suria

Ditahan keluar tengah malam cari susu untuk anak usia sehari, bapa akui lupa SOP... terkejut lihat cara polis tangani kesnya - “Mereka bawa ke kuarters PDRM”

Kisah dua anggota polis IPD Kuala Pilah yang membantu seorang bapa muda bernama Zul Hilmy menjadi tular di laman sosial. Gambar hiasan.

"ALLAH temukan saya dengan dua insan yang baik hati... saya sangat terhutang budi dengan mereka."

Demikian kata seorang lelaki ketika bercerita mengenai tindakan mulia dua anggota polis yang membantunya dengan memberikan susu formula bayi, baru-baru ini.

Kisah tersebut tular apabila laman Facebook IPD Kuala Pilah memuat naik satu perkongsian beserta mesej (DM) yang dihantar seorang lelaki yang mengucapkan terima kasih di atas bantuan dua anggota polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis suruh berhenti tepi, gadis pakai mask bawah hidung gelabah fikir mana nak cari RM1,000... rupa-rupanya ditahan sebab lain - “Peluh menitik kat muka abang polis trafik”

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih abang polis! Dah habis waktu kerja, tapi sanggup hantar pelajar duduki peperiksaan

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Zul Hilmy itu berkata tujuannya menghantar mesej berkenaan adalah sebagai melahirkan penghargaan atas kebaikan yang dilakukan dua anggota polis IPD tersebut.

"Saya betul-betul rasa terhutang budi dengan Lans Koperal Mohd Hasnofikry Mohd Hanapi dan Lans Koperal Muhammad Dinie Akmal. Sebab itu, saya buat keputusan hantar mesej ke laman Facebook IPD Kuala Pilah.

"Tak sangka pentadbir laman Facebook itu kemudian memuat naik mesej saya dan berkongsi kisah yang berlaku pada malam tersebut. Dan lebih tak sangka sampai jadi viral," kata lelaki berusia 26 tahun ini.



Kisah Zul Hilmy menjadi tular selepas ia dikongsikan oleh laman Facebook IPD Kuala Pilah.

Mengimbas kembali insiden yang berlaku pada awal pagi 24 November itu, Zul Hilmy berkata ketika itu dia terpaksa keluar untuk membeli susu formula kerana isterinya yang baru melahirkan anak sulung mereka mengalami masalah kekurangan susu badan.

"Tidak berapa lama ketika tiba di rumah ibu mentua selepas dibenarkan keluar wad, anak saya yang baru berusia sehari menangis tak henti-henti kerana kelaparan. Ibunya mengalami masalah kurang susu badan.

"Sebagai bapa, saya kasihan tengok anak menangis. Sampai terpaksa beri sedikit air suam. Saya keluar rumah dengan tujuan nak pergi ke kedai serbaneka 7 Eleven untuk beli susu sebab jam menginjak pukul 1 pagi.

Saya bukan sengaja langgar SOP masa PKPB. Tapi memang tak sempat nak fikir apa. Apa yang saya tahu ketika itu cuma nak beli susu untuk anak yang sedang lapar saja.

ZUL HILMY

BAPA

"Dalam perjalanan, secara tiba-tiba muncul sebuah kereta peronda polis mengekori saya dan meminta saya berhenti. Mungkin saya agak kelam kabut, jadi mereka curiga. Saya berhenti dekat kedai serbaneka, lebih kecewa kerana kedai tutup.

"Ketika itu anggota polis berkenaan terus menghampiri saya dan bertanya, lalu terus saya ceritakan situasi yang saya alami. Kata mereka, semua kedai tutup pukul 10 malam sebab dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," ujarnya.

Menurut Zul Hilmy, situasi panik dan terdesak yang dilalui ketika itu menyebabkan dirinya tidak mengingati waktu operasi kedai ketika PKPB.



(kiri) Zul Hilmy ketika berada di kuarters PDRM IPD Kuala Pilah. (kanan) Mesej yang dihantar oleh Zul Hilmy menerusi DM kepada Facebook IPD Kuala Pilah.

"Saya bukan sengaja langgar prosedur operasi standard (SOP) masa PKPB. Tapi memang tak sempat nak fikir apa. Apa yang saya tahu ketika itu cuma nak beli susu untuk anak yang sedang lapar saja.

"Selepas dengar cerita saya, mereka berdua arahkan saya ikut kereta peronda dari belakang. Ingatkan ke balai, rupa-rupanya mereka bawa ke kuarters PDRM.

"Tak lama kemudian, Lans Koperal Muhammad Dinie datang dengan sekotak susu formula, betul-betul sama dengan susu yang saya beritahu mereka awal tadi, dan serahkan kepada saya.

"Ketika itu, saya rasa terharu sangat-sangat. Kemudian saya nak bayar, dia menolak. Katanya, ambil sahaja. Saya ucapkan terima kasih dan minta maaf juga pada masa sama. Katanya lagi, kalau dia dalam situasi yang sama, dia juga pasti bertindak seperti saya," katanya yang merupakan seorang penjawat awam.



Antara komen netizen yang memuji tindakan mulia dua anggota polis yang membantu Zul Hilmy.

Dalam pada itu, Zul Hilmy mendedahkan selepas kisah itu tular, dia menerima banyak mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan juga DM di Facebook.

"Ramai yang berkata mereka terkesan dengan kisah tersebut. Selain memuji dua anggota polis berkenaan, mereka juga berkata tindakan saya wajar sebagai sorang bapa yang kasihkan anak.

"Saya hanya mampu mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua yang beri komen positif. Dalam pada itu, saya sekali lagi nak ucapkan terima kasih kepada Lans Koperal Dinie dan Lans Koperal Hasnofikry.

"Tindakan mereka sangat mulia. Dalam pada sedang melakukan tugas, mereka tetap dahulukan orang yang memerlukan bantuan. Mereka betul-betul buktikan yang polis dan masyarakat berpisah tiada," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain