suria

Dapat tempahan belon, tapi pelanggan minta COD... mulanya risau ditipu, tiba harinya delivery dari Gombak ke Puchong buat si penjual tersentuh! - “Dia kumpul wang sendiri...”

Kisah adik Nur Kamila yang mengumpul duit sendiri untuk menempah belon sempena ulang tahun perkahwinan ibu dan bapanya membuat seorang penjual belon tersentuh.

BERTUAHNYA ibu bapa jika dikurniakan anak-anak yang pandai menghargai dan sentiasa cuba membahagiakan mereka.

Apa jua pemberian atau hadiah daripada si anak sebagai tanda penghargaan bukanlah ukuran, namun apa yang penting adalah kesungguhan yang ditunjukkan bagi membuktikan kasih sayang kepada orang tua.

Begitulah kisah yang dikongsi oleh seorang penjual belon ini mengenai seorang pelanggannya yang menempah belon untuk dihadiahkan sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau takkan kaya...” - Pernah termenung lima hari, video TikTok penjual belon undang sebak

ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan kumpul duit jual nasi kukus, rungutan bapa dorong pemuda buat kejutan beri iPhone 12... next mahu hadiahkan Mercedes-Benz

Namun apa yang menyentuh hati lelaki ini, pelanggannya itu adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang membuat tempahan belon sebagai kejutan kepada ibu bapa dan menggunakan wang tabungan sendiri.

Berkongsi cerita dengan mStar, Dzulhazry Zainal Abidin berkata segala-galanya bermula apabila dia menerima satu mesej di aplikasi WhatsApp daripada seseorang yang bertanyakan mengenai pakej perkhidmatan belonnya.



Pelanggan cilik berkenaan membuat tempahan belon dari Dzulhazry sebagai kejutan ulang tahun perkahwinan ibu dan bapanya.

"Mula-mula ada orang survey, dan bertanya kepada saya sama ada boleh membuat penghantaran tempahan belon menerusi kaedah pembayaran sewaktu penghantaran (COD). Sebagai seller, saya tak terima sebab pernah alami pengalaman ditipu pelanggan.

"Kemudian dia terus terang dan beritahu, dia sekadar bertanya bagi pihak rakannya. Katanya, dia dan rakan tak ada perbankan dalam talian (online).

"Kemudian saya berhubung secara terus dengan rakannya itu dan saya minta dia isikan beberapa butiran. Pada ruangan kata-kata yang hendak ditulis di atas belon, dia minta tulis 'Happy Anniversary Mama dan Papa.



Antara perkhidmatan dekorasi belon yang disediakan oleh Ballonism25, perniagaan milik Dzulhazry.

"Saya fikir mungkin pelanggan ini tak tipu. Bila tiba hari penghantaran, saya sebenarnya masih ragu-ragu tapi pasrah saja walaupun jarak agak jauh iaitu dari Gombak ke Puchong. Bila sampai di alamat yang diberi, memang betul... ada seorang kanak-kanak tunggu di depan pagar rumah," cerita lelaki berusia 31 tahun ini.

Menurut Dulhazry, dia sempat membuat rakaman ketika melakukan penghantaran kepada pelanggan ciliknya yang bernama Nur Kamila.

Kisah adik Nur Kamila ini antara salah satu yang menyentuh hati saya. Dia sedaya upaya nak gembirakan ibu bapa dan sanggup kumpul duit sendiri.

DZULHAZRY ZAINAL ABIDIN

PEMILIK BALLONISM25

"Ketika dia keluar sebentar untuk ambil belon, ibu bapanya tak tahu. Selepas itu, saya minta dia hantar gambar ibu bapanya sewaktu dapat belon.

"Apabila ditanya dari mana datangnya wang untuk membeli belon jenis hot air ballon itu, dia kata ia wang yang dikumpul sendiri.

"Bagi saya, jumlah RM80 itu bukan jumlah yang kecil. Belum lagi kos penghantaran yang kalau dicampur semuanya hampir RM150.



Dzulhazry tampil dengan idea kreatifnya sendiri ketika melakukan dekorasi sebagaimana kehendak pelanggan.

"Disebabkan terharu dengan kesungguhan adik Nur Kamila, saya berbesar hati memberi diskaun kepadanya," katanya yang juga pengasas syarikat berasaskan dekorasi parti, Ballonism25.

Bercerita lebih lanjut, Dzulhazry berkata kisah pelanggan ciliknya itu merupakan antara yang menyentuh hatinya sepanjang lapan tahun terlibat dalam bidang dekorasi.



Dzulhazry (kanan, depan) sudah berkecimpung selama lapan tahun dalam bidang dekorasi.

"Kisah adik Nur Kamila ini antara salah satu yang menyentuh hati saya. Dia sedaya upaya nak gembirakan ibu bapa dan sanggup kumpul duit sendiri.

"Dari satu segi, ia menunjukkan bahawa didikan ibu bapanya sangat bagus sehingga adik ni nak hargai ibu bapanya. Walaupun mula-mula saya ragu-ragu, rupa-rupanya ada hikmah yang Allah nak tunjuk," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain