suria

Sendirian rai hari istimewa, wanita ini naik Grab ambil kereta Volkswagen yang dibelinya... kongsi 2 amalan murah rezeki - “Saya takut nak ambil masa orang”

Video Sofea bersendirian membeli kereta impiannya menjadi tular di aplikasi TikTok.

SETIAP kegembiraan pastinya lebih bermakna sekiranya ia diraikan dengan orang tersayang.

Namun, lain pula ceritanya melibatkan wanita ini apabila hari istimewa diraikan secara bersendirian sahaja.

Di aplikasi TikTok, tular video yang memaparkan Sofea Khalid, 26, baru membeli sebuah kereta idaman ramai berjenama Volkswagen.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketepi keinginan beli kereta, graduan kerja kilang mampu capai target miliki rumah pada usia 22 tahun - “Dari segi gaji, mula-mula bagi mak dulu”

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah dipandang rendah mak bekas awek, tapi jejaka ini tidak putus asa... kini usahawan air dapat untung 5 angka sebulan, miliki kereta idaman - "Sebabnya saya lebihkan keluarga"

"Kisah sedih dengan pengakhiran gembira," tulisnya pada kapsyen sehingga meraih lebih 320,000 tontonan.

Bercakap kepada mStar, dia yang bekerja dengan sebuah syarikat perisian di ibu negara mengakui selesa bersendirian pada hari yang dianggap istimewa itu yang mana dia akhirnya memiliki kereta baharu atas nama sendiri.

"Sebenarnya pada hari tu semua adik beradik saya sibuk. Mak juga ada urusan. Saya nak ajak mereka teman pun rasa bersalah. Tapi mereka tahu saya akan ambil kereta pada hari tersebut.

"Jadi saya naik Grab sendirian untuk ambil kereta baharu. Saya buat video sebab nak kongsi dengan semua bahawa tak semestinya kena ada orang teman walaupun pada hari istimewa kita.

Sofea tidak kisah bersendirian pada hari istimewa memandangkan dia seorang yang suka berdikari.

"Kita kena belajar berdikari. Saya jenis takut nak ambil masa orang. Selesa pergi sendiri, buat sendiri," ujarnya.

Menurut Sofea lagi, dia sama sekali tidak menyangka video berkenaan akan menjadi tular,

Malah, rata-rata komen turut menzahirkan rasa simpati kerena dia bersendirian pada hari penuh gembira itu.

"Saya sangat terkejut, tak sangka video ini akan viral. Alhamdulillah semua positif.

Bila saya amalkan, nampak perubahan dalam hidup, rezeki sentiasa datang.

SOFEA KHALID

"Biasanya kalau kongsi video kita dapat sesuatu, akan ada yang kecam. Kali ni semua baik-baik. Ada juga yang kasihan sebab saya pergi sendirian," katanya lagi.

Menurut Sofea lagi, dia juga gembira apabila impian membeli kenderaan itu akhirnya menjadi nyata.

"Sebelum ni saya pakai kereta keluarga. Ini kereta pertama atas nama sendiri. Alhamdulillah, syukur atas pencapaian ini.

"Saya rasa gembira sebab tak sangka boleh capai impian. Ia merupakan salah satu impian saya untuk tahun 2020.

"Saya memang ada simpanan sendiri. Ditambah pula jimat banyak duit sebab bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Paparan skrin video tular yang dikongsi Sofea.

"Kos makan, pengangkutan semua dapat dikurangkan," ujarnya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Kata Sofea lagi, insan-insan lain di luar sana juga berhak mengecapi impian masing-masing sekiranya rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa.

"Kalau jatuh, terus bangun... terus usaha. Satu pegangan saya, jangan tunggu kaya baru nak bersedekah.

"Saya tanya mak, dia pun bersetuju. Kalau rasa nak sedekah, bagi je walaupun duit tak banyak.

"Lagi satu kena buat baik pada haiwan. Saya tak bela kucing tapi setiap hari saya bagi makanan buat kucing jalanan.

"Bila saya amalkan, nampak perubahan dalam hidup, rezeki sentiasa datang," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain