SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Itulah pepatah sesuai bagi menggambarkan situasi yang dialami oleh pasangan suami isteri ini apabila anak kecil mereka mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala akibat terjatuh daripada baby walker. Insiden tersebut diceritakan semula oleh seorang Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol menerusi satu perkongsian di Facebook, sebagai pengajaran kepada ibu bapa yang lain. ARTIKEL BERKAITAN: Doktor terkejut ketika melutut periksa kaki budak lelaki, ‘sesak nafas’ selepas dengar bisikan ibunya - “Saya belek dari atas sampai ke bawah” ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa tak lama dah baby ni” - Doktor akui buat ‘silap’ ketika rawat bayi pramatang, keajaiban 3 tahun lepas beri pengajaran bermakna Menurut Dr Redza, daripada penceritaan kedua ibu bapa tersebut, walker yang dinaiki anak kecil mereka terbalik sebelum terjatuh di tangga. "Saya tergamam bila lihat keputusan CT scan otak bayi ni. Bayi ni naik baby walker dan entah macam mana walker tu terbalik dan dia jatuh di tangga. "Tangga tu tak tinggi pun, tapi CT scan sahkan ada pendarahan dalam otak siap retak tempurung kepala anak tu. Perkongsian Dr Redza Zainol mengenai insiden seorang bayi yang terjatuh daripada baby walker. "Lidah saya kelu. Saya dan doktor lain cuma mampu merujuk bayi itu ke hospital yang lebih besar untuk dia dapat rawatan lebih baik. "Ayahnya tersandar di dinding. Ibunya pula hanya mampu duduk di sebelah anak. Benda dah jadi. Menyesal pun tak guna," tulis Dr Redza pada perkongsian tersebut. Mengulas lebih lanjut, doktor ini mendedahkan ini merupakan antara salah satu kes kemalangan melibatkan bayi ketika mereka menggunakan 'baby walker'. "Sebenarnya selain terjatuh, banyak kes bayi dikejarkan ke hospital sebab tersepit dan melecur kulit ketika menggunakan baby walker. "Di Kanada, baby walker dah diharamkan sepenuhnya. Menurut American Academy of Pediatrics, mereka tegas mengatakan baby walker tak boleh diletakkan di rumah atau pusat penjagaan kanak-kanak," ujarnya. Ibu bapa disarankan untuk menyediakan ruangan selamat atau 'playpens' untuk bayi mereka bagi mengelakkan kemalangan melibatkan baby walker. Justeru menurut doktor ini, sebagai mengelakkan insiden sama berulang, ibu bapa seharusnya mencipta ruang selamat buat bayi seiring dengan perkembangan mereka yang pandai duduk, menyulur, merangkak dan berdiri. "Salah satu cadangan American Academy of Pediatrics yang saya suka ialah untuk mak ayah gunakan 'Play yards atau Playpens'. "Bila buat macam ni, dia takkan dapat bergerak sampai ke tangga, bawah meja atau dapur tanpa mak ayah sedar. Dr Redza Zainol sering berkongsi hal ehwal kesihatan kanak-kanak dan keibubapaan di Facebook. "Sambil mak ayah buat kerja yang banyak kat rumah tu, bayi kita boleh main dengan permainan yang kita dah letak kat dalam tu. Adik beradik lain yang dah besar pun boleh tumpang main sekali. "Walaupun kita tak guna baby walker, tetap kena pantau anak kecil tu supaya sentiasa dalam keadaan selamat,"ujarnya lagi. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 1,200 shares di Facebook selain turut dibanjiri dengan ratusan komen netizen Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!