suria

Remuk hati! Ustaz gagahkan diri mandikan jenazah budak 4 tahun dicampak datuk tiri, rasai kesan jahit di kepala arwah – “Marah, geram, sedih...”

Ustaz Rafie (kiri) membantu membawa jenazah Allahyarham Muhammad Adam yang maut dicampak dari tingkat empat sebuah pangsapuri (gambar kecil). foto SPJM

LULUH hati seorang ibu melihat anaknya yang berusia empat tahun terbujur kaku.

Apa dosa anak kecil itu sehingga ada individu tidak berperikemanusiaan mencampakkan kanak-kanak itu dari tingkat empat sebuah pangsapuri.

Kanak-kanak malang itu, Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi meninggal dunia selepas dipercayai dicampak oleh datuk tirinya yang merupakan warga Nigeria di sebuah pangsapuri di Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur, pagi Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dicampak dari tingkap, lelaki didakwa bunuh cucu selepas cubaan rogol anak tiri gagal

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Nigeria didakwa campak cucu tiri dipercayai ada masalah mental

Tragedi itu pastinya mengundang kesedihan ramai termasuk pihak yang menguruskan jenazah Allahyarham Muhammad Adam.



Mengkafankan jenazah. foto SPJM

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafiuedin Zainal Rasid berkata, hatinya remuk melihat jasad Allahyarham yang menjadi mangsa bunuh dalam tragedi ngeri itu.

"Allahuakbar... tidak dapat digambarkan dengan kata-kata saat melihat jasad anak kecil berusia empat tahun yang mati gara-gara perbuatan tidak berperikemanusiaan datuk tirinya yang juga warga Nigeria.

"Ketika menerima jasad itu yang tiba dari hospital, perasaan saya saat itu sangat remuk. Membayangkan anak saya yang seusia dengannya cukup pedih hati ini untuk melihat keadaan jasad anak syurga ini," luah Muhammad Rafieudin menerusi satu perkongsian di laman Facebook milik beliau.

Menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan kejam, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie mengumpul kekuatan ketika menguruskan jenazah Allahyarham Muhammad Adam.



Ustaz Rafie (kopiah hitam) menguruskan jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan. foto SPJM

"Apalah dosanya sehingga sanggup manusia dewasa yang berakal seperti datuk tirinya itu tergamak mencampakkan anak kecil yang sedang tidur dibuai mimpi itu dari tingkat 4 ke bawah dengan kejam? Allahuakbar!

"Saya gagahkan diri untuk memandikan jasad kecil itu dengan berhati-hati. Perasaan bercampur-baur saat merasai kepala arwah yang telah dijahit rapi kerana retak akibat hentakan kuat. Marah, geram, sedih. Allahuakbar!" katanya.

Perasaan saya saat itu sangat remuk. Membayangkan anak saya yang seusia dengannya cukup pedih hati ini untuk melihat keadaan jasad anak syurga ini

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASHID

Menurut Ustaz Rafie yang berpengalaman dalam pengurusan jenazah selama 16 tahun itu, hanya kerana terlepas peluang untuk memperkosa si ibu, anaknya pula dijadikan sebagai mangsa.

"Sudahlah anak ini kematian ayahnya sejak dua tahun lepas. Kini si ibu terpaksa pula menerima hakikat yang dia baru sahaja kehilangan satu-satunya anak hasil perkahwinannya bersama arwah suaminya dahulu.

"Sungguh hebat ujian yang Allah berikan kepadanya. Semoga si ibu yang masih menerima rawatan di hospital kesan pukulan ayah tirinya warga Nigeria itu diberikan kesembuhan dan kembali sihat walafiat," katanya.



Keranda yang membawa jenazah Allahyarham Muhammad Adam dibawa untuk pengebumian. foto SPJM

Walau bagaimanapun, beliau berkata, apa yang menjadi kebimbangan adalah kesan trauma yang dialami ibu kanak-kanak itu sepanjang hayatnya.

"Itulah hakikat yang cukup sukar untuk dihadapi. Semoga keluarga arwah adik Muhammad Adam Sufi diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Allah lebih menyayangi dirinya," katanya.

Ustaz Rafie berkata, jenazah Allahyarham Muhammad Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur selepas urusan mandi kafan selesai di Kontena Wakaf SPJM di Kuala Lumpur, Isnin malam.



Jenazah Allahyarham Muhammad Adam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur. foto SPJM

Dalam kejadian pagi Ahad lalu, Muhammad Adam dicampak selepas datuk tirinya yang merupakan warga Nigeria berusia 42 tahun, didakwa cuba merogol anak tirinya yang juga ibu kepada mangsa.

Suspek juga didakwa mencederakan tiga ahli keluarga mangsa sebelum terjun daripada tingkat sama dan ditangkap penduduk serta diserahkan kepada polis.

Suspek kini direman tujuh hari sejak Isnin sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain