NEGARA kita mempunyai sistem perundangan yang bertujuan untuk menetapkan standard dalam setiap aktiviti agar tiada pihak yang boleh menindas pihak yang lain. Ia juga diwujudkan untuk faedah masyarakat dalam konteks menjaga keamanan dan menegakkan keadilan berkenaan sesuatu kes. Justeru, penting untuk setiap anggota masyarakat mengambil tahu serba sedikit mengenai undang-undang terutamanya apabila sedang berdepan dengan situasi yang memerlukan tindakan mahkamah, agar dapat menuntut hak yang sepatutnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Ada banyak cara selain maaf...” - Peguam bersuara isu Ustaz Ebit dengan MPP pelajar U, patutnya boleh selesai secara 'menang-menang' ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi senario tak patut berlaku selepas kematian, kubur masih merah dah berebut harta - “Mereka pilih taat isu faraid, tidak bahagian lain” Sikap ambil mudah atau 'tidak celik undang-undang' mungkin akan menyebabkan seseorang itu kerugian besar kerana terlepas untuk menuntut hak yang sepatutnya, sebagaimana satu kes yang dikongsikan oleh peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor. "Tadi tengah hari saya mendengar rintihan seorang wanita, katanya berlaku kecuaian perubatan kepada dirinya apabila pihak hospital meninggalkan tuala wanita sewaktu proses melahirkan anaknya yang pertama pada 26 Ogos 2014. "Mujurlah nyawanya masih panjang. Pada awal kecuaian dia tidak sedar. Namun setiap hari terasa perit dan sakit dan ada sesuatu yang tidak kena. Bayangkan keperitan yang dia alami selama dua bulan apabila tuala sebesar ini tertinggal di dalam badannya. "Jadi dia pergi membuat pemeriksaan perubatan di klinik lain dan hasil dari pemeriksaan ada tali yang keluar dari kemaluannya. Sewaktu dikeluarkan telah pun berbau busuk dan hanyir. Sebahagian perkongsian Nor Zabetha mengenai kes seorang wanita yang mahu menuntut ganti rugi atas dakwaan kecuaian. "Dia ada berjumpa dengan peguam dan surat tuntutan dikeluarkan dan kemudian tiada tindakan lanjut oleh peguam. Jadi dia meminta pandangan saya untuk haknya dibela dan diperjuangkan setelah sekian lama," tulis peguam ini dalam perkongsiannya. Menurut Nor Zabetha, insiden tersebut bukan sahaja menyebabkan wanita itu menanggung sakit dalam tempoh yang lama, malah turut meninggalkan trauma sehingga dia takut untuk hamil anak kedua kerana bimbang insiden sama berulang. Bagaimanapun, disebabkan insiden kecuaian tersebut telah berlaku dalam tempoh yang agak lama, maka agak sukar untuk wanita berkenaan mengambil tindakan undang-undang kerana dihalang oleh had masa. "Berdasarkan Seksyen 6 (1)(a), Akta Had Masa 1953, penuntut sebenarnya mempunyai masa selama 6 tahun dari tarikh berlakunya kausa tindakan dalam kes melibatkan kontrak atau undang-undang tort. "Kes kecuaian perubatan adalah di bawah kategori undang-undang tort. Jadi dalam kes wanita ini, sepatutnya dia mempunyai enam tahun tempoh had masa untuk memfailkan tindakan di mahkamah iaitu yang dikira dari 26 Ogos 2014 (tarikh kecuaian yang menyebabkan tertinggal tuala wanita). Beginilah keadaan tuala wanita yang berjaya dikeluarkan dari badan wanita tersebut. "Tempohnya tamat pada 26 Ogos 2020 atau mungkin dari tarikh kecuaian itu diketahui (bergantung kepada hujah di mahkamah). Sayangnya, kalaulah awal sedikit. Kalaulah ada yang menasihati. "Sekurang-kurangnya dia mendapat keadilan atau dia bakal memulakan kes. Kalah atau menang perkara lain. Yang penting berjuang," kata Nor Zabetha. Menurut Nor Zabetha, Malaysia mempunyai satu undang-undang yang meletakkan had masa kepada sesuatu tindakan, bertujuan menggalakkan pihak-pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan lambakan kes. Jika sesuatu kes dibenarkan untuk dibiarkan dalam tempoh lama tanpa had masa, kebarangkalian boleh berlaku untuk saksi-saksi penting meninggal dunia, bukti yang terhapus dan sebagainya, dan ini menyukarkan proses perbicaraan. Nor Zabetha sering membuat perkongsian berkenaan kes rumah tangga, isu semasa dan hal ehwal kekeluargaan dari sudut undang-undang. "Berulang kali dia tanya kepada saya, 'Puan, memang saya tak boleh dapat hak sayakah? Memang pihak hospital tidak boleh diberi pengajarankah?'. Katanya dia rasa marah, kesal, tidak puas hati dan masih trauma sehingga ke hari ini. "Tambah pula, tiada permohonan maaf dari hospital dan tiada usaha dari pihak hospital untuk menunjukkan keikhlasan mereka dalam menyelesaikan hal ini. "Saya rasa ralat sangat, kalau kes begini. Rasa ralat apabila tindakan tidak boleh diambil kerana mangsa tidak tahu haknya dalam undang-undang. Biar kita celik ilmu supaya kita tidak terlepas hak kita," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!