suria

Adik derita skoliosis, ada hikmah kakak buat live... dana kos pembedahan cukup tak sampai 2 hari - “Saya beritahu dia, saya tak boleh reda...”

Hazlinda bersyukur dengan sikap rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan yang menimpa anak ketiganya.

MELIHAT raut wajahnya yang tersenyum ceria, siapa sangka remaja perempuan ini sebenarnya menanggung derita yang bukan calang-calang.

Ain Natasha Yasin menghidap skoliosis, iaitu satu keadaan di mana tulang belakang seseorang itu membengkok ke kiri atau ke kanan.

Remaja berusia 14 tahun ini menjadi perhatian selepas kisahnya dikongsi secara meluas di media sosial sejak beberapa hari lalu, lantaran keluarganya memerlukan dana bagi membiayai pembedahan membetulkan tulang belakangnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang sebelah kaki kerana derita kanser tulang, hebatnya remaja OKU aktif sukan ini cekap buat roti puri... terbentuk elok jadinya! - “Kalau dia tak sihat, saya tak niaga”

ARTIKEL BERKAITAN: “Sebelum berlaku, mata putih bertukar jadi biru” - Derita penyakit jarang jumpa, wanita dedah dah lebih 100 kali patah tulang

Menurut ibunya, Hazlinda Sanusi, dia sendiri tidak mengetahui Ain Natasha menderita skoliosis sehinggalah mengesan perubahan pada fizikal anak remajanya itu, tahun lalu.

"Saya perasan perbezaan pada bahagian belakang dia tahun lepas tapi masa itu Ain tak mengadu sakit pun. Kalau dia berjalan, memang nampak macam senget sikit bahu. Namun awal tahun ini barulah ketara apabila Ain mengadu sakit belakang.

"Kemudian dia juga mengadu sakit kepala dan ada kalanya dia mengadu sukar bernafas. Tapi saya hanya fikir, mungkin Ain penat sebab dia sekolah berasrama, jadual mungkin padat.

"Selepas itu dia dah mula demam. Ain hanya makan ubat biasa namun masih berlanjutan," ceritanya kepada mStar.



Imbasan x-ray tulang belakang Ain Natasha yang sudah berada pada tahap 4.

Menurut Hazlinda, penyakit anaknya dikesan oleh doktor yang melakukan kunjungan ke sekolah anaknya itu, baru-baru ini.

"Doktor memaklumkan Ain mengalami skoliosis dan dia minta bawa segera ke hospital. Malam itu juga warden hubungi saya minta ambil Ain. Keesokannya kami pergi ke sebuah hospital swasta, namun mereka minta rujuk ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

"Sebab tak semua hospital ada kepakaran untuk merawat skoliosis. Doktor di pusat perubatan tu buat pemeriksaan dan maklumkan keadaan Ain dah teruk, iaitu 86 darjah tulang belakangnya bengkok, yang mana berada di tahap 4.

"Di depan Ain, doktor terangkan keadaannya, ada dua pilihan saja sama ada fisioterapi atau pembedahan dengan kos RM30,000. Fisioterapi itu hanya untuk redakan kesakitan, bukan menyembuhkan. Pembedahan pula menelan kos yang besar dan memang di luar kemampuan," ceritanya yang menetap di Cyberjaya.

Ain pula bila dah dengar sendiri, dia tak mahu menyusahkan saya dan dia faham. Dia beritahu dia reda namun macam mana sekali pun saya akan usahakan juga.

HAZLINDA SANUSI

IBU

Jelas wanita berusia 44 tahun ini, doktor ada memberitahu bahawa hospital ada menyediakan sebahagian dana untuk pembedahan namun perlu menunggu dalam masa dua hingga enam bulan.

"Keadaan Ain memerlukan pembedahan dilakukan segera. Namun doktor faham keadaan saya, dan beri masa untuk saya berfikir.

"Ain pula bila dah dengar sendiri, dia tak mahu menyusahkan saya dan dia faham. Dia beritahu dia reda namun macam mana sekali pun saya akan usahakan juga.

"Dipendekkan cerita, kakak Ain ada buat live baru-baru ini ketika di rumah neneknya dan tak sangka ramai yang tonton. Dari situ, kawannya minta izin untuk share di sosial media... katanya mana tahu, ada rezeki Ain.



Beginilah keadaan fizikal Ain daripada belakang.

"Kawan anak saya kongsi pada Ahad baru-baru ini, dan memang tak sangka, respon yang diterima di luar jangkaan. Telefon saya dan kakaknya tak henti-henti ada panggilan dan mesej yang masuk. Lebih mengejutkan, kurang dari dua hari, sumbangan sehingga RM30,000 berjaya dikumpulkan," ujar ibu tunggal kepada empat cahaya mata ini dalam nada sebak.

Terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia, Hazlinda bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada semua yang bermurah hati memberi sumbangan mahupun sokongan.

"Ada yang sumbang dalam jumlah kecil, itu buatkan saya sungguh tersentuh... mungkin mereka pelajar atau orang susah, namun tetap nak menyumbang. Tambah lagi sekarang ni semua terjejas, tapi mereka tetap membantu walaupun kesempitan.



Ain (kanan) merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik.

"Ada yang pernah sakit skoliosis datang ke rumah, beri kata-kata semangat. Ain pun menangis sebab ramai prihatin. Katanya, Allah benar-benar bantu dia.

"Jumaat ini, Ain ada temujanji dengan doktor dan selepas saya beritahu keputusan saya, doktor akan tetapkan tarikh pembedahan.

"Saya sekeluarga ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang baik hati. Hanya Allah mampu membalas budi kalian," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain