DISAHKAN sebagai salah seorang pesakit Covid-19 bagaikan igauan ngeri buat wanita ini apatah lagi 15 lagi ahli keluarganya turut positif jangkitan tersebut sehingga meragut nyawa ibunya. Menurut Hasmira Hamzah, dia ke Hospital Kulim, Kedah kerana sudah mengalami gejala jangkitan tersebut pada 2 November lalu. "Satu famili saya ke Klinik Kesihatan Kulim untuk swab test pada 2 November sebab kontak rapat dengan mak yang disahkan positif pada 31 Oktober lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Kasih seorang bapa... nota tulisan tangan, isyarat doa dan solat memori terakhir sebelum lalui ‘tidur’ yang panjang – “Abah ucapkan sayang” ARTIKEL BERKAITAN: Non stop buat live pasal Covid-19, wartawan digelar ‘Cikgu Covid’ tak sangka dijangkiti virus selepas pulang Sabah – “Orang dalam wad ni baik-baik belaka” "Simptom saya paling teruk. Saya bukan saja batuk tapi demam on off, muntah, sakit dada macam kena tumbuk dan sukar bernafas. Saya tak tunggu result dan terus serah diri ke Hospital Kulim. "Dalam beberapa jam pula saya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Waktu tu suhu badan agak tinggi dan oksigen pun tak cantik, jadi saya pun dimasukkan ke ICU," katanya kepada mStar. Myra disahkan positif Covid-19 pada 2 November lalu. Akui Hasmira atau lebih mesra disapa Myra, doktor nyaris melakukan intubation selepas melihat keadaannya yang teruk itu. "Saya kena pakai gas sebab oksigen drop teruk. Malam tu juga doktor beri penerangan nak intubate saya. Dia minta nombor telefon suami untuk inform semua details. "Saya dah menangis merayu-rayu dekat doktor tak nak kena intubate macam mak. Saya masih boleh lawan dan nak cuba lawan. Alhamdulillah saya tak kena dan hanya guna ventilator. "Saya pilih untuk kuat. Kalau tak lawan kena masuk tube. Lagipun suami dan keluarga tak putus-putus beri semangat pada saya untuk lawan sakit tu," katanya. Wanita berusia 30 tahun itu mendedahkan abangnya turut dimasukkan ke ICU manakala ahli keluarganya sedikit demi sedikit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah selepas positif Covid-19. "Kakak ipar saya orang pertama buat swab test memandangkan dia kerja hospital. Result positif sebab kontak rapat dan ambulans datang ambil. Ibu Myra pada awalnya dimasukkan ke sebuah hospital dekat Pulau Pinang kerana bengkak pada bahagian kaki. "Abang saya nombor tiga pergi swab test sebab simptom dia semakin teruk. Dia pun disahkan positif malam tu juga dan dimasukkan ke ICU sebab situasi sama macam saya, oksigen drop. "Sesungguhnya Covid-19 ni sangat jahat. Penyakit ni serang kami satu famili, sikit demi sikit famili kena hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah termasuklah anak kakak saya berusia empat bulan," katanya. Pada masa sama, Myra turut meluahkan rasa sedih apabila tidak dapat menatap wajah ibunya, Rogayah Md Desa, 62, buat kali terakhir pada 8 November lalu. Sedih sangat mak tak sempat pun pakai rantai emas tu. Mak hanya sempat cakap cantik saja. HASMIRA HAMZAH Anak "Mak meninggalkan kami untuk selama-lamanya pada pukul 9.13 pagi selepas bertarung nyawa melawan sakit tu selama lapan hari. Mak dah tak mampu, mak dah penat. "Paling sedih tak ada seorang pun boleh tengok mak. Semua kat hospital sebab Covid-19. Tinggal suami dengan anak-anak buah tiga orang je negatif tapi mereka pun tak boleh keluar sebab tengah kuarantin. “Sedih sangat sebab guna wakil untuk buat pengecaman jenazah mak. Kubur mak pun tak boleh tengok. Masa tu hanya Allah saja yang tahu perasaan saya. Rindu kat mak yang tak terucap," katanya. Jenazah ibu Myra selamat dikebumikan tanpa kehadiran suami dan anak-anaknya. Namun Myra turut terkilan kerana ibunya tidak sempat memakai rantai emas hadiah pemberiannya sempena hari lahirnya pada 26 Oktober lalu. "Saya sambut birthday mak dekat wad. Belikan bunga dan rantai emas kat mak sebab kali terakhir mak datang Ipoh, mak cakap teringin nak pakai. "Sedih sangat mak tak sempat pun pakai rantai emas tu. Mak hanya sempat cakap cantik saja," katanya. Kata Myra lagi, jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda Kelang Lama, Kulim, Kedah. Mengimbau kembali keadaan ibunya, Myra berkata pada awalnya ibunya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang kerana bengkak di kaki. "Mak masuk ICU sebab kaki mak bengkak teruk, doktor kata over fluid pada 22 Oktober lalu. Sehari kemudian mak kena kuarantin sebab ada kes tapi buat swab test result negatif. Myra terkilan ibunya tidak sempat memakai rantai emas pemberiannya. "Mak kemudian pindah wad biasa tapi muka mak bengkak. Kami pun boleh melawat mak dah. Lepas tu mak masuk ICU sebab pernafasan tak OK. "Doktor terpaksa intubate mak. Tak sangka hari tu hari terakhir saya dapat cium mak. Mak koma dan keadaannya kritikal. Pada 31 Oktober lalu abang call beritahu mak positif untuk swab test kedua. "Hanya Allah saja tahu perasaan saya, meraung menangis sebab keadaan mak kritikal. Mak kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dan meninggalkan kami pada 8 November lalu," katanya. Akui Myra bukan mudah untuk mereka sekeluarga melalui ujian ini kerana masyarakat memandangkan serong pesakit Covid-19. "Bukan mudah sebab macam-macam orang cakap kat kami. Ada pula yang tokok tambah cerita. Paling sedih ada yang kata kami sengaja pergi red zone cari penyakit. Gambar kenangan Myra bersama arwah ibunya. "Arwah mak dikata pencetus Kluster Permatang. Sebenarnya kami pun tak tahu mak dapat jangkitan tu dari mana. Sesungguhnya soalan ni saya tak mampu nak jawab sebab virus tu kita tak nampak. "Virus ni sudah ada merata-rata dalam masyarakat ketika ini. Asbab mak saya positif semua buat cerita bukan-bukan. Tapi tak apalah, kami reda. Saya percaya ada hikmah di sebalik ujian ini," katanya. Kata Myra lagi, dia masih lagi menerima rawatan di wad biasa dan akan dibenarkan keluar hospital pada Ahad jika keadaannya beransur pulih. "Hari ni genap 20 hari saya kat wad. Alhamdulillah saya dah beransur pulih. Doktor beritahu kalau 21 hari saya dah boleh balik. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan. "Ujian ini juga mengajar saya bahawa keluarga adalah segala-galanya. Bila berlaku perkara ini kami saling menyayangi, saling beri semangat antara satu sama lain. Mungkin kasih sayang mak buat kami adik-beradik rapat macam ni," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!