suria

Mangsa rogol lega, segalanya berubah selepas ibu bapa jumpa pesakit berpurdah! - “Dia kuat agama, tapi masih dengar suara misteri”

Amira bersyukur dikurniakan suami yang banyak membantu dirinya serta ahli keluarga yang mula faham mengenai erti sebenar masalah mental. -Gambar Hiasan

TRAUMA lampau yang berlaku ternyata menghantui kehidupan wanita ini sehinggalah dia didiagnos menghidap penyakit mental pada tahun 2019.

Enggan menjadikan hal itu sebagai penghalang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, Amira Nurafiqah, 23, terbuka berkongsi kisahnya di Twitter bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu kesihatan mental.

Terbaharu, kisah pertemuannya dengan seorang wanita berpudah yang menghidap skizofrenia (sejenis penyakit psikosis kronik) di sebuah hospital pada tahun lalu turut mencuri perhatian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sana-sini kemurungan! Depresi bakal jadi penyakit mental utama rakyat Malaysia, media sosial antara punca - “Kalau tak tahan, jangan jadi Instafamous”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki sakit mental terharu gadis belajar overseas sudi kahwin dengannya, “Dengan dia, saya cuba tahan...”

Mesra disapa Amira, dia mengakui ibu bapanya juga mula membuka mata dan memahami masalah dihadapinya dengan lebih mendalam setelah bertemu secara tidak sengaja dengan pesakit berkenaan.

"Selepas mak saya dengar cerita pesakit berpurdah tu, barulah dia sedar penyakit mental ni tiada kaitan dengan iman seseorang.

"Biarpun pesakit itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai muslim, dia masih mendengar suara-suara misteri sehingga dia mengelar lengannya.

"Dia tak pernah tinggal solat, mengaji dan kuat agama. Ibu bapa saya yang percaya penyakit mental wujud disebabkan lemah iman juga mula buka mata lepas dengar kisah wanita itu," ujarnya kepada mStar.

Amira bertemu wanita berpurdah itu sewaktu mendapatkan rawatan di hospital pada tahun lalu. (Gambar Hiasan)

Dedah pesakit itu kepada Amira dan ibunya sewaktu mereka sama-sama menunggu giliran untuk bertemu doktor, dia dari kecil diberi didikan agama namun mengalami gangguan skizofrenia sehingga hampir mengelar leher bayinya sendiri.

"Dia cuba gugurkan kandungan namun digagalkan oleh suaminya. Selepas bersalin, dia tidak teruskan ubat-ubatan kerana bayinya menyusu.

"Sampai satu masa, dia mendakwa hampir menoreh leher anaknya. Akhirnya dia campak anak, nasib baik atas tilam.

"Semua ini berlaku walaupun dia tidak pernah tinggal solat dan mengaji. Puasa sunat Isnin, Khamis dan solat tahajud semua memang dia tak pernah tinggal," kata Amira lagi.

Menurut Amira yang baru mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini, suaminya juga banyak membantu setiap kali dia diselubungi masalah depresi.

Saya dipanggil kafir dan tiada tuhan, tiada agama sebab selalu cederakan diri.

AMIRA

Bercerita mengenai pengalaman sendiri, Amira yang mendakwa pernah menjadi mangsa rogol juga pernah digelar kafir kerana pernah mencederakan dirinya suatu masa lalu.

"Saya sendiri ada pengalaman orang kaitkan penyakit mental dengan iman. Saya dipanggil kafir dan tiada tuhan, tiada agama sebab selalu cederakan diri.

"Ia berlaku pada 2017 rasanya. Sejak detik itu saya selalu speak out mengenai penyakit mental.

"Punca saya depresi bukan sebab kurang iman, tetapi disebabkan trauma. Saya dirogol sewaktu tahun 2011, tingkatan 2.

"Kemudian saya lupa apa yang berlaku. Pakar psikiatri menggelarkannya sebagai selective amnesia sebab insiden tu je yang saya lupa.

"Kemudian saya teringat balik pada 2016 sebab terjumpa lelaki tu (pelaku) dan bekas teman lelaki saya juga mendera saya secara mental dan fizikal pada waktu itu," dakwanya lagi.

Kata Amira, dia tidak pernah membuat laporan polis dan pelaku juga masih bebas sehingga kini.

Posting Amira mengenai masalah yang dihadapi serta pengalamannya meraih perhatian ramai netizen.

Ujarnya, hal itu turut berlarutan sehinggalah dia didiagnos menghidap Major Depressive Disorder (MDD), gangguan stres pasca trauma (PTSD), dan anxiety.

Kini keadaannya semakin baik, malah Amira juga aktif melakukan kempen kesedaran dan bertindak sebagai pengurus komuniti OwhMyBae yang memiliki 200 ahli di seluruh negara.

"Ia satu social enterprise, kami tolong wanita yang pernah jadi mangsa rogol dan cabul.

"Kami selalu buat kelas dan ajar wanita bagaimana untuk mengenal sesuatu gangguan yang berlaku, bagaimana untuk laporkan dan apa perlindungan diri untuk mereka.

"Pesanan saya kepada mereka yang depresi atau ada masalah berkaitan mental, kamu tidak berkeseorangan.

"Jangan takut nak minta tolong. Sampai bila nak sakit kan? Jauh lagi perjalanan hidup ni.

"Bagaimana nak nikmati hidup kalau kita fokus pada masa lalu," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain