suria

Tak jadi balik awal sebab nampak wanita kendong anak ketuk cermin klinik, rupa-rupanya ada sesuatu Allah nak tunjuk selepas doktor ini tolak jumpa jurujual susu formula

Seorang wanita mencuba nasib datang ke klinik yang hampir ditutup bagi mendapatkan susu formula untuk anaknya. -Gambar hiasan

SETIAP kejadian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Tanpa mengira masa, dugaan juga datang tidak disangka-sangka.

Walaupun klinik sepatutnya ditutup pada pukul 10 malam, seorang doktor mengambil keputusan untuk menamatkan tugasnya sedikit awal kerana sudah tiada pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar 'doktor kiriman tuhan' tapi tak mampu selamatkan bayi pramatang... jantung berdegup laju jam 1 pagi - "Jika hidup sampai esok pagi, itu keajaiban"

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor bingung pesakit tanya soalan cepu emas, tapi jawapan yang diberikan lebih sukar nak 'hadam' - "Ada orang lebih banyak pahala daripada saya"

"Saya dah keluar dari klinik, dah masuk ke dalam kereta pun. Tiba-tiba saya terlihat seorang ibu mengendong anak kecil lalu mengetuk pintu kaca klinik. Staf yang ada di dalam beritahu bahawa doktor dah keluar.

"Hmmm, tak baik tolak rezeki, lagipun kasihan pula lihat si ibu bersama anaknya itu. Jadi saya keluar semula dari kereta, dan beri isyarat kepada staf bahawa saya akan masuk semula ke klinik," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di halaman Facebook yang mana postingnya itu dikongsi lebih 1,900 kali.



Kisah kesusahan seorang wanita bersama anak kecilnya dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin. -Gambar hiasan

Bergegas masuk semula ke klinik, beliau terus memanggil wanita itu bersama anaknya yang tidak berhenti menangis ke bilik konsultasi tanpa perlu mendaftar dahulu.

"Nampak macam ada yang tak kena, jadi saya rasa kena periksa cepat. Daftar kemudian pun tak apa. Anak sakit apa, puan? Demam ke? Kata saya sambil periksa suhu di dahi si anak. Suhunya normal.

"Si emak pula kelihatan macam orang yang serba tak kena, seperti orang tak keruan. Dalam pada itu, dia tepuk-tepuk si anak untuk cuba memujuknya. Sesekali dia dodoi. Namun anak dia tetap menangis juga. Sebenarnya... errm.

"Saya tekun nak tunggu dia sambung cakap, tapi tak dia sambung-sambung pula. Saya sedang pandang wajahnya, dan perasan anak mata dia melilau ke sana ke mari, tapi bukan kerana melihat. Lebih kepada sedang berfikir atau menerawang," katanya.

Keadaan wanita itu yang membisu dan kelihatan tidak keruan nyata menimbulkan tanda-tanya, menyebabkan Dr Kamarul Ariffin perlu bertanya sekali lagi dengan nada lebih tegas.



Dr Kamarul Ariffin.

Wanita itu kemudian akhirnya bersuara dan jawapan yang diberikan benar-benar mengejutkan di kala waktu menginjak ke pukul 9.55 malam di mana kebanyakan operasi perniagaan bakal melabuhkan tirai.

"Sebenarnya anak saya ni lapar, doktor. Tapi saya tak ada duit nak beli susu untuk dia. Susu dia habis. Susu badan saya tak banyak. Tak cukup untuk dia. Ni dia dah lapar sangat.

"Kedai yang jual susu bayi dah banyak tutup. Kalau beri si ibu ni duit pun, dia nak beli di mana.

"Saya datang ni bukan nak minta duit ke apa doktor. Saya nak tanya kalau-kalau doktor ada jual susu bayi ke, apa ke. Saya cuba nasib sahaja ni. Meremang bulu roma saya," kata Dr Kamarul Ariffin mengimbas kembali perbualannya bersama wanita itu.

Insan-insan yang tiada kaitan dan saling tak dikenali, telah diaturkan untuk bertemu agar seorang bayi berusia empat bulan tidak tidur kelaparan malam ini.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

Walaupun tiada susu dijual di klinik, namun beliau menjelaskan bahawa seorang jurujual susu formula ada datang ke klinik di sebelah petang untuk mempromosikan produk.

Namun ketika itu beliau sedang sibuk, sambil menambah klinik beliau tidak mengambil stok susu formula untuk dijual.

"OK tak apa, bukan rezeki sayalah hari ni nak jumpa doktor. Cuma, saya nak tinggalkan sampel susu ni dekat sini. Mana tahu ada rezeki orang lain," beliau mengimbas semula kata-kata jurujual berkenaan.

Jelasnya, banyak juga sampel susu formula yang ditinggalkan oleh jurujual itu di kliniknya. Berpaket-paket.



Perkongsian Dr Kamarul Ariffin di laman sosial.

Menurut Dr Kamarul Ariffin, beliau percaya ia bukan kebetulan kerana semuanya dah dirancang di atas kebesaran Tuhan yang Maha Esa.

"Insan-insan yang tiada kaitan dan saling tak dikenali, telah diaturkan untuk bertemu agar seorang bayi berusia empat bulan tidak tidur kelaparan malam ini.

"Rezeki mengalir daripada jurujual kepada doktor, lalu kepada si ibu, dan akhirnya kepada si anak. Maka, saya beri sampel-sampel susu formula itu kepada si ibu," tambahnya.

Bukan sekadar susu formula, beliau turut menghulurkan sedikit wang belanja kepada wanita berkenaan untuk membeli keperluan lain buat dirinya sekeluarga.

"Si ibu terus menutup mulut dan menangis. Saya turut ikut berasa sebak. Bukan sedih, tapi tumpang gembira. Benarlah bahawa dalam rezeki kita, ada rezeki insan lain.

"Maka jangan pernah berasa rugi bila memberi. Tak usah berasa berhak kepada semuanya. Rezeki yang dikurniakanNya sungguh luas, cukup untuk dikongsikan dengan semua yang ada di muka bumi ni," kata Dr Kamarul Ariffin.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain