suria

Inspirasi kebajikan BTS global, Army Malaysia kutip sumbangan Covid-19 cecah RM20,000 buat Sabah - "Kesian lihat video pakcik kejar bot sebab tiada makanan"

Ahli kelab peminat BTS yang menggelarkan diri mereka Army membuat sumbangan dana untuk warga Sabah yang terjejas akibat Covid-19.

PENDERITAAN penduduk Sabah yang terjejas akibat Covid-19 turut mendapat perhatian kelab peminat kumpulan K-pop BTS yang menggelarkan diri mereka sebagai Army.

Menurut Nur Amarlyna Najua Zainuri, 28, dia yang mula meminati kumpulan itu sejak 2015 terpanggil untuk memulakan kutipan dana secara dalam talian bagi membantu penduduk di negeri itu.

Sehingga kini, dia dan peminat-peminat tempatan yang lain berjaya mengumpul sekitar RM9,000 sebelum diserahkan kepada badan bukan kerajaaan (NGO) di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tak bodoh untuk mulakan hal ini” - Kesian Army dimaki keluarga, cenderahati dibuang gara-gara channel Telegram ‘Agama BTS’

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah pengurus warga tua minat BTS tepis hujah hanya gadis IQ rendah minat kumpulan K-Pop itu - "Ada toxic fans, menyamar buat akaun palsu"

"Baru-baru ini saya ada melihat video seorang pakcik di Sabah yang terpaksa kejar bot sebab mereka tiada makanan. Saya rasa kesian.

"Jadi saya buat carian mengenai keadaan di sana. Ada juga rakan-rakan peminat BTS dari Sabah.

"Mula-mulanya saya nak buat kutipan dana dalam kalangan kami sahaja, tapi ramai pula yang nak bantu.

"Dalam tujuh hari, saya dapat sekitar RM9,000 sehingga ke hari ini dan ia akan diserahkan kepada NGO-NGO di sana," katanya kepada mStar.

Antara kutipan dana oleh Army Malaysia yang dihebahkan menerusi Twitter.

Mesra disapa Lyna, eksekutif pembuatan di sebuah syarikat di ibu negara itu mengakui apa yang dilakukan bersama Army yang lain merupakan cerminan kepada kerja-kerja kebajikan yang banyak dilakukan oleh BTS sendiri di peringkat global.

Peka dengan kecaman dan persepsi buruk yang sering dilemparkan buat Army, dia bagaimanapun enggan mengambil pusing hal negatif dan fokus untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan cara tersendiri.

"Ada perspektif orang tertentu yang fikir Army ni hanya remaja belasan tahun. Sebenarnya ada dalam kalangan kami yang sudah bekerjaya, yang dah dewasa.

"Sejujurnya kalau ada nampak orang susah, kami pun rasa terpanggil nak bantu, cuba bagi yang terbaik untuk masyarakat," ujarnya lagi.

Saya rasa bersyukur. Tak kisah yang sumbangkan 10 sen, RM1 mahupun RM100. Ia sangat-sangat bermakna.

LYNA

Dalam pada itu, Lyna mengakui bersyukur dengan kerjasama Army negara ini yang sama-sama memberi sumbangan buat warga Sabah.

Bukan Lyna sahaja, malah ada peminat BTS tempatan yang lain turut melakukan kutipan dana sehingga meraih ribuan sumbangan untuk disalurkan ke sana.

"Saya rasa bersyukur. Tak kisah yang sumbangkan 10 sen, RM1 mahupun RM100. Ia sangat-sangat bermakna.

"Ada juga Army lain yang buat kutipan dana untuk Sabah. Kalau digabungkan kini sumbangan hampir mencecah RM20,000.

Dana yang dikutip akan disalurkan kepada NGO di Sabah.

"Terima kasih pada yang tolong, ia pastinya bermanfaat buat mereka yang memerlukan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Lyna juga mengakui tidak sabar apabila BTS bakal melancarkan album baharu berjudul Be pada 20 November ini.

Untuk rekod, BTS dianggotai Jimin, Suga, Jin, Jungkook, V, RM dan J-Hope.

Boy With Luv, DNA, Fake Love, Dynamite dan Fire merupakan antara lagu mereka yang popular sehingga banyak mendominasi carta muzik global.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain