teruk yang pernah diterimanya, pemuda ini menyuarakan rasa sedikit terkilan kerana tempiasnya turut dirasai oleh keluarga.

"Jujurnya saya sendiri tak rasa apa-apa pun bila dikecam cuma terkilan juga bila melibatkan keluarga walaupun mereka sangat okay. Terdetik dalam hati, macam mana didikan mereka ini sehingga tergamak meluahkan kata-kata cacian.

"Bagi saya, tak salah untuk berbeza pendapat namun ia patut diraikan dengan betul. Budaya dan suasana di setiap rumah semestinya berlainan. Pendek kata, setiap rumah mesti ada budaya masing-masing.



Yusri mengusahakan kebun milik keluarganya sejak menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pada 2018.

"Selain komen, saya juga terima mesej di DM yang mengecam namun ramai sangat yang minta maaf selepas mereka tahu cerita sebenar. Sebab saya sememangnya jadikan Twitter sebagai diari dan dari situ mereka tahu.

"Saya hargai setiap kata-kata dan komen yang baik dan saya mendoakan perkara yang baik berbalik semula kepada mereka. Bagi yang kecam, saya tak doakan pun yang jahat-jahat. Cuma kena tahu, kita boleh berbeza tapi ada adab dan bahasa yang perlu dijaga," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain