suria

Tak putus asa...graduan UiTM jadikan pengalaman lalu 'modal' bergelar content creator - “Terfikir cara penuhi tanggungjawab jaga ibu”

Shah berkongsi jatuh bangunnya yang melakukan pelbagai pekerjaan sehingga akhirnya bergelar seorang penyedia kandungan.

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Begitulah kata-kata yang dapat menggambarkan kisah perjalanan jatuh bangun seorang pemuda sebagaimana yang dipaparkan dalam video tular di TikTok.

Menurut pemuda berusia 27 tahun itu, dia yang diberhentikan kerja pada November lalu selepas tiga tahun berkhidmat di sebuah kedai buku enggan berputus asa dan kini bangkit menjadi penyedia kandungan (content creator) di media sosial yang kini menjadi kerjayanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi ibu... Pemuda sanggup 'resign' kerja di pelantar minyak, mahu tebus kesilapan lalu - “Dulu duduk tengah laut sebulan, turun darat seminggu dua...”

ARTIKEL BERKAITAN: Simpanan licin, pemuda hilang kerja akibat PKP tak sangka bisnes masyuk! Menu dari seberang buat pelanggan jauh pun terliur, nak order banyak

Bercerita lanjut kepada mStar, Muhammad Shahrul Samsudin, mengakui sukar untuk mendapat pekerjaan, lebih-lebih lagi apabila dia tinggal di kawasan pendalaman.

"Banyak pengalaman jatuh bangun saya. Saya mungkin belum sampai tahap mengalami kemurungan, tetapi saya pernah duduk dalam bilik seminggu untuk dapatkan semula semangat.

"Saya sama seperti orang lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan diberhentikan kerja baru-baru ini kerana kedai buku tempat saya bekerja antara cawangan yang terpaksa ditutup.

"Situasi yang dilalui membuatkan saya terfikir cara untuk memenuhi tanggungjawab menjaga ibu, dalam keadaan sangat sukar untuk saya mencari pekerjaan yang menjamin masa depan," ujarnya yang berasal dari Kampung Parit Besar, Rengit di Batu Pahat, Johor.



Selama tiga tahun bekerja di sebuah kedai buku, Shah diberhentikan kerja gara-gara pandemik Covid-19.

Lebih mesra disapa Shah, katanya, video TikTok yang tular itu menggambarkan kehidupannya dari awal kerjaya yang diceburinya sehingga hari ini.

"Arwah ayah saya bekerja sebagai seorang cleaner, jadi lepas SPM saya pun macam budak lain nak cari duit sampingan, nak kerja.

"Memandangkan semua kedai di Pekan Rengit tak ada jawatan kosong, saya pun setuju bekerja dengan ayah sebagai cleaner.

"Selama enam bulan saya bekerja di situ, tidak dinafikan ada juga perasaan malu tetapi sejujurnya saya bersyukur sebab banyak benda saya dapat belajar.

Shah yang juga graduan bidang Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah menceritakan pengalamannya selepas tamat pengajian dan memulakan perniagaan percetakan bersama rakan baiknya.



Selepas tamat pengajian, Shah bersama rakannya membuka bisnes percetakan.

"Lepas dapat ijazah, saya buka bisnes printing bersama rakan. Bisnes yang hanya berbekalkan semangat ini hanya mampu bertahan selama setahun.

"Lagipun dari mula lagi keluarga dan rakan terdekat tak memberi sokongan kerana kebanyakkan keluarga saya semua jenis makan gaji, mereka tak nampak masa depan dalam bisnes.

"Masa tu saya memang kecewa sangat, tetapi saya cari balik semangat dan teruskan hidup," demikian luahnya.

Banyak pengalaman jatuh bangun saya. Saya mungkin belum sampai tahap mengalami kemurungan, tetapi saya pernah duduk dalam bilik seminggu untuk dapatkan semula semangat.

MUHAMMAD SHAHRUL SAMSUDIN

PENYEDIA KANDUNGAN

Menurut anak sulung dua beradik itu, tidak lama kemudian selepas berusaha mencari kerja, bermulalah kerjaya sebagai penolong pengurus di sebuah kedai buku dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pengurus.

"Ketika ke kedai buku itu saya hanya minta jawatan juruwang sahaja," katanya yang baru setahun mendirikan rumah tangga tapi masih belum dikurniakan cahaya mata.

Gara-gara pandemik Covid-19 ini, kedai buku itu juga terkesan dan terpaksa ditutup. Di situ bermulalah dia mempunyai idea ingin menjadi penyedia kandungan.



Kerjaya terbaharu Shah yang kini bergelar seorang penyedia kandungan (content creator).

Usaha gigihnya untuk mencari rezeki tidak terhenti di situ, malahan kongsi Shah dia turut mengambil upah meracun di kebun pada sebelah pagi hari, selain berjinak-jinak menyediakan kandungan menarik menerusi pelbagai platform seperti di Youtube, TikTok dan Instagram.

Walaupun, pada mulanya, video-video yang dimuat naik ada juga mendapat komen negatif, bagaimanapun kata Shah, dia hanya mengambil komen-komen poisitif untuk terus maju dalam bidang yang diceburinya.

Shah yang steruja dan tidak sangka video perjalanan hidupnya itu akan mendapat sambutan, bagaimanapun bersyukur dan berharap selepas ini lebih ramai yang akan menyokongnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
content creator, tukang kebun, TikTok

Artikel Lain