suria

Wanita hamil 8 bulan teringin kuey teow selepas tengok video Khairulaming, malangnya cubaan suami masak gagal... tak sangka idola siap hantar 3 menu air tangannya - “Boleh bercerita kepada anak cucu”

Ashraf dan isterinya, Auni Izzati terharu menerima masakan hasil air tangan selebriti media sosial popular, Khairulaming.

JIKA sebelum ini mereka hanya menonton video masakan Khairulaming di Instagram, namun siapa sangka pasangan suami isteri ini dapat merasai sendiri air tangan selebriti media sosial itu!

Ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila Khairulaming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman muncul di depan mata dan menyerahkan sendiri lauk pauk yang disediakan khas buat mereka.

Berkongsi cerita dengan mStar, Ashraf Ahmas berkata segala-galanya bermula apabila isterinya, Auni Izzati yang sedang hamil lapan bulan mengidam untuk menikmati kuey teow selepas menonton satu video masakan selebriti media sosial tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan kongsi video masakan untuk 30 hari, kini pemuda ini ada 2.6 juta pengikut - “Betul ke dah dapat blue tick, adakah saya bermimpi?”

ARTIKEL BERKAITAN: “Biasanya pagi esok mesti abah call untuk wish” - Tepat jam 12.01 pagi, Khairulaming rindu panggilan telefon daripada bapa

"Satu hari tu isteri ada menonton video Khairulaming yang memasak kuey teow daging. Dia teringin nak makan lalu saya pun beli bahan-bahan dan buat seperti mana yang diajar di dalam video.

"Saya cuba juga walaupun bukan handal di dapur. Tapi isteri komen katanya tak sama. Saya pun hilang punca juga macam mana nak bagi sama sebab dah ikut step dalam video.



Ashraf mencuba nasib dengan menghantar ciapan kepada salah satu posting Khairulaming.

"Nak dijadikan cerita, Khairulaming baru-baru ni ada post dekat Twitter, dia nak beri giveaway kepada pengikutnya sempena bilangan pengikutnya yang mencecah 500,000 di Twitter.

"Jadi saya pun cuba nasib. Orang lain ada minta iPad, iPhone dan sebagainya. Tapi saya tweet dan beritahu isteri teringin sangat nak makan masakan Khairulaming. Saya saja cuba, untung-untung rezeki isteri dan bayi kami," kata lelaki berusia 25 tahun ini.

Menurut Ashraf, tanpa disangka Khairulaming menghantar mesej kepadanya menerusi Direct Message (DM) di Twitter pada malam hari yang sama.



Ayam bakar, sotong bakar, daging harimau menangis dan sos Thai yang disediakan Khairulaming istimewa untuk Ashraf dan isterinya. Foto: Twitter Khairulaming



"Masa tu rasa terharu, terkejut semualah. Dalam mesej tu dia tanya isteri teringin nak makan apa. Saya beritahu dia, tak kisah apa-apa pun.

"Dia kemudian beritahu, esok (Isnin) you all tak payah masak lunch. Kebetulan kami sedang bekerja dari rumah ketika ini. Alhamdulillah, tengah hari Isnin Khairulaming sampai dengan membawa lauk hasil air tangannya," cerita bakal bapa itu lagi.

Tiga jenis lauk disediakan oleh selebriti yang terkenal dengan tagline 'Hey, what's up guys' itu istimewa buat Ashraf dan isterinya iaitu sotong bakar, ayam bakar dan daging harimau menangis bersama sos Thai.

Saya nak ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Khairulaming sebab susah payah tunaikan keinginan isteri saya. Memang selepas ini boleh bercerita kepada anak cucu.

ASHRAF AHMAS

SUAMI

"Sebaik saja lauk masuk mulut, memang isteri saya terus terdiam sebab menikmati masakan Khairulaming. Memang dia betul-betul puas hati... kira keinginannya tercapai.

"Seperti mana kita semua terliur tengok resepinya di video, macam itulah rasa masakannya... memang rasanya sangat sedap.

"Saya nak ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Khairulaming sebab susah payah tunaikan keinginan isteri saya. Memang selepas ini boleh bercerita kepada anak cucu," ujarnya berseloroh.



Isteri Ashraf, Auni Izzati terharu kerana dapat merasai sendiri air tangan Khairulaming.

Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya sepanjang tempoh kehamilan isteri, Ashraf berkata dia boleh dikira bertuah kerana wanita berkenaan tidak banyak 'ragam' walaupun sedikit sensitif.

"Wanita hamil yang mengidam ni tak boleh jangka. Ada yang boleh ditunaikan, ada yang mustahil. Macam saya, syukur kerana apa yang isteri nak, tak ada yang pelik-pelik. Contohnya nak makan laksa pasar malam dan sebagainya.



Pasangan suami isteri ini bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

"Kalau dia mahu sesuatu, saya cuba adakan. Macam dia teringin kuey teow, saya cuba masak sendiri dulu. Mungkin rezeki dia, bila ngam pula dengan tweet Khairulaming nak beri giveaway.

"Jangan buat main kalau wanita mengandung mengidam. Bagi bakal bapa di luar sana, banyakkan bersabar dan cuba usahakan sebaiknya buat isteri masing-masing.

"Terima kasih kepada rakan-rakan dan netizen yang beri komen positif. Doakan juga moga proses kelahiran isteri saya nanti dipermudahkan," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain