SEPANJANG 23 tahun menetap di kediaman keluarganya, kejadian banjir pada Selasa petang disifatkan sebagai yang paling teruk pernah berlaku. Menurut Ahmad Nur Azri Ahmad Nuri, 23, yang menetap di Lorong Kiri, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kejadian banjir itu juga bagaikan sudah menjadi kelaziman buat dia serta beberapa kediaman sekitar. Malah, video kejadian terbaharu itu turut mengundang simpati ramai setelah ia tular menerusi laman Twitter. ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau berani tunjuk muka la” - Banjir dikaitkan dengan ajaran sesat, ramai berang dakwa akaun palsu hina bencana di Pantai Timur ARTIKEL BERKAITAN: Tabik! Rela redah banjir, kenapa 2 jejaka ini digelar superhero? - “Pertolongan kecil bantu beratus lain” Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Azri mengakui sedih kerana masalah itu sudah berpanjangan sejak sekian lama. Malah dakwa Azri, masalah itu semakin meruncing selepas anak sungai berdekatan dinaik taraf menjadi longkang monsun sekitar tahun 1990-an. "Di kawasan rumah saya, biasanya ada lima rumah yang akan kena. Rumah ini merupakan yang paling dekat dengan anak sungai tu. Permandangan biasa setiap kali kediaman itu dilanda hujan lebat. "Bulan ini sahaja dah dua kali banjir. Bulan lepas sekali. Saya boleh kata dalam anggaran lima ke lapan kali dalam setahun. "Dalam rumah saya, ada datuk dan nenek, ibu bapa saya, saya dan isteri termasuk kakak dan anaknya. "Kejadian terbaharu pada Selasa petang, paling teruk saya rasa. Sebelum ni air masuk melalui tingkap. Semalam lebih 2 inci dari paras tingkap," ujarnya kepada mStar. Bukan sahaja kediaman Azri, malah air yang melimpah turut memberi kesan buat beberapa kediaman sekitar. Menerusi video tular, kelihatan dia sedang memindahkan barangan dalam rumah tatkala air banjir mula memenuhi segenap ruang pada paras pinggangnya. Turut mencuri tumpuan tentunya bapa Azri yang kelihatan selamba duduk atas kerusi, seolah-olah tidak hairan dengan apa yang sedang berlaku. Saya baru 23 tahun tinggal di sini, bagaimana dengan datuk dan nenek saya yang sudah sekian lama hidup dalam rumah tu? AZRI "Selepas video tu viral, ada orang pertikai struktur rumah kami, kenapa ada tangga tinggi depan rumah? Sebenarnya kami tambah tangga lambatkan air masuk dalam rumah. "Jika kami tengok air dah naik ke beberapa anak tangga, kami sempat untuk kemas dan simpan barang sebelum ia melimpah ke dalam rumah. "Kami juga bina platform pada setiap pintu bilik untuk lambatkan air masuk. Malah, kami juga ada buat lubang untuk cepatkan air keluar selepas banjir. "Secara anggaran kasar dah habis RM60,000 untuk upgrade rumah. Struktur rumah juga senget sebab selalu banjir, dinding dan lantai banyak retak. Dakwa Azri, kejadian banjir seperti ini berlaku sekitar lima ke lapan kali setahun. "Kalau tengok video tu, ayah saya selamba je duduk atas kerusi. Kami dah terbiasa sangat. Kalau hujan mesti risau, apatah lagi jika kami tiada di rumah," ujar Azri yang bekerja sebagai pendandan rambut. Tambah Azri, situasi itu juga menyebabkan dia sekeluarga tawar hati untuk menghias dalam rumah dan membiarkan ia hampir kosong tanpa perabot. "Kalau perasan, ada dua kerusi tu je. Dah penat nak hias rumah. Kalau raya sekalipun, kami hias sekejap, esoknya dah kemas. "Memang penat nak cuci. Bila air dah masuk, hadap je lah. Biasanya dalam sejam akan surut, tapi bergantung juga dengan keadaan hujan pada waktu itu," ujarnya. Dalam pada itu, Azri berterima kasih dengan respon positif netizen di Twitter yang meluahkan rasa simpati atas nasib menimpa dia sekeluarga serta jiran tetanga. Azri berharap masalah itu dapat berakhir dengan segera setelah sekian lama menghantui kehidupan dia sekeluarga. Malah, dia turut meminta pihak terlibat agar memandang serius kejadian itu dan berharap ia segera berakhir setelah sekian lama berlanjutan. "Terima kasih kepada netizen yang prihatin. Ada beberapa pihak yang tampil nak membantu selepas ia viral. "Saya harap pihak terlibat dapat selami apa yang dilalui masyarakat. Kami tak perlu bantuan makanan, beras dan rempah ratus. Kami mahu masalah ini selesai. "Saya baru 23 tahun tinggal di sini, bagaimana dengan datuk dan nenek saya yang sudah sekian lama hidup dalam rumah tu? Kesian," ujarnya. Tambah Azri, bukanlah masalah mereka tidak pernah mendapat perhatian pihak berwajib, malah sudah banyak kali aduan mereka didengari. Namun, situasi itu masih lagi belum berakhir dan harapan Azri agar ia dapat diakhiri dengan segera. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) TONTON VIDEO PILIHAN!