MEMBERI kebahagiaan kepada ibu bapa menjadi salah satu cara untuk membalas jasa mereka. Begitu kisahnya dengan pemuda ini apabila dia menghadiahkan telefon pintar model terbaharu, iPhone 12 buat bapanya yang berusia 54 tahun. Bercerita kepada mStar, Hazran Hakim, 22, mengakui bersyukur dapat membuat kejutan buat bapanya, Mohd Haseli Daud yang juga seorang guru sekolah menengah di Kuala Berang, Terengganu. ARTIKEL BERKAITAN: Selamat Hari Bapa! Anak hadiahkan Mercedes-Benz, impian pensyarah sejak 1963 jadi realiti - "Nilainya tak dapat tandingi jasa, pengorbanan ayah" ARTIKEL BERKAITAN: “Dah bawa orang rumah ronda ke Ipoh jalan-jalan” - Anak bagi peluang bapa ‘dating’ dengan ibu naik kereta baharu Mesra disapa Hazran, kejutan itu dibuat pada Sabtu memandangkan telefon lama milik bapanya sudah hampir rosak. "Ayah pakai iPhone 6s yang dibeli pada tahun 2016. Dah lama telefon tu, kadang-kadang kami call pun tak berapa dengar. "Jadi saya memang berniat nak beli telefon baharu untuknya. Itu hasil duit simpanan saya bekerja. Kumpul tiga ke empat bulan dan saya beli iPhone 12 untuk ayah. Paparan skrin video kejutan iPhone 12 oleh Hazran buat bapanya. "Masa saya bagi, dia pun terkejut. Tak jangka ada iPhone 12 sebab ia diletakkan dalam kotak berbentuk hati. Ayah tersenyum dari semalam sampai pagi ni," ujarnya. Ujar Hazran, nilai peranti berkenaan jauh lebih kecil jika mahu dibandingkan dengan pengorbanan bapanya selama ini. Malah, dia berpegang pada konsep keberkatan orang tua dan menyifatkan pemberian itu sebagai 'pelaburan' untuk pintu rezeki yang lebih luas pada masa akan datang. Saya pegang satu benda sahaja, duit gaji akan bagi pada mak ayah dulu. HAZRAN "Rasa sangat puas. Sebabnya sebelum ni dia dah banyak berkorban untuk kita. Jasa dan pengorbanan ayah tak ternilai jika nak dibandingkan dengan telefon ini. "Mungkin kecil pada mata orang, tapi senyuman ayah memberi kepuasan kepada saya. Hazran sekeluarga. "Saya fikir balik, ayah dulu tak pernah berkira dengan anak-anak. Selalu utamakan anak-anak. "Jadi sekarang saya pun tak berkira dengan ayah dan mak. Doa dan restu mereka sangat penting. "Saya pegang satu benda sahaja, duit gaji akan bagi pada mak ayah dulu, kemudian baru langsaikan komitmen lain," ujarnya lagi. Hazran menguruskan dua restoran nasi kukus di Kuala Berang dan Pasar Payang, Terengganu. Tambah Hazran, dia juga tidak menggunakan telefon model baharu dan berseloroh bahawa bapanya merupakan individu pertama dalam keluarganya yang memiliki iPhone 12. Bercerita mengenai dirinya, Hazran kini mengusahakan restoran nasi kukus yang sebelum ini dikendalikan oleh ibunya. Selain cawangan Kuala Berang, dia turut menguruskan satu lagi cawangan di Pasar Payang. Tambah Hazran, dia turut menyimpan hasrat untuk menghadiahkan kereta mewah berjenama Mercedes-Benz buat bapanya pada masa akan datang. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!