suria

Doktor dedah sukarnya proses ‘breaking bad news’, pilu maklum khabar duka kepada bakal pengantin - “Tiada individu seronok lakukan tugas ni”

Dr Sakinah (gambar kecil) memberitahu bahawa doktor perlu bersedia untuk memaklumkan status kesihatan pesakit.

BUKAN mudah tugas seorang doktor yang berkhidmat untuk masyarakat, membantu merawat pesakit tetapi dalam masa yang sama tidak dapat lari dari ketentuan ajal dan maut itu di tangan Tuhan.

Sukar juga bagi doktor untuk memaklumkan perkhabaran buruk kepada pesakit, apatah lagi mana-mana ahli keluarga mereka.

Mengakui kesukaran itu, seorang doktor turut memberitahu bahawa khabar buruk itu tidak seharusnya disampaikan oleh pegawai perubatan yang junior atau staf yang tidak terlibat secara langsung dalam proses rawatan pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terbaring nafasnya laju, doktor dapat rasakan 'sesuatu' sebaik melangkah masuk rumah pesakit... selalu berselisih bahu tugas malaikat maut - "Aku bukan bomoh atau ustaz"

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

"Inilah proses yang kami panggil Breaking Bad News. Dalam latihan saya sebagai pakar perubatan keluarga, inilah yang diajar kepada kami.

"Satu kemahiran bagaimana ingin menyampaikan satu berita yang buruk kepada pesakit mahupun ahli keluarga pesakit. Jujurnya tiada individu yang seronok melakukan tugas ini," tulis Dr Sakinah Sulong menerusi satu perkongsian di laman Facebook milik beliau.



Doktor memerlukan kemahiran untuk menyampaikan berita buruk kepada pesakit atau ahli keluarga pesakit. -gambar hiasan

Ini kerana kata beliau, tugas itu melibatkan pelbagai penerimaan dan reaksi pesakit, sambil menambah yang pastinya bukan emosi yang positif.

"Ada yang terkejut, terdiam tanpa kata, akan terus menangis, marah dan mengamuk. Denial dan anger boleh bercampur-baur.

"Inilah yang perlu dihadapi oleh doktor yang membuka khabar buruk. Contohnya dalam memberi diagnosa kanser atau penyakit serius yang dihidapi. Atau dalam memberitahu tahap kritikal atau keseriusan masalah perubatan pesakit kepada ahli keluarga," katanya.

Dr Sakinah yang merupakan petugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, semua keadaan itu perlu dilakukan dalam suasana yang sesuai.



Perkongsian Dr Sakinah di Facebook.

Malah katanya, terdapat 'protokol' atau adab yang tidak seharusnya dilakukan dalam menyampaikan perkhabaran buruk itu kepada pesakit mahupun ahli keluarga.

"Bukan melalui gagang telefon. Bukan melalui surat atau WhatsApp, tetapi seharusnya secara berdepan dan dalam keadaan yang tenang atau terkawal.

"Apa pun reaksi pesakit mahupun ahli keluarga, perawat mesti ingat ia adalah reaksi yang natural yang tiada kaitan dengan anda.

Kalau dia marah, menghentak meja, mungkin kerana dia marah kepada takdirnya. Berikan peluang pesakit bertenang dan menerima khabar tersebut

DR SAKINAH SULONG

"Kalau dia marah, menghentak meja, mungkin kerana dia marah kepada takdirnya. Berikan peluang pesakit bertenang dan menerima khabar tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya penyampaian maklumat berkaitan penyakat tidak dilakukan secara terburu-buru.



Dr Sakinah turut menceritakan pengalaman beliau.

"Ada masa perawat perlu diam seketika untuk memerhati reaksi dan jangan lupa memberi peluang pesakit untuk bertanya.

"Kadang-kadang, hatta diagnosa diabetes pun boleh dianggap sebagai khabar buruk. Jadi berhati-hatilah dan tunjukkan sedikit empati anda," tambah beliau.

Sebagai doktor, Dr Sakinah tidak terkecuali melalui pengalaman untuk memaklumkan berita buruk berkaitan penyakit.

"Teringat kejadian saya mengkhabarkan satu berita buruk kepada pasangan yang bakal berkahwin di mana salah seorangnya positif HIV.

"Pilunya saya turut merasa. Saya mohon doakan mereka berdua," katanya yang merujuk kepada pasangan yang bakal berkahwin perlu menjalani ujian saringan HIV.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain