suria

Pelajar aktif sukan kecil hati dengan guru! Hanya nampak gagal 5 subjek, dapat ‘berderet’ anugerah langsung tak pandang - “Cikgu kata mustahil saya boleh lulus”

Kata Aliah, dia hanya berkongsi semula pengalaman yang dilaluinya di sekolah suatu masa lalu dan tidak menyangka video berkenaan akan tular.

KENANGAN zaman persekolahan banyak mendewasakan kita.

Selain kegembiraan bersama rakan-rakan, ada juga memori duka yang tersemat dalam hati sampai bila-bila.

Begitu juga dengan gadis ini yang baru sahaja menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Arwah pernah cakap dia kena sihat sebelum sekolah buka” - Anak tak sangka kerisauan ibu ‘hilang’ tepat masanya, menggigil imbas pengalaman mandikan jenazah

ARTIKEL BERKAITAN: "Memang cikgu banyak masa free pun” - Kecoh surat minta guru ‘tambah pengorbanan’, pantau murid walau selepas tamat waktu sekolah

Menurut Nur Aliah Mohamad Sarifuddin, 18, dia banyak mengukir memori indah bersama kawan-kawan termasuklah meraih beberapa anugerah kerana aktif dalam bidang sukan dan kokurikulum.

Namun begitu, terselit kisah duka apabila dia pernah berkecil hati dengan kata-kata bekas gurunya.

Malah, luahan gadis yang mesra disapa Aliah ini turut meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi mengenai pengalamannya itu menerusi beberapa video di aplikasi TikTok.

Biarpun mendapat keputusan teruk sewaktu percubaan SPM, Aliah akhirnya memperoleh 4A dan berjaya melanjutkan pengajian ke universiti. -Gambar Hiasan

"Saya tak tahu bagaimana video tu boleh meletup. Mungkin ramai yang boleh relate dengan situasi tu. Ingatkan saya seorang je kena.

"Saya cuma cerita apa yang cikgu pernah buat dekat saya dan kawan-kawan. Paling terasa bila mak ayah kawan saya bercerai, ada cikgu jadikan ia sebagai buah mulut.

"Bayangkan, mak ayah dia baru je berpisah. Saya sendiri pun kena. Cikgu minta maaf pada saya sebab cakap belakang. Cakap saya tiada hala tuju, aktif bersukan semata-mata nak keluar kelas," ujarnya kepada mStar.

Ramai lagi cikgu yang baik dan betul-betul faham. Ada yang personally nak ajar saya.

ALIAH

Imbas Aliah lagi, paling terasa tentunya apabila seorang guru mempertikaikan anugerah yang diraih atas pencapaiannya dalam bidang sukan dan kokurikulum.

Jelas Aliah, ia susulan dia gagal dalam lima subjek sewaktu peperiksaan percubaan SPM pada waktu itu.

"Saya aktif sukan seperti bola baling, olahraga, lontar peluru... saya juga aktif kawad kaki.

"Bila dah aktif, saya jarang ada dalam kelas. Dalam seminggu mungkin dua hari je dalam kelas. Masa percubaan SPM saya gagal lima subjek.

"Masa tu saya dapat anugerah khas Kokurikulum dan Tokoh Sukan. Ada cikgu kata saya tak layak dapat anugerah sebab result saya teruk.

Aliah tidak membuat luahan secara menyeluruh namun hanya mengimbas kenangan pahit dengan segelintir guru sahaja.

"Benda tu tak adil. Kecil hati. Saya invest duit untuk beli baju, kasut kawad, kasut sukan... akhirnya cakap tak layak sebab result teruk," dakwanya lagi.

Namun kata Aliah, dia tidak bersikap serkap jarang terhadap semua guru, malah mengakui ramai lagu guru lain yang baik dengannya.

"Ramai lagi cikgu yang baik dan betul-betul faham. Ada yang personally nak ajar saya. Nak gilap akademik saya, biar seimbang dengan sukan dan kokurikulum.

"Ada yang kecam video TikTok tu, mereka ingat saya nak pukul rata semua guru. Saya cuma nak ketengahkan apa yang berlaku.

"Ada juga cikgu yang pandang rendah usaha pelajar. Cikgu kata mustahil saya boleh lulus, apatah lagi dapat A," kata gadis dari Selangor itu.

Namun, Aliah membuktikan sebaliknya apabila dia memperoleh keputusan 4A dalam SPM dan berjaya melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Perak.

Namun, dia baru sahaja menarik diri dari universiti itu dan sedang merancang untuk memohon pengajian dalam bidang Perniagaan atau Komunikasi Massa.

Dalam pada itu, Aliah turut memberi nasihat kepada mana-mana individu yang berhadapan situasi sama dengannya agar terus tabah dan tidak mudah berputus asa.





Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain