DALAM keadaan yang serba mencabar ini, apa juga pekerjaan yang ditawarkan pasti ramai yang sanggup lakukan, asalkan rezeki yang diperoleh itu halal. Namun tidak dinafikan ada yang terkesan dengan pandemik Covid-19, menyebabkan usaha mencari kerja tetap diteruskan untuk menyara kehidupan. Begitu kisah yang dilalui seorang pemuda, Jaunie Erpan Des, apabila dia memilih untuk bekerja sebagai Pejalan Kaki Foodpanda sejak sebulan lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Dalam perjalanan hantar order, rider nak menitis air mata baca notifikasi di telefon... terus berhenti tepi - “Sepanjang jalan rasa sejuk je...” ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersentuh hati tengok rider bawa anak ketika bertugas hantar makanan... siap nak sedekah ekzos, helmet "Bulan lepas, saya memang tengah cari kerja, tiba-tiba nampak seorang pemuda ni pakai uniform lengkap Foodpanda sambil memegang bungkusan makanan di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur. "Saya pun tanya dia bagaimana nak daftar dan pengalaman dia buat Foodpanda dengan hanya berjalan kaki. "Memandangkan saya pun tak ada kerja, saya beranikan diri untuk cuba pekerjaan ini walaupun pada mulanya saya langsung tidak yakin dapat lakukannya," ujar remaja berusia 19 tahun ini. Baru sebulan dia bekerja, telah tular di media sosial gambarnya sedang berjalan kaki di tepi jalan raya untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan. Foto Erpan sedang berjalan kaki di tepi jalan raya menjadi tular di media sosial. Berkongsi cerita kepada mStar, anak muda yang mesra disapa Erpan itu berkata dia tidak sangka gambarnya sedang bekerja itu akan mendapat perhatian ramai. "Saya tak perasan pun ada orang ambil gambar saya, tiba-tiba dah viral. "Gambar itu sebenarnya saya dari KL Gateway nak hantar makanan ke Hospital Pantai dekat atas bukit tu," ujarnya yang tinggal di Pantai Dalam di ibu negara. Susulan tular gambarnya itu, rata-rata netizen menyuarakan keprihatinan mereka dan memberi sokongan kepada Erpan. Kalau hujan saya akan pakai baju hujan dan SOP tetap dipatuhi. ERPAN Malahan, kata Erpan, ada juga yang meminta nombor akaunnya untuk menghulur sedikit bantuan. "Sejujurnya saya sangat bersyukur dan terharu kerana ada orang yang sangat berhati mulia untuk membantu saya, walaupun saya tidaklah sesusah mana tetapi dengan bantuan mereka, sedikit sebanyak ia dapat membantu saya di awal perjalanan kerja saya," jelasnya. Berkongsi pengalamannya, Erpan berkata, sepanjang tempoh sebulan bekerja, dia berjalan antara 480 hingga 500 kilometer (km) untuk menghantar pesanan dengan jarak paling jauh 2.1km. Remaja yang biasanya bekerja shif bermula 12 tengahari hingga malam itu juga pernah dikejar anjing di kawasan perumahan, malahan ada juga pelanggan yang memarahinya kerena lewat menghantar pesanan. "Bagi saya pendapatan yang saya peroleh ini cukup untuk orang bujang, kalau yang sudah bekerluarga mungkin tidak. "Anggaran sebulan boleh dapat dalam RM1,200, tu pun hujan ke panas ke semua saya redah. Kalau hujan saya akan pakai baju hujan dan SOP tetap dipatuhi. "Jarak paling jauh ialah 2.1 kilometer yang telah ditetapkan dan ada juga customer akan marah jika saya lambat tetapi bila saya cakap saya jalan kaki, mereka faham," katanya. Komen di media sosial mengenai Erpan. Bagaimanapun, Erpan mengakui agak tidak selesa apabila diviralkan kerana takut akan diejek rakan-rakan. "Kalau boleh saya tak nak diviralkan, saya sangat berterima kasih kepada yang prihatin dan mendoakan tetapi saya malu bila ramai yang tanya mengenai kehidupan saya dan sebagainya. "Buat masa sekarang betul apa yang didedahkan jiran saya di ruangan komen, motosikal saya memang rosak tetapi masih boleh digunakan," ujarnya yang berhasrat untuk bertukar kepada rider Foodpanda pada tahun depan. Baru-baru ini, Foodpanda memperkenalkan satu lagi servis iaitu Pink Walkers atau lebih dikenali Pejalan Kaki Panda di beberapa zon bagi membuka peluang kepada mereka yang tidak mempunyai motosikal atau lesen memandu. Tidak asing lagi nama Foodpanda sebagai salah satu sumber pendapatan bagi mereka yang sukar mencari pekerjaan atau ingin mencari duit lebih. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!