suria

Juruterbang tinggalkan kokpit sambung tugas di gerai, tak kisah tebal muka ambil order kru kabin - “Saya dah boleh jangka...”

Kapten Azrin Mohamad Zawawi membuka gerai susulan diberhentikan kerja sebagai juruterbang. -foto ihsan Kapten Azrin Mohamad Zawawi

SEGAK dan bergaya, seorang lelaki dilihat lengkap berpakaian seragam seperti juruterbang dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Tanpa perlu menerjah ke dalam kokpit pesawat, orang ramai berpeluang untuk melihat lelaki itu dalam persalinan baju kemeja putih, topi, tali leher, seluar dan kasut hitam serta lencana sayap seperti kapten juruterbang.

Mi Kari Ipoh, bihun sup, laksa utara dan rojak buah antara pesanan yang diambilnya daripada para pelanggan di sebuah gerai di USJ 11 di Subang Jaya, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi punca rezeki di awan biru, 3 pramugari hanya terdiam sebelum menangis... maka terhentilah ungkapan keramat itu - "Rehat kami tidak lagi memberi kebahagiaan"

ARTIKEL BERKAITAN: Dari awan biru ke gerai sate, Shazam bukan calang-calang 'adiwira'... kata kuncinya selamat - "Penat memang penat"

Bukan lakonan semata-mata, sebaliknya lelaki berkenaan adalah juruterbang, yang merupakan antara 2,200 pekerja Malindo yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.



Kapten Azrin (kanan) bersama rakan setugas di dalam kokpit.

Bercakap kepada mStar, juruterbang berkenaan, Kapten Azrin Mohamad Zawawi berkata, dia berpengalaman dalam bidang penerbangan selama 20 tahun.

Namun, juruterbang berusia 44 tahun itu memberitahu, perkhidmatannya bersama Malindo selama lima tahun dan enam bulan terhenti pada 30 Oktober lalu.

"Ia adalah syarikat penerbangan keempat saya berkhidmat sebagai juruterbang. Saya terima dan reda dengan pemberhentian ini, malah dapat dijangka lebih awal kerana pandemik.

"Tapi saya sedih kerana terpaksa tinggalkan rakan-rakan seperjuangan, terutama mereka yang turut terkesan dengan pemberhentian ini," katanya.



Berpengalaman dalam bidang penerbangan selama 20 tahun.

Menyedari perkembangan yang tidak begitu baik dalam industri penerbangan, Kapten Azrin nekad untuk membuka sebuah gerai dengan bantuan isteri, ibu mentua dan dua adik iparnya.

"Saya dah boleh jangka perkara ini (pemberhentian). Dah lama rancang untuk buka gerai tapi baru berkesempatan untuk membukanya seminggu sebelum saya diberhentikan kerja.

Kalau di kokpit, ia mengingatkan saya kepada tanggungjawab membawa penumpang dengan selesa dan selamat sepanjang penerbangan, di gerai saya mahu memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan.

KAPTEN AZRIN MOHAMAD ZAWAWI

"Tapi saya bukanlah tukang masak, hanya tukang potong dan sediakan bahan-bahan. Tukang masak utama adalah ibu mentua dan isteri saya," ujarnya.

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun tidak menyangka tindakannya memakai pakaian seragam ketika berniaga di gerai menjadi tular.



Berpakaian seragam juruterbang di atas permintaan pelanggan.

Mengulas lanjut, semuanya bermula selepas dia berpakaian seragam pada awal minggu ini untuk mengembalikan pas pekerjanya kepada pihak berkuasa penerbangan.

"Dalam perjalanan pulang saya singgah ke gerai dan terus bekerja. Foto saya berniaga sambil memakai uniform menjadi viral dan ramai pelanggan request untuk saya terus pakai.

"Atas permintaan pelanggan, saya turutkan saja. Jujurnya, pakai baju seragam ini bersama apron sebenarnya menaikkan semangat saya untuk berniaga dalam waktu yang sukar.

"Kalau di kokpit, ia mengingatkan saya kepada tanggungjawab membawa penumpang dengan selesa dan selamat sepanjang penerbangan, dan di gerai saya mahu memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan," tambahnya.



Kapten Azrin berharap untuk kembali bertugas selepas keadaan kembali pulih.

Menurut Kapten Azrin, dia tidak kisah untuk 'tebal' muka mengambil pesanan pelanggan dalam pakaian seragam kerana dirinya suka berinteraksi dengan orang ramai.

"Bukan sekadar orang awam, bahkan antara pelanggan saya terdiri daripada kru kabin yang selama ini antara tugas mereka menghidangkan makanan dan minuman kepada penumpang.

"Selama ini hanya di kokpit, sekarang saya dapat menyelami antara tugas kru kabin. Saya okay je, tak kisah ambil order kru kabin, tapi mereka yang segan-segan dengan saya.

"Apa yang saya lakukan ini adalah satu pengalaman baharu dan saya berharap keadaan kembali pulih kerana saya masih berharap untuk kembali terbang suatu hari nanti," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain