suria

Ajak kawan teman ke kursus kahwin, apa yang jadi memang tak disangka... siap berani WhatsApp mak! - “Ibu sukar lepaskan sebab kami muda”

Pasangan muda ini bertemu jodoh selepas secara suka-suka menghadiri kursus perkahwinan.

KALAU sudah namanya jodoh, memang tidak akan ke mana.

Begitulah kisah manis pasangan muda ini yang akhirnya disatukan sebagai suami isteri, selepas secara suka-suka menghadiri kursus perkahwinan.

Kisah mereka menjadi tular dan mendapat perhatian netizen selepas video kenangan menghadiri kursus berkenaan dimuat naik di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Perangai gila-gila ‘muncul’ masa majlis kahwin, pengantin comel selamba angkat abang tentera - “Tujuh tahun bercinta tapi putus...”

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta monyet dianggap tak ke mana, cikgu pun tak yakin... adik angkat akhirnya dibawa naik pelamin - “Saya ajak dia couple semula”

"Niat ke kursus teman kawan... ehhh terkawin pulak heheheheh. Kalau dah jodoh," demikian kapsyen pada video berkenaan yang sehingga kini meraih lebih 50,000 tontotan.

Bercerita detik-detik awal bagaimana hubungan cinta mereka bertaut, Nurul Hasya Hashidi berkata dia dan suami, Mohamad Ikmal Asyraf sememangnya sudah terlebih dahulu berkenalan menerusi media sosial.

"Kami mula berkenalan pada awal tahun 2019. Mula-mula tu dia banyak kali cuba mengurat tapi saya jual mahal dan hanya anggap dia sebagai kawan sahaja.

"Tidak lama kemudian, saya sengaja ajak dia teman pergi kursus kahwin... kebetulan masa itu tengah ada promosi. Lagi pula masing-masing single. Dia jenis sporting, dan bersetuju ikut ke kursus.



Nurul Hasya merupakan anak sulung daripada lima adik beradik.

"Tapi tak sangka, selepas final kursus, dalam perjalanan pulang dia ajak saya kahwin. Tak ada ayat-ayat romantik. Ayat dia selamba saja, 'jom kahwin... dah alang-alang pergi kursus'.

"Saya pula tak rasa apa-apa sebab dia ni memang jenis selamba. Tapi rupa-rupanya dia serius. Saya minta dia hubungi ibu saya kalau betul nak kahwin," cerita wanita berusia 23 tahun ini.

Tambah Nurul Hasya, tanpa disangka lelaki berkenaan memenuhi janji dengan menghubungi ibunya menerusi aplikasi WhatsApp.

"Dia perkenalkan diri, dan menyatakan hasrat nak bawa keluarganya bertemu pada hujung minggu. Tapi ibu saya tak reply sebab terkejut sangat. Iyalah, saya muda lagi... sukar dia nak lepaskan.



Nurul Hasya bersama ibu mentua dan suami, Mohamad Ikmal Asyraf.

"Saya cuba pujuk ibu dan jadi 'perantara' antaranya dengan suami. Akhirnya pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu, keluarga suami datang merisik," cerita anak sulung daripada dua beradik ini.

Nurul Hasya akhirnya selamat melangsungkan pertunangan dengan pasangannya pada Ogos 2019.

"Sebenarnya ibu sukar nak lepaskan sebab kami dua-dua muda. Suami baru berusia 24 tahun dan ketika itu belum ada kerja tetap. Kereta pun tak ada. Tapi saya beritahu suami, kena buktikan dekat ibu yang dia bersungguh-sungguh nak kahwin.

"Alhamdulillah, selepas bertunang, dia dapat kerja tetap dan mampu beli sebuah kereta. Mungkin Allah permudahkan jalan. Dugaan sebagai pasangan bertunang tu ada, tapi lebih kepada kewangan.

Sebenarnya ibu sukar nak lepaskan sebab kami dua-dua muda. Suami baru berusia 24 tahun dan ketika itu belum ada kerja tetap.

NURUL HASYA HASHIDI

"Tapi kami berdua pulun bekerja... masa tu saya aktif buat bisnes dalam talian. Dari segi perhubungan, saya bersyukur semuanya berjalan lancar. Dia memang jenis yang setia... tak ada isu orang ketiga," katanya yang berasal dari Penaga, Pulau Pinang.

Hampir setahun mengikat tali pertunangan, Nurul Hasya dan suaminya akhirnya selamat diijabkabulkan pada 9 Julai lalu secara sederhana dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) memandangkan ketika itu negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Nurul Hasya berkata dia pada mulanya berniat untuk memuat naik video detik manis itu untuk diabadikan sebagai kenangan sahaja.



Majlis pernikahan Nurul Hasya dimeriahkan dengan kehadiran sahabat dan saudara terdekat.

"Tapi jadi viral dan ramai pula yang komen sweet-sweet. Bagi saya sendiri, tak ada salahnya kahwin muda. Antara kebaikannya, kita dapat elakkan perkara tak baik.

"Cuma biasalah dugaan kahwin muda, pada permulaannya mungkin sukar dari segi kewangan sebab baru nak bina hidup. Saya kini buka butik di rumah, sambil-sambil buat juga perkhidmatan solekan.

"Jangan risau pasal kewangan... yang penting sama-sama kena berusaha, bertolak ansur dan memahami. Percaya pada rezeki Tuhan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain