suria

Tenang lain macam, ‘jonah’ pun tidak... Doktor ‘on call’ lari lintang pukang, ada mata terbeliak intai di sebalik pintu! Terfikir juga mungkin prank - “Nasib baik dah tak kerja di hospital tu...”

Dr Kamarul Ariffin berkongsi kisah seram yang dialaminya ketika ditugaskan untuk on call, di sebuah hospital beberapa tahun lalu.

BERTUGAS sewaktu shif malam sememangnya antara perkara yang paling tidak digemari kebanyakan orang.

Mana tidaknya, dengan bilangan kakitangan yang tidak ramai ditambah pula dengan keadaan yang sunyi, sudah tentu situasi ini menimbulkan suasana seram.

Bagaimanapun, perkara ini sememangnya tidak asing lagi bagi golongan doktor yang bertugas dalam mode 'on call'.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri wad denggi! 12 tiub darah lesap selepas doktor nampak wajah ngeri di sebalik tirai... tambah seram, 'saksi' kejadian meninggal dunia beberapa hari kemudian

ARTIKEL BERKAITAN: Semasa cucuk jarum doktor tak rasa apa pun, sampailah ada garam di wad bersalin... terbongkar kisah ‘ulek mayang’ pesakit – “Terbayang mata terbeliak, kain kuning di perut”

On call adalah istilah untuk doktor yang ditugaskan untuk kerja lebih masa selepas waktu pejabat iaitu 5 petang, sehingga pukul 8 pagi keesokan hari.

Menerusi coretan seorang doktor di Facebook, beliau berkongsi pengalaman mistik yang dialaminya ketika bertugas sebagai doktor on call di sebuah hospital tidak lama dahulu.

"Dulu, masa saya kerja di hospital, setiap kali on call di malam hari, saya sama ada tak tidur langsung kerana 'jonah' atau tidur di kerusi sambil kepala telangkup di kaunter jururawat. Jaranglah dapat tidur lena.

"Kepada yang tak tahu 'jonah' tu apa, ia macam satu nasib malang kepada petugas hospital, di mana setiap kali dia on call, mesti ramai pesakit yang dirujuk kepadanya atau dia dapat banyak kes-kes rumit untuk diuruskan.

"Namun, ada satu malam yang saya on call, tu entah kenapa wad sangat tenang. Semua pesakit stabil, dan mereka tidur lena. Aman lain macam. Dia punya damai tu sampai saya terpaksa buat-buat sibuk periksa itu ini. Janggal betul duduk sahaja tak buat apa-apa di wad sewaktu on call," demikian tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebook.



Kisah seram yang tidak dapat dilupakan itu berlaku ketika Dr Kamarul Ariffin ditugaskan dalam mode on call di sebuah hospital.

Disebabkan situasi agak 'terkawal', seorang jururawat mencadangkan doktor berkenaan agar berehat di ruangan yang disediakan untuk petugas on call.

"Oleh kerana malam tu terlalu aman, dan mengetahui ada MO (pegawai perubatan) tidur di bilik on call di wad, jadi tak risau sangat kalau jadi apa-apa di wad sebab ada MO di wad. Lagipun saya teringin nak merasa tidur di on call kompleks tu.

"Saya pun jalan pergi ke on call kompleks tu. Sunyi sepi di koridor arah ke sana. Sampai sahaja, teragak-agak rasa nak masuk dalam kompleks tu. Tiba-tiba rasa tak sedap hati menerjah ke dada.

"Saya toleh ke belakang. Tak ada sesiapa. Jeling persekitaran. Tak ada apa-apa yang aneh. Kemudian saya buang perasan takut dan ragu-ragu tu, dan teruskan niat untuk bermalam di situ. Ternyata tak ada sesiapa di situ. Sebab buku daftar masuk tu tak ada orang isi pun untuk hari itu," ceritanya.

Yang bikin perut saya menggulung tu adalah muka tu muncul dari paras lantai. Seolah-olah dia sedang baring meniarap dan sedang mendongak ke atas lihat saya yang baru sahaja membuka pintu.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

DOKTOR

Selesai mengisi butir-butir yang diperlukan, Dr Kamarul Ariffin pun mengatur langkah menuju ke bilik yang sudah dipilih sewaktu mendaftar sebentar tadi tanpa mengetahui 'gerangan' yang sedang menunggunya.

"Setelah bulatkan tekad, saya pun pulas tombol dan buka daun pintu bilik tu. Tak sempat buka luas, bila terkuak sahaja pintu tu dan nampak ke dalam bilik, saya terus lintang pukang lari ke luar dari kompleks tu.

"Meremang bulu roma saya melihat apa yang sedang tunggu saya di dalam bilik tu. Bila saya buka pintu tu tadi, tiba-tiba nampak ada muka orang mengintai dari celahan pintu yang baru terbuka sedikit tu.



Sehingga kini, Dr Kamarul Ariffin tidak mengetahui apa sebenarnya gerangan makhluk yang dilihatnya pada malam itu.

"Yang bikin perut saya menggulung tu adalah muka tu muncul dari paras lantai. Seolah-olah dia sedang baring meniarap dan sedang mendongak ke atas lihat saya yang baru sahaja membuka pintu. Mata dia terbelalak. Gila meremang!," ceritanya mengimbas kembali sosok misteri yang disaksikan dengan mata sendiri.

Tambah doktor tersebut lagi, walaupun masih tidak mempunyai jawapan mengenai 'makhluk' yang dilihatnya itu, namun dia yakin apa yang dilihatnya itu bukan manusia.

"Kalau orang nak prank pun, mana dia tahu saya nak pilih bilik yang mana. Mustahil ada orang nak masuk salah satu bilik dekat kompleks sunyi, meniarap di lantai dekat pintu, semata-mata nak buat prank.

"Jangan tanya apa saya nampak tu. Saya pun tak tahu dan tak mahu pergi siasat apa benda tu. Saya anggap sahajalah saya silap nampak. Malas fikir panjang-panjang.

"Nasib baik saya dah tak kerja di hospital berkenaan. Kerja di klinik sendiri dan tak perlu on call lagi. Boleh tidur dengan aman," katanya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 376 shares dan ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain