suria

Pakcik tua gigih usung hasil kraftangan, bakal doktor sedih tak dapat beli banyak... tapi bantu cara lain - “Ada yang sanggup bayar berapa saja upah”

Lelaki tua berusia 76 tahun ini berasal dari Tumpat dan meniagakan hasil kraftangan di sekitar Kota Bharu dengan berjalan kaki. Foto: Twitter tashortyy

USIANYA sudah lanjut, namun warga emas ini tetap gigih mencari rezeki menggunakan tulang empat keratnya.

Ketika usia sudah melebihi 70 tahun, lelaki tua ini tetap gagah menghayun langkah dari dari satu lokasi ke satu lokasi untuk menjual barangan kraftangan hasil anyaman sendiri.

Kisah lelaki tua ini menjadi perhatian di laman sosial selepas dikongsikan oleh seorang pelayar di Twitter, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hidap kanser telinga, pakcik OKU gigih berniaga di kaki lima bank... tulis atas kertas minta ‘pakat-pakat tolong’ - “Dia masih fikir orang yang lebih susah”

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah sedih pakcik bertongkat jual ‘mask extender’ terbongkar selepas wanita ini tergerak hati nak sapa - “Tak niat nak beli, entah kenapa saya pusing semula”

"Hi warga Twitter please help pakcik ni dengan kuasa viral anda. Pakcik ni jalan kaki sambil menjual dari Tumpat ke Lembah Sireh. All homemade!!! He said this is his source living. Semua homemade dan memang cantik. Standard harga dan ada yang murah pakcik ni jual," demikian kapsyen pelayar berkenaan pada posting tersebut.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 6,000 retweet dan 2,700 tanda suka.

Mengimbas kembali pertemuan dengan lelaki berkenaan, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Natasha berkata, ketika itu dia sedang berada di blok bangunan rumah kedai bersama rakan-rakan sementara menunggu kelasnya bermula.



Pakcik berusia 76 tahun ini masih gagah berjalan kaki untuk menjual barangan kraftangan.

"Kemudian salah seorang rakan nampak pakcik ni tengah berjalan dengan membawa barangan kraf yang disangkut pada batang kayu. Kemudian dia berhenti berhampiran kami apabila ada orang nak beli.

"Saya dengan kawan-kawan pun pergi ke arah pakcik tu untuk melihat barang jualannya. Antaranya bakul, tikar mengkuang, sudip kayu, tudung saji dan lain-lain. Memang cantik, halus dan kemas. Harganya pun berpatutan dan ada yang murah. Malah katanya, semua barangan itu hasil anyaman dia bersama isteri.

"Ada seorang kawan kami beli sebuah bakul rotan... saiznya sedang-sedang namun harganya murah. Jujurnya saya dan kawan-kawan kalau boleh memang nak beli seorang satu tapi dengan status sebagai pelajar, jadi terpaksa tangguhkan.

Yang nak kirim ni ada dari Kuala Lumpur dan Selangor. Mereka cakap dah lama cari barang buatan tangan dan nampak asli.

NATASHA

PENUNTUT

"Saya pun terfikir, mengapa tidak saya hebahkan di media sosial... itu salah satu cara yang saya fikir dapat bantu pakcik ini dikenali dan mungkin ramai yang mahu membeli barangannya kelak," cerita wanita berusia 26 tahun ini.

Menurut Natasha lagi, dia sempat berbual-bual dengan lelaki berkenaan dan menerusi penceritaan, warga emas itu berkata dia datang dari Tumpat dan sering berniaga di sekitar Lembah Sireh, Kota Bharu.

"Katanya, jualan hasil kraftangan itu merupakan hasil utama mata pencariannya untuk sara keluarga. Namun saya tidak bertanya lanjut mengenai keluarganya. Hanya sempat tanya umur dan katanya dah 76 tahun. Tapi dia masih ada kudrat untuk berjalan.



Antara barangan yang dijual adalah bakul rotan, tudung saji, tikar mengkuang, pengalas periuk dan pelbagai lagi.

"Selepas meminta kebenaran untuk merakamkan beberapa keping gambar, saya minta nombor telefon tapi pakcik ni kata dia tak ada telefon. Katanya kalau nak beli, datang saja kawasan sekitar Tesco Lembah Sireh," cerita penuntut tahun akhir jurusan perubatan dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ini lagi.

Menurut Natasha, niat asalnya hanya mahu membantu perniagaan lelaki warga emas tersebut menerusi hebahan namun dia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular.

"Tak sangka sampai ramai yang komen dan hantar mesej menerusi Direct Message (DM) yang nak minta kirim belikan barangan kraf pakcik tu. Ada yang tanya bila lagi saya nak jumpa pakcik tu sebab dia nak kirim dan sanggup bayar berapa saja sebagai upah.



Sebahagian daripada komen yang diterima Natasha, malah ada netizen yang sanggup mengirim dan tidak kisah memberi upah kepadanya.

"Yang nak kirim ni ada dari Kuala Lumpur dan Selangor. Mereka cakap dah lama cari barang buatan tangan dan nampak asli. Tapi saya sendiri masih bergelar pelajar dan ada kekangan masa. InsyaAllah, harapnya boleh terserempak lagi dengan pakcik tu.

"Saya bersyukur perkongsian ini mendapat perhatian ramai... secara tak langsung diharapkan dapat membantu serba sedikit perniagaan pakcik tu. Bagi orang di luar sana, kalau ternampak ada orang berniaga kecil-kecil macam pakcik ni, bantulah semampu ada, sama ada beli atau cara lain.

"Bukan apa, kita perlu tunjukkan sokongan sebab mereka memang nampak gigih mencari rezeki walaupun usia dah lanjut namun semangatnya tetap kuat demi mencari rezeki halal," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain