suria

Baru sebulan jadi rider, pemuda pernah hilang ‘job’ terkejut... bukan sahaja tip tapi pelanggan mohon titipkan doa – “Walau masih bujang, saya sebak”

Seorang penghantar makanan berkongsi pengalaman menerima tip beserta nota ringkas daripada seorang pelanggan. -foto ihsan Mohd Fadly Sumarie

REZEKI itu ada di mana-mana dan kadang-kadang kita menerimanya tanpa dijangka.

Sesungguhnya rezeki itu adalah rahsia Allah dan didatangkan dalam pelbagai cara, termasuklah tip daripada pelanggan.

Kisah seorang pemuda menjadi tular apabila dia bukan sahaja menerima tip tetapi turut mendapat sekeping nota semasa membuat penghantaran makanan .

ARTIKEL BERKAITAN: Rider tergamam berdepan 'kebaikan manusia', lebih touching kejutan dibuat pelanggan Cina... satu keluarga dapat makan free!

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup masuk surau, 'pinjam' kain pelikat terselit RM50 - "Susah-susah dia, rupanya dia jenis lurus"

"Doakan kami zuriat yang sihat tubuh badan dan sempurna sifat, dapat seorang pun memadai sangat-sangat. Terima kasih," menurut pesanan pada nota tersebut.



Perkongsian Mohd Fadly di laman sosial menjadi tular.

Penghantar makanan tersebut, Mohd Fadly Sumarie berkata, kejadian berlaku ketika membuat penghantaran ke rumah seorang pelanggannya di Ranau, Sabah, pada pagi Sabtu.

"Saya bekerja sebagai penghantar makanan sejak sebulan lalu. Namun, ia bukanlah kali pertama saya menerima tip daripada pelanggan ketika membuat penghantaran.

"Cuma kali ini tip yang saya terima disertakan bersama sekeping nota ringkas. Masa tu saya rasa terharu dan terkejut," kata pemuda berusia 25 tahun itu kepada mStar.

Mohd Fadly yang membuat servis penghantaran di sekitar Ranau berkata, dia tidak menemui pelanggan lelaki tersebut pada hari berkenaan.



Tip yang diterima Mohd Fadly disertakan bersama nota ringkas.

"Sekarang ni musim Covid-19, jadi penghantaran digalakkan untuk dibuat secara contactless (penghantaran tanpa bersentuhan atau tanpa bersemuka).

"Tapi pelanggan tu sediakan satu bekas dekat peti pos di luar rumahnya untuk saya letakkan makanan yang dipesan. Di situlah saya menemui tip RM5 berserta sekeping nota," ujarnya.

Macam-macam kesulitan yang kita hadapi sebagai ujian daripada Allah. Saya diberhentikan kerja dan pelanggan itu mahukan zuriat

MOHD FADLY SUMARIE

Pemuda dari Kampung Libang di Ranau itu percaya rumah tersebut didiami oleh pasangan suami isteri berdasarkan jumlah pesanan dan mesej pada nota berkenaan.

"Pelanggan tu pesan set makanan bergoreng untuk dua orang. Saya percaya mereka adalah suami isteri yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat.

"Sama ada baru berkahwin atau sudah berumah tangga bertahun-tahun, apa yang pasti mereka memohon doa agar dikurniakan zuriat.

"Walaupun masih bujang, saya baca terus jadi sebak. Perkara pertama selepas saya bersyukur dan berterima kasih di atas tip yang diberikan, saya mendoakan mereka dan perkongsian saya di laman sosial agar lebih ramai mendoakan agar dimakbulkan," katanya.



Mohd Fadly diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19, sebelum menjadi penghantar makanan.

Di sebalik kisah tip RM5 berserta nota pesanan ringkas itu, Mohd Fadly sebenarnya baru diberhentikan kerja pada Mei lalu, daripada syarikat yang terkesan dengan pandemik.

Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu berkhidmat sebagai pembantu teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat katering yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor, selama lebih setahun.

"Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada banyak pihak termasuk industri berkaitan penerbangan. Selepas diberhentikan, saya kemudian balik ke Ranau dan buat kerja-kerja kampung sebelum jadi penghantar makanan.

"Macam-macam kesulitan yang kita hadapi sebagai ujian daripada Allah. Saya diberhentikan kerja dan pelanggan itu mahukan zuriat. Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menempuhi apa jua ujian dan dugaan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain