suria

Sanggup terbang dari Sabah, jejaka tahan air mata jumpa sahabat hilang ingatan - “Dia tak kenal saya,  pandang macam stranger”

Shah (kanan) berkongsi kisah mengenai rakannya, Syafiq Danial (kiri) yang pernah mengalami masalah memori sebelum ini.

KISAH seorang jejaka yang mengalami masalah hilang ingatan sehingga tidak mengenali sahabat sendiri tular di aplikasi TikTok.

Menerusi perkongsian video oleh Shahrizan Bobby, dia mengimbas semula kejadian pada 2019 sewaktu rakan baiknya, Syafiq Danial baru sahaja keluar dari hospital.

Mesra disapa Shah, dia yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah, sanggup terbang ke ibu negara selepas mendapat perkhabaran sedih mengenai sahabatnya itu

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai yang ‘gila’, ada ulang dengar sampai 100 kali! ‘Bro suara radio’ tak mahu hanya jadi penghibur di beranda

ARTIKEL BERKAITAN: Terpikat dengan lagu Nirmala, kemudian penyanyinya... bangsa tak halang bakal guru kongsi video nyanyi lagu Tok Ti - “Mula-mula takut orang kecam”

"Kami berkawan dari sekolah menengah lagi, sama-sama berusia 22 tahun. Kami sangat baik sehinggalah saya sekeluarga pindah ke Sabah pada 2018. Sebelum tu dah 20 tahun saya membesar di KL.

"Bila dapat tahu kawan saya sakit, saya tempah tiket pesawat dan terbang ke KL. Pada masa itu dia ada kecederaan paru-paru. Disebabkan salah makan ubat, dia alami strok ringan dan hilang memori seketika.

"Masa saya sampai ke rumahnya, dia tanya saya ni siapa? Sudah tentu saya rasa sedih. Saya speechless," ujarnya kepada mStar.

Foto kenangan mereka berdua sewaktu zaman sekolah menengah.

Menurut Shah lagi, ketika dia mahu pulang menginap di hotel, dia diminta bermalam di kediaman itu oleh keluarga Syafiq Danial.

Selepas meluangkan masa bersama dan menunjukkan foto-foto lama, Shah bagaikan terkejut apabila memori rakannya beransur pulih pada malam itu.

"Dari petang saya berada di sana. Ibu bapa dia pun minta saya tidur di situ. Dia start ingat lepas kami duduk makan bersama.

Waktu tu saya tahan air mata, tak nak menangis depan keluarga dia.

SHAH

"Saya tunjuk gambar-gambar lama. Itu pun makan masa, dia macam scan dulu gambar-gambar tu.

"Selepas itu dia mula ingat secara perlahan-lahan. Tiba-tiba dia cakap, lah Shah ke? Kau datang ke?

"Waktu tu saya tahan air mata, tak nak menangis depan keluarga dia. Rasa bersyukur sangat.

"Sewaktu mula-mula sampai rumah dia petang tu, saya risau sebab dia tak kenal saya, pandang macam stranger," imbasnya lagi.

Selepas ingatannya beransur pulih, Shah turut mendendangkan sebuah lagu nyanyian asal Dewa-19 atas permintaan Syafiq Danial pada malam itu.

Tanpa disedari, Syafiq Danial membuat rakaman sewaktu Shah sedang menyanyi sambil memegang sebuah gitar.

Shah mendendangkan sebuah lagu buat Syafiq Danial pada malam itu selepas ingatannya mula pulih sedikit demi sedikit.

Baru-baru ini, Shah sendiri turut berkongsi video lama itu menerusi TikTok dan bercerita mengenai kisah mereka sehingga ia menjadi tular.

Malah, rata-rata netizen turut mengakui sedih akan kisah tersebut.

Menurut Shah, dia bersyukur apabila rakannya itu sudah pulih sepenuhnya.

Biarpun berjauhan, mereka juga masih berhubung sehingga ke hari ini.

Dedah Shah lagi, mereka berdua juga merupakan bekas pekerja kepada sebuah syarikat penerbangan sebelum ini.

Kini, Shah bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya di Sabah manakala Syafiq Danial mengusahakan sebuah kedai vape di ibu kota.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain