KEHIDUPAN jurutera industri minyak dan gas ini berubah sama sekali apabila dia diberhentikan kerja pada Jun lalu. Menurut Muhammad Fazrul Azreen Nazri, 32, dia sama sekali tidak menyangka kerjaya selama 10 tahun berakhir kerana impak pandemik yang melanda seluruh dunia. Mesra disapa Fazrul, dia mengakui risau tatkala menerima perkhabaran duka itu dan buntu memikirkan masa depan keluarganya. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita berhenti kerja 'engineer' nak balik kampung berpantang dituduh tayang duit, “Tak sangka suami bagi banyak macam tu sekali gus” ARTIKEL BERKAITAN: Belajar engineering tapi akhirnya kerja jual burger demi ibu dan kakak autisme - “Susah nak lepak dengan kawan” "Ada orang anggap saya tak terkesan kena buang kerja, gaji tinggi, simpanan banyak. Tapi orang tak faham. Lagi besar periuk, lagi besar keraknya. "Pemberhentian kerja ini sesuatu yang tak diduga. Saya tak jangka saya akan kena, tak ada sebarang persiapan pun. "Masa mula-mula dapat tahu, badan saya menggeletar. Saya takut nak hadapi situasi. Ia bukan masalah syarikat saya semata-mata, tapi masalah global. "Saya tahu peluang kerja sangat susah. Hingga sekarang saya dah hantar ratusan permohonan kerja. Satu pun tak dapat," ujarnya kepada mStar. Menurut Fazrul yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan, dia bagaimanapun enggan terlalu lama hiba mengenang nasib dirinya. Fazrul berharap semua individu yang terkesan dek pandemik agar terus kuat dalam menempuhi kehidupan seharian. Malah, dia mencari pelbagai alternatif demi memastikan kelangsungan hidup dia sekeluarga termasuklah dengan membuka gerai minuman dan menjadi pemandu e-hailing. Dengan wang hasil jualan kopi serta simpanan yang ada, Fazrul juga mengorak langkah memperkenalkan produk kosmetik yang diperkenalkan baru-baru ini. "Seminggu selepas diberhentikan, kawan offer buka cawangan gerai kopi. Dengan modal RM800 saya mulakan perniagaan itu. InsyaAllah kalau niat kita ikhlas, allah akan murahkan rezeki kita. FAZRUL "Saya berniaga dari pagi sampai petang. Malam pula saya jadi pemandu Grab. Berkat perniagaan itu adalah modal untuk saya suntik dalam projek kosmetik ini. "Saya tak boleh kata pembuangan kerja tu satu malapetaka, tapi anggap ia sebagai rahmat. Permulaan kepada perjalanan baharu. "Dengan pengetahuan yang saya ada sebagai jurutera, saya cuba hasilkan formula terbaik dan memperkenalkan lipmatte berasaskan ekstrak sarang burung yang baru dilancarkan pada 1 Disember lalu," ujarnya. Menurut Fazrul lagi, dia enggan berputus asa biarpun berat diduga apabila kehilangan kerjaya pada Jun lalu. Fazrul berharap bidang baharu yang diceburinya akan membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Malah, dia berharap semua individu yang terkesan dek pandemik agar terus kuat dalam menempuhi kehidupan seharian. "Kena muhasabah diri, lihat apa yang jadi pada kita. Sesetengah orang rasa dia tak ada bakat, percayalah Allah dah kurniakan sesuatu untuk kita. Cuma kita kena cari. "Jangan fikir kata-kata orang sebab rezeki datang dari Allah, bukan manusia. "InsyaAllah kalau niat kita ikhlas, Allah akan murahkan rezeki kita," ujarnya mengakhiri bicara. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!