"AYAH kena pergi ke laut. Mak dah lama tak ada" Demikian sebaris ayat ringkas yang meluncur keluar dari mulut seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun cukup membuatkan doktor ini tersentuh. Menerusi satu perkongsian di Facebook, Dr Redza Zainol berkata ketika itu dia bertanya mengenai keberadaan ibu dan bapa kanak-kanak tersebut kerana tidak melihat kelibat sesiapa di sisi dua adik beradik itu. ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pulang hiba, anak ‘akak naik basikal’ nyaris ditipu sebab teringin makan ayam mahal - “Boleh tak minta plastik dan bekas ayam KFC tu lebih?” ARTIKEL BERKAITAN: Bawa calon UPSR makan KFC, lelaki ini tersentak dengar alasannya tak selera makan ayam, “Saya terus pakai spek hitam...” Kanak-kanak berkenaan sedang duduk menemani adiknya yang berusia lima tahun yang dirawat di wad hospital tempatnya bertugas. "Sedih pula bila berjumpa keluarga begini dalam wad. Barulah saya faham kenapa ayah mereka tak ada di situ. "Adiknya baru berusia lima tahun, masuk ke wad sebab demam dan nafas laju. Keadaan dia stabil. Cuma perlu makan ubat dan berehat," tulis Dr Redza. Perkongsian Dr Redza Zainol mengenai kisah dua beradik yatim yang ditemuinya baru-baru ini. Menurut doktor itu lagi, sewaktu lawatan kali keduanya di wad tersebut pada sebelah petang, dia hairan melihat terdapat banyak makanan di katil kanak-kanak yang sama, seolah-olah mereka menerima kunjungan pelawat. "Mana datang makanan ni semua? Ada biskut coklat, air kotak susu, roti macam-macam jenis. Ada kotak KFC juga. Pagi tadi tak ada semua ni. "Adik tu tersenyum je sambil tunjuk pada doktor dan jururawat di belakang saya. Rupa-rupanya, jururawat dan doktor junior saya sama-sama berpakat belikan makanan untuk kakaknya. Adiknya tumpang makan sekali. Dr Redza hairan apabila mendapati makanan seperti ayam goreng dan makanan lain di katil yang menempatkan kanak-kanak berkenaan. Gambar hiasan. "Yang KFC tu ada mak dari katil sebelah yang beri. Sebak pula saya masa tu. Saya tak sempat nak buat semua tu, nasiblah ada mereka semua tolong. "Kakaknya pemalu, dia makan sikit je roti tu. Saya cakap kat dia makanlah puas-puas. Kalau tak cukup, esok saya belikan pula. Dia dan adiknya tersenyum lebar," ceritanya. Tidak semua kanak-kanak datang daripada keluarga yang senang, justeru sebaik melihat senyuman yang terukir di bibir kedua-dua kanak-kanak yatim tersebut, doktor berkenaan berasa begitu bahagia. "Saya paling bahagia bila lihat anak kecil yang pada awalnya sakit, boleh melambai-lambai sambil tersenyum meninggalkan wad. Dr Redza sering membuat perkongsian mengenai hal kesihatan kanak-kanak dan keibubapaan di Facebook. "Dari terbaring lesu, boleh melompat-lompat sambil dipimpin oleh ibunya keluar dari wad. Itu bahagia yang sangat besar buat diri saya. "Tunjuklah saya duit sebanyak mana pun, tak mungkin sama dengan nikmat ada anak yang membesar sihat. Ini nikmat luar biasa," ujarnya lagi.Sehingga kini perkongsian doktor tersebut meraih lebih 500 shares di Facebook. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!