suria

Mahu sambut anniversary naik belon udara, Instafamous sanggup kecewakan isteri, tidur asing - “Kejutan ni tak bersifat kebendaan, hanya hadiahkan gelang benang”

Hafiz (kanan) membuat kejutan menaiki belon udara panas sempena ulang tahun perkahwinannya ke-3. foto ihsan instagram hafizmahamad/ myballoonadventure

KEJUTAN demi kejutan dapat dilihat dalam kehidupan pasangan personaliti media sosial ini, dari zaman mereka bercinta, bertunang sehingga ke jenjang pelamin dan kini dikurniakan cahaya mata.

Senang cerita, ada saja tindakan tak terduga yang dilakukan khususnya oleh si suami yang dilabel sebagai 'jejaka romantik' ini sehingga menjadi bualan netizen.

Sebelum ini, pasangan ini mendapat perhatian menerusi pelbagai kejutan yang dirancang seperti menaiki limosin putih, menerima hadiah kereta Honda merah dan percutian mewah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Abang Limosin' Akhirnya Nikah, Tunggu Kejutan Seterusnya!

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak pernah 'fake' kejutan demi kejutan suami" - Syafiqah Aina akui segalanya disembunyikan, anggap ia bonus

Terbaharu, jejaka romantis berkenaan yang juga bergelar Instafamous, Hafiz Mahamad, 27, kembali membuat kejutan buat isterinya, Nursyafiqah Aina Abdul Wahab, 26, sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-3.

Bukan biasa-biasa, kejutan Hafiz untuk isterinya dimulakan dengan sarapan di tepi tasik sambil melihat matahari terbit sebelum dibawa menaiki belon udara panas dan momen indah itu dikongsikannya di laman Instagram.



Menikmati sarapan di tepi tasik.

Berkongsi kisah itu bersama mStar, Hafiz atau nama sebenarnya Abdul Hafiz Harisuddin Mahamad berkata, kejutan kali ini begitu berbeza kerana kebiasaanya persiapan dibuat sehari sebelum dan kejutan dibuat pada waktu malam.

"Saya sengaja buat dia kecewa seolah-olah saya tak ingat anniversary (hari ulang tahun perkahwinan) kami. Hari sebelumnya, sepanjang hari saya buat kerja di pejabat dan bila dah balik pun tidur berasingan.

"Tapi esoknya pagi-pagi lagi pukul 4.30 pagi, saya dah kejutkan Aina (panggilan isteri) untuk pergi sarapan kat satu tempat best di sebuah pasar pagi di Kuala Lumpur. Aina memang tak jangka ada kejutan sebab awal pagi," katanya kepada mStar.

Bukan di sebuah pasar pagi di Kuala Lumpur, Hafiz yang merupakan usahawan berkata, sebaliknya kejutan sarapan istimewa itu dibuat di tepi sebuah tasik di Serdang, Selangor.



Kejutan lain menanti Aina selepas sarapan.

Namun tanpa diduga Aina, sebenarnya terdapat kejutan lain yang menanti, iaitu menaiki belon udara panas sambil menikmati pemandangan indah di kawasan itu sekitar pukul 7.30 pagi.

"Dari zaman sebelum bercinta sampai berkahwin, Aina selalu cakap dia teringin nak pergi Cappadocia di Turki untuk naik belon udara panas di sana.

"Aina pernah bercuti di beberapa tempat di Turki termasuk Cappadocia bersama keluarganya, tapi dia tak bernasib baik kerana cuaca tidak mengizinkan untuk menaiki belon udara panas ketika berada di sana.

"Sebelum ini pun kalau naik kapal terbang tengok pemandangan indah dari tingkap, Aina pernah kata teringin nak menikmatinya dari luar. Jadi, inilah kejutan inspirasi menaiki belon udara panas di Cappodocia," katanya sambil menambah pintu sempadan negara yang masih ditutup berikutan pandemik Covid-19 membuatkan mereka menikmatinya di dalam negara.



Wajah gembira Aina sambil memegang tangan Hafiz ketika menaiki belon udara panas.

Hafiz yang berasal dari Kelantan itu memberitahu, kejutan kali ini juga berbeza kerana ia tidak bersifat kebendaan sebagaimana yang dilakukannya sejak sebelum berkahwin.

Dia yang mendirikan rumah tangga bersama Aina pada November 2017 berkata, rancangan menaiki belon udara panas itu mempunyai nilai sentimental tersendiri.

"Sebelum ni kalau saya bagi macam-macam benda kat Aina, keretalah, handphone sebab nak impress dia... reaksi Aina memang gembira, tapi gembira saja. Saya mahu lakukan sesuatu yang tinggalkan kesan pada Aina.

"Kejutan ini antara yang tak susah, tapi saya amat tersentuh. Dari atas di udara, kami berdua melihat pemandangan indah, mensyukuri apa yang kami berdua kecapi dari perkahwinan, perniagaan hingga anak," ujar bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu.



Gelang benang yang merupakan pemberian Aina untuk Hafiz di awal perkenalan mereka.

Semasa berada di dalam belon udara panas selama sejam itu, Hafiz sekali lagi membuat kejutan tidak disangka-sangka apabila 'menghadiahkan' seutas gelang kepada isterinya.

"Bagaimanapun, ini bukan gelang emas, tapi gelang diperbuat daripada benang yang Aina hadiahkan kepada saya masa di awal perkenalan kami pada 2013.

"Gelang tu antara dua utas yang dibeli pada harga RM10 sepasang, jadi seutas RM5, satu untuk Aina dan satu lagi untuk saya. Semasa di udara tu, saya tunjuk dan pakai kat tangan dia sebagai tanda saya menghargai pemberiannya dan masih simpan hingga ke hari ini.

"Kejutan untuk yang tersayang tak semestinya dengan kebendaan, tetapi sebenarnya boleh dilakukan dengan mencipta momen indah," katanya sambil menambah berhasrat untuk membawa isterinya mengerjakan ibadah haji suatu hari nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain