suria

Niat berkongsi rezeki, pemilik restoran di Shah Alam minta jangan segan ambil makanan percuma - “Saya faham bagaimana rasanya susah...”

Zunaidi memulakan inisiatif memberi makanan secara percuma sejak beberapa hari lalu bagi membantu insan yang terjejas.

BERKONGSI rezeki.

Itulah yang dilakukan oleh seorang pemilik restoran yang memberikan makanan secara percuma kepada mana-mana individu terjejas atau hilang pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan beberapa bulan lalu.

"Makanan percuma untuk golongan susah dan yang hilang pekerjaan. Hari ni hari pertama kita buat. Ramai yang tak tahu, jadi mintak tolong retweet. Terima kasih pada penyumbang. Biar sikit asalkan berkat," demikian ciapannya menerusi laman Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi rezeki cara rare! Mami Penang bukan saja kumpul duit sedekah ikan, settle dari A sampai Z - “Ada tak faham, konon nak menunjuk-nunjuk”

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana ‘kisah ayah’, rezeki peniaga dapat order 150 nasi kerabu buat frontliners, rider... next untuk polis berhujan panas di roadblock

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 5,700 retweet dan 3,300 likes selain turut dibanjiri dengan komen netizen yang memuji tindakan mulia pemilik restoran berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Zunaidi Abdullah berkata idea untuk memberikan makanan secara percuma itu tercetus selepas satu insiden menyentuh hati berlaku beberapa hari lalu.



Restoran milik Zunaidi menyajikan menu sarapan pagi berasaskan makanan tradisi Terengganu dan Pantai Timur.

"Restoran saya menjual sarapan pagi berasaskan sajian tradisi Terengganu dan Pantai Timur seperti nasi kerabu, nasi minyak, nasi dagang, pulut lauk dan sebagainya. Harga serendah RM4 sehingga RM8.

"Satu hari, ada seorang pelanggan datang dan bertanyakan harga salah satu hidangan dan bila saya beritahu ia berharga RM6, dia seolah-olah tak mampu beli.

"Dia kata 'tak mengapa'... Kemudian bila saya bertanya lanjut, katanya tak cukup duit sebab hanya dapat gaji harian. Sudah tiga hari gajinya tertunggak. Daripada situ, tercetus ilham untuk beri makanan percuma kepada mana-mana yang memerlukan," katanya yang memulakan inisiatif tersebut, tiga hari lalu.

Menurut Zunaidi yang juga pemilik restoran Eddiey Mokku dan Katering, makanan percuma tersebut siap dibungkus dan diletakkan di hadapan kedai serta nota, agar mudah dilihat orang ramai.



Restoran yang diusahakan Zunaidi sejak hampir tiga tahun lalu terletak di Batu Tiga, Shah Alam.

Tiada bilangan yang khusus ditetapkan, malah menurut Zunaidi, dia dan pihak restoran akan sentiasa menambah sekiranya makanan yang diletakkan di hadapan kedai habis diambil.

Tambah Zunaidi, sesiapa sahaja boleh mengambil makanan percuma yang disediakan di kedainya tanpa perlu rasa segan, kerana dia sememangnya berniat untuk sama-sama berkongsi rezeki.

"Sejak pandemik Covid-19, ramai yang kehilangan pekerjaan. Keadaan bertambah sukar sekarang sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya dahulu pun asalnya orang susah... saya faham bagaimana rasanya sebab saya juga pernah rasa perkara sama.

Yang paling saya terkesan, ada pelajar yang menghubungi saya dan nyatakan hasrat untuk turut sama menyumbang. Walaupun dia pelajar, sumbangannya kecil, tapi niatnya ikhlas.

ZUNAIDI ABDULLAH

PEMILIK RESTORAN

"Bagi yang sukar, hilang pekerjaan... jangan rasa segan untuk datang dan ambil. Sebab itu saya cuba buat perkongsian di laman sosial untuk menghebahkan inisiatif ini," ujarnya mengalu-alukan kehadiran golongan berkenaan ke restorannya yang terletak di Batu Tiga, Shah Alam.

Dalam pada itu, Zunaidi berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial.

"Sejak viral, ramai sungguh yang hantar mesej (DM) kepada saya yang menyatakan mereka turut sama ingin menyumbang. Saya sampai terpaksa tutup dulu akaun sebab terlalu banyak... bimbang sebab ini amanah orang. Jadi saya buat yang termampu dulu.



Zunaidi (tengah) bersama antara pelanggan setianya.

"Dalam pada itu, ada seorang wanita daripada wakil sebuah NGO hubungi saya... pertubuhannya biasa lakukan charity makanan kepada asnaf serta golongan yang memerlukan.

"Jadi kami sepakat untuk berkolaborasi, di mana setiap Jumaat, kami akan mengagihkan 240 bungkus makanan percuma.

"Yang paling saya terkesan, ada pelajar yang menghubungi saya dan nyatakan hasrat untuk turut sama menyumbang. Walaupun dia pelajar, sumbangannya kecil, tapi niatnya ikhlas," cerita lelaki berusia 43 tahun ini.



Ada sebilangan yang menyatakan rasa segan untuk mengambil makanan percuma di restoran Zunaidi.

Menurut Zunaidi yang sudah tiga tahun membuka restoran berkenaan, dia berhasrat untuk meneruskan inisiatif tersebut untuk masa akan datang bagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

"Hari pertama kurang mendapat sambutan sebab mungkin ramai yang segan. Tapi masuk hari kedua, sambutan agak menggalakkan. Jadi InsyaAllah saya akan teruskan. Bagi saya, takkan miskin seseorang dengan bersedekah," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain