suria

Bergelut cari modal selepas dibuang kerja, patah kaki... bisnes 3 bersaudara ‘baru nak up’ diuji lagi - “Kami tiada kereta sendiri, keluar menjaja naik e-hailing”

Nor Shayumi (duduk) bersama adik dan adik iparnya mencari rezeki dengan menjual aneka kek.

BARU empat bulan memulakan bisnes secara kecil-kecilan selepas melalui tempoh sukar dek kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), siapa sangka dugaan menjengah sekali lagi.

Itulah yang dialami oleh seorang peniaga kek di Senawang, Negeri Sembilan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula 5 November lalu.

"Seremban dah kena PKPB. Macam mana entah nak menjual. Saya berniaga kek dekat Senawang, mengadap Uptown Senawang, depan Maybank. Musim-musim macam ni terpaksa bertungkus lumus nak cari rezeki. Harap-harap Allah permudahkan. Siapa berminat boleh la datang," demikian ciapan wanita itu di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu bagi duit kepada pelancong, kini ‘bagi orang makan’! Wanita kongsi kisah Nasi Lemak Kena Benti Keje, sedih tapi beri inspirasi

ARTIKEL BERKAITAN: Akui frust berjualan di zon merah, peniaga nasi lemak tak jangka ‘pelanggan bertambah’ selepas bantu kerja kebajikan – “Jangan berhenti walau kecewa”

Perkongsian tersebut meraih sehingga 4,400 retweet setakat ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, peniaga berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nor Shayumi berkata, tweet berkenaan dibuat sekadar meluahkan rasa hati sebaik sahaja mendengar pengumuman daripada kerajaan.



Tweet Nor Shayumi meraih perhatian netizen.

"Masa tu kerajaan umum PKPB di Seremban terlebih dahulu, jadi bila dengar berita tu, saja nak kongsi di Twitter. Masa tu langsung tak fikir sangat sebab sekadar berkongsi dengan kawan-kawan sebab jumlah pengikut tak ramai.

"Keesokannya, saya terkejut bila tengok ramai pula yang retweet. Saya bukan ada nama atau pengaruh, tapi bila viral, saya bersyukur kerana sedikit sebanyak ramai tolong kongsikan mengenai bisnes kecil ini," katanya.

Menurut Nor Shayumi, bisnes kek itu dilakukan secara bersama dengan adik, Qairawani dan adik ipar, Hafizudin yang mana ia menjadi sumber utama pendapatan mereka sejak empat bulan lalu.



Nor Shayumi membuka meja kecil untuk menjual kek.

Kek yang dijual terdiri daripada pelbagai jenis seperti kek coklat moist, kek coklat keju, kek red velvet keju, kek red velvet strawberi, kek hazelnut karamel, cheesekut dan sebagainya yang kesemuanya dijual di dalam bekas becil berharga antara RM5 hingga RM8 sebekas.

"Saya dibuang kerja sejak Februari lalu... sejak itu, saya melakukan pelbagai cara untuk mencari rezeki bagi meraih pendapatan kerana ada komitmen dan pinjaman pelajaran yang perlu dilunaskan.

"Manakala adik ipar, Hafizudin pula kemalangan dan patah kaki kanan... juga pada Februari. Keadaan tersebut menyukarkannya untuk bekerja seperti dulu.

"Jadi kami fikir dan bincang, akhirnya kami sama-sama mulakan bisnes buat kek... memandangkan adik ipar ada kemahiran sebab bekerja di sebuah kedai kek sebelum ini," cerita wanita berusia 25 tahun ini.

Kami tiada kereta sendiri, jadi untuk keluar menjaja, kami naik e-hailing saja. Sekarang pula PKPB... sudah tentu jualan agak merosot sebab orang tak keluar rumah sangat.

NOR SHAYUMI

PENIAGA KEK

Tambahnya, pelbagai cabaran dihadapi oleh mereka bertiga bermula daripada peringkat awal sehingga sekarang.

"Masa mula-mula tu, kami struggle juga cari modal... iyalah barang nak buat kek bukannya murah. Adik dan adik ipar pun ada anak kecil yang perlu ditanggung.

"Kami pusing pekan-pekan sekitar Nilai, Seremban dan Senawang untuk perkenalkan kek HQ Bakeri kepada orang ramai. Kami menjaja kerana masih lagi tiada tapak tetap. Adik ipar sedang usahakan tapi masih belum ada rezeki.

"Kami tiada kereta sendiri, jadi untuk keluar menjaja, kami naik e-hailing saja. Sekarang pula PKPB... sudah tentu jualan agak merosot sebab orang tak keluar rumah sangat. Waktu berniaga pun pendek sehingga 10 malam.

"Kek yang dibuat setiap hari kadang-kadang tak habis pun. Kami sedekah pada frontliners, mangsa banjir atau orang lain," ujarnya.



Nor Shayumi menjual kek bermula 6 petang sehingga 10 malam

Walaupun begitu, Nor Shayumi berkata dia dan adik-adiknya tidak berputus asa, malah mahu terus berusaha memperkenalkan kek jualan mereka dan berimpian untuk memiliki kedai sendiri satu hari nanti.

"Ini adalah pekerjaan utama kami sekarang. Kami mahu terus berusaha untuk mengembangkannya demi menyara keluarga. Walaupun keuntungan tak banyak mana dan tak selumayan gaji sebelum ini, tapi saya tetap bersyukur.

"Buat mereka yang juga dalam waktu sukar, percaya bahawa takdir Allah itu indah. Apa yang penting, tawakal, doa dan berusaha capai apa yang kita mahu.

"Jangan putus asa walau banyak duri yang menghalang. Moga-moga urusan rezeki kita semua dipermudahkan dan mendapat keberkatan-Nya," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain