suria

Dah patah balik, niat nak hantar 3 beranak tak berduit jalan kaki dari Tanjung Malim-Bentong tak kesampaian - “Ayah dah cuba yang terbaik”

Bapa Dania (kiri) membantu menumpangkan tiga beranak keluarga Orang Asli di Kuala Kubu Bharu. -Foto ihsan Nur Dania Batrisyia Syuaib

BAYANGKAN sekiranya anda perlu berjalan kaki selama kira-kira 22 jam untuk tiba ke destinasi.

Begitulah yang terpaksa dilalui oleh sebuah keluarga Orang Asli yang mahu berjalan kaki dari Tanjung Malim, Perak ke Bentong, Pahang.

Namun, siapa sangka perjalanan dengan berjalan kaki oleh tiga beranak itu terhenti apabila seorang pengguna jalan raya yang menyedari tindakan luar biasa mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Kata-kata anak 5 tahun buat si bapa gigih lalui journey 420km... 2 hari hanya jamah roti, air tin - "Sebak bila anak kata nanti tak boleh jumpa sampai bila-bila"

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu 4WD sebak jumpa lelaki gigih tolak motosikal dari Tanjung Malim ke Penang selepas dibuang kerja, dibayar RM5 - "Dia dah macam hilang separuh nyawa"

Perkongsian mengenai pertemuan itu dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter @dniaphantom sambil menambah bahawa bapanya membantu menghantar keluarga tersebut.



Perkongsian Dania di laman Twitter menjadi perhatian.

Pengguna Twitter berkenaan, Nur Dania Batrisyia Syuaib berkata, bapanya ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke pekan kira-kira pukul 2.30 petang Selasa lalu.

"Pada mulanya ayah hanya sekadar melihat mereka berjalan di tepi jalan utama sebab ayah dalam keadaan yang sibuk nak cari makanan tengah hari untuk pekerja kontraktornya.

"Tapi ayah berasa tidak sedap hati dan bersalah nak tinggalkan mereka macam tu saja. Jadi ayah berpatah balik dan tegur mereka tanya hendak ke mana," kata remaja berusia 16 tahun itu kepada mStar.

Lebih mesra disapa Dania, katanya, bapanya yang berusia 41 tahun itu berasa sedih dengan tiga beranak itu yang terdiri daripada seorang lelaki berusia 40-an bersama dua anaknya, masing-masing berumur lingkungan enam dan 10 tahun.



Bapa Dania (kiri) ketika menumpangkan tiga beranak Orang Asli.

"Tak pasti apa mereka buat di Tanjung Malim, tapi si bapa beritahu mereka berjalan kaki dari Tanjung Malim ke Bentong sebab isterinya berada di Bentong.

"Lelaki itu mendakwa sudah tiga hari menghubungi bosnya untuk minta gaji, tapi masih tak dapat. Jadi, mereka mahu pulang ke kampung, dan mereka selalunya balik ke Bentong dengan menaiki bas," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Tambah Dania, bapa kepada dua anak itu mahu ke Bentong untuk mengambil motosikal dan isterisnya sebelum pulang ke rumah mereka di Kuala Lipis.

Ayah dah cuba yang terbaik untuk tolong mereka termasuk memberikan sedikit wang dan makanan kepada mereka.

NUR DANIA BATRISYIA SYUAIB

"Disebabkan tak ada duit, mereka terpaksa berjalan kaki. Ayah agak sedih melihat keadaan mereka lebih-lebih lagi sebab ada budak-budak.

"Keadaan ketika itu sudahlah panas terik dan mereka tak makan sebab tak ada duit langsung," katanya namun tidak mengetahui pekerjaan lelaki Orang Asli itu.

Walaupun tidak berhasrat ke Bentong, Dania yang berasal dari Selayang, Selangor memberitahu bapanya nekad untuk menghantar tiga beranak itu ke destinasi dengan menumpangkan mereka.



Dania berkongsi pengalaman bapanya untuk kesedaran masyarakat supaya prihatin dengan keadaan di sekeliling.

"Tapi ada sekatan jalan raya di Jalan Ulu Yam Lama disebabkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan mereka sebenarnya memberi kelulusan untuk ayah saya melintas daerah.

"Tapi risiko tidak dapat patah balik tu tinggi kerana bimbang polis lain pula bertugas yang tidak mengetahui cerita sebenar dan ayah mungkin menghadapi masalah apabila mahu kembali ke Kuala Kubu Bharu.

"Jadi, ayah tumpangkan mereka sehingga dekat sekatan jalan raya sebelum berpatah balik ke Kuala Kubu Bharu. Ayah dah cuba yang terbaik untuk tolong mereka termasuk memberikan sedikit wang dan makanan kepada mereka bagi meneruskan perjalanan," katanya sambil menambah bahawa bapanya ketika itu juga perlu menyelesaikan tugasan kerja.

Menurut Dania, perkongsiannya itu sekadar untuk menyebarkan kesedaran awam agar prihatin dengan keadaan di sekeliling dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Ini termasuklah majikan di luar sana supaya tidak menganiaya pekerja kerana kita tidak tahu betapa susahnya mereka menjalani kehidupan," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain