suria

Doktor pulang hiba, anak ‘akak naik basikal’ nyaris ditipu sebab teringin makan ayam mahal - “Boleh tak minta plastik dan bekas ayam KFC tu lebih?”

Dr Syafiq berkongsi kisah yang dialaminya sendiri apabila seorang ibu sanggup menipu demi menggembirakan anak-anaknya.

TIDAK semua ibu bapa berkemampuan untuk menyediakan pakaian yang berjenama ataupun makanan yang enak untuk anak-anak mereka.

Sungguhpun dihimpit kesusahan tambahan pula ketika ini ramai yang terkesan gara-gara pandemik Covid-19, namun ibu bapa tetap cuba memberikan yang terbaik semata-mata untuk menggembirakan si anak.

Sebagaimana posting seorang doktor ini, dia berkongsi satu kisah penuh hiba yang dialaminya sendiri yang pasti membuatkan setiap netizen tersentuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk selongkar tong sampah menjelang iftar, pakcik tua ini dapat 2 kerak roti - “Saya sebenarnya malu, datang nak cari makanan”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak teringin makan lauk telur, ibu bawa keluar kutip tin... 'kakak tin' jujur beritahu ada berapa ringgit dalam simpanannya!

Menurut Dr Syafiq Idris, insiden berlaku baru-baru ini ketika dia mahu membeli ayam goreng dari restoran Kentucty Fried Chicken (KFC) selepas waktu kerjanya tamat.

Ketika menuju ke restoran berkenaan, secara tidak semena-mena dia ditegur oleh seseorang yang meminta pertolongan.

"Jarang aku ditegur di luar hospital macam ni. Selalunya aku bertopi, hari ini aku balik singgah terus dari hospital beli KFC. Masih berbaju kerja, ber-mask muka tapi masih dikenali.

"Mungkin pesakit atau waris dari klinik aku tadi. Doktor, boleh tak kalau mintakan plastik dengan bekas ayam KFC tu lebih untuk akak? Akak nak minta tapi tak beli apa-apa. Segan... maaf ye doktor tiba-tiba macam ni," demikian perkongsian Dr Syafiq mengimbas kembali kata-kata wanita yang menegurnya itu.

Menurut doktor ini, dia pada mulanya teragak-agak untuk membantu kerana menyangkakan dia mungkin bakal menjadi mangsa 'scam' wanita berkenaan.



Perkongsian pengalaman Dr Syafiq yang benar-benar menyentuh hati netizen.

"Akhirnya aku turutkan. Apalah sangat kalau kena scam ayam KFC. Nak buat apa tu kak? Tanyaku sambil aku hulurkan plastik dan bekas itu. Dia diam mulanya, senyumnya ikhlas berterima kasih tetapi berat dan pahit raut wajahnya.

"Saya harap tak berdosa tipu anak-anak saya macam ni. Diaorang teringin KFC dah lama. Dalam bakul basikalnya aku lihat ada sebungkus plastik berisi tiga ketul ayam goreng, kecil-kecil semuanya.

"Katanya dibeli dari gerai depan simpang sana... seketul RM2, tiga ketul RM5. Mahu diletakkan di dalam bekas dan plastik KFC agar anak-anak yang teringin itu tidak kecewa," ceritanya lagi.

Cerita begini selalunya aku hanya baca di media sosial. Bila terjadi sendiri, sungguh, luluhnya hati dan jiwa. Dia pulang hari itu dengan ayam KFC ori.

DR SYAFIQ IDRIS

Sebaik mendengar jawapan tersebut, doktor berkenaan serta merta berasa hiba mengenangkan betapa si ibu sanggup melakukan apa sahaja supaya anak-anaknya bahagia.

"Cerita begini selalunya aku hanya baca di media sosial. Bila terjadi sendiri, sungguh, luluhnya hati dan jiwa. Dia pulang hari itu dengan ayam KFC ori.

"Aku pulang dengan hati yang hiba dan berbelah bahagi. Tuhan, agamamu mengajarkan kasih sayang daripada bayi sehingga mati. Janganlah hendaknya nanti aku lupa nikmat-nikmat yang telah Kau bagi," tulisnya.

Dalam masa yang sama, doktor ini berkata perkongsian tersebut bukanlah untuk menunjuk-nunjuk apa yang telah dilakukannya terhadap wanita berkenaan, namun mahu menyebarkan mesej betapa pentingnya sikap saling membantu terutama terhadap mereka yang kurang berkemampuan.



Menurut wanita tersebut, anak-anaknya sudah lama teringin menikmati ayam goreng dari restoran berkenaan. Gambar hiasan.

"Saya pasti sesiapa sahaja di tempat saya dengan rezeki yang lebih akan melakukan perkara sama. Apa yang cuba saya emphasize sebenarnya adalah mengenai orang yang kurang bernasib baik dalam kalangan kita.

"Lihat dan ambil tahu tentang ahli keluarga dan jiran terdekat. Anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal. Kita hidup dalam waktu sukar dengan Covid-19 dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Jangan berhenti berbuat baik, keletihan dari berbuat baik itu akan hilang, tetapi kebaikan yang dilakukan itu akan kekal," kongsinya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 1,000 perkongsian.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain